Skip to main content

UMPSA rangkul 2 pingat emas dalam pertandingan 18th Malaysia FIRA RoboWorld Cup 2025

MELAKA, 25 Jun 2025 - Pasukan robotik Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah berjaya meraih dua pingat emas dalam pertandingan 18th Malaysia FIRA RoboWorld Cup 2025 yang berlangsung pada 21 hingga 26 Jun 2025 di Politeknik Merlimau Melaka. 

Ini adalah penyertaan UMPSA kali pertama dalam pertandingan berprestij yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK). 

Pertandingan itu melibatkan penyertaan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara. 

UMPSA bertanding untuk dua subkategori iaitu Robosot Race dan Robosot Avoidance di bawah kategori Robosot dan berjaya muncul sebagai juara bagi kedua-dua kategori tersebut. 

UMPSA rangkul 2 pingat emas dalam pertandingan 18th Malaysia FIRA RoboWorld Cup 2025

Pasukan UMPSA diwakili oleh Clement Andrews a/l Chandran, Muhammad Hafiz Abdul Razad, Ahmad Muizzuddin Zainuddin dan Nurain Hanifah Che Abd Rauf. 

Mereka adalah daripada program Ijazah Dual Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Elektronik) dengan Kepujian (BHE) dan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Elektrikal) dengan Kepujian (BTE) dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE). 

Turut mengiringi adalah Ketua Pegawai Maklumat UMPSA, Profesor Ts. Dr. Hamdan Daniyal yang juga selaku pensyarah pengiring dan penasihat teknikal.

Profesor Ts. Dr. Hamdan sentiasa memberikan bimbingan dan semangat kepada para peserta sepanjang pertandingan berlangsung.

Katanya, kejayaan pasukan ini tidak akan tercapai tanpa sokongan padu daripada pelbagai pihak. 

UMPSA rangkul 2 pingat emas dalam pertandingan 18th Malaysia FIRA RoboWorld Cup 2025

“Terima kasih kepada Akademi A.D.A.B, FTKEE, dan Persatuan Mahasiswa Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (EEES) atas penajaan dan bantuan telah diberikan.

“Ternyata penajaan dan bantuan yang diberikan memainkan peranan penting dalam menyediakan keperluan logistik, kewangan dan teknikal kepada pasukan. 

“Selain itu, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) turut memberikan sumbangan ilmu dan nasihat teknikal yang amat bernilai dalam menambah baik reka bentuk serta prestasi robot yang dipertandingkan,” ujarnya. 

Tambah beliau lagi, kejayaan ini mencerminkan komitmen UMPSA dalam melahirkan pelajar yang berdaya saing dan berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi serta inovasi, di samping memperkukuh jaringan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak dalam memperkasakan pendidikan teknikal negara.

Disediakan Oleh: Profesor Ts. Dr. Hamdan Daniyal, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE)

 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim