Skip to main content

Yatimah wanita pertama dilantik Naib Canselor UMPSA

KUANTAN: Prof Dr Yatimah Alias dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa semalam.

Yatimah, 55, mengambil alih tugas yang sebelum ini disandang oleh Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin yang memegang jawatan itu bermula 1 Mac 2022 hingga 31 Oktober lalu.

Yatimah yang juga pakar dalam bidang Electrochemistry dan lonic Liquids adalah Naib Canselor keenam dan wanita pertama yang dilantik Naib Canselor UMPSA itu menzahirkan penghargaan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di atas kepercayaan itu.
 

"Ini adalah satu peluang yang sangat bermakna dalam hidup saya dan berharap dapat bekerjasama dengan semua staf.

Disyorkan

"Insha-Allah saya akan buat yang terbaik untuk universiti terunggul dalam bidang teknologi dan kejuruteraan ini.

"Sebagai sebuah daripada universiti dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), UMPSA dilihat sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran program akademik melalui jalinan strategik di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian pada hari pertama yang disambut barisan pengurusan universiti dan warga UMPSA di bangunan Canseleri Tun Abdul Razak di UMPSA Pekan, semalam.

Dengan pengalaman yang luas dalam akademik dan antarabangsa, beliau mengharapkan usaha akan diteruskan bersama dengan warga UMPSA untuk terus mencapai kecemerlangan dan merealisasikan visi ke arah universiti teknologi terunggul.

Yatimah memiliki reputasi akademik yang diiktiraf serta pengalaman luas dalam pengurusan pentadbiran kerana sebelum ini adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) di Universiti Malaya (UM) sejak 2022.

Beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang kimia dari University of East Anglia, United Kingdom pada 1999 selepas menamatkan pengajian ijazah Sarjana Muda (1993) dan Sarjana dalam bidang Kimia di Universiti Malaya (1996).

Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengarah Pusat Pembangunan Kokurikulum UM (2014); Pengarah Pusat Perancangan Strategik Akademik UM (2018) dan Presiden Malaysian Ionic Liquids Research Society (MILRS) dari 2017 hingga 2022.

Author
azwin