Skip to main content
UMP E-Newsletter

Info Sekitar Kampus

Resolusi ke arah pencapaian visi UMP Teknologi Terunggul

BIL. 11 DIS 2018

Oleh: ROHANA OTHMAN, JABATAN HAL EHWAL KORPORAT & KUALITI (JHKK)

Buat julung kalinya seramai 80 orang barisan ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dan pengurusan universiti termasuk dekan, pengarah, ketua jabatan dan pegawai kanan universiti berkumpul dalam program UMP Team Excellence bagi mengumpul idea dan cadangan untuk dijadikan resolusi merealisikan visi UMP sebagai Universiti Teknologi Terunggul yang mampan dari segi kewangan serta bertaraf global.

Program komprehensif anjuran Jabatan Hal Ehwal Korporat & Kualiti (JHKK) dan Jabatan Pendaftar yang diadakan di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur pada 2 Disember 2018 yang lalu itu telah dirasmikan oleh Pengerusi LPU, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad yang juga bertindak sebagai Ketua Pemudahcara (Moderator) sepanjang program berlangsung.

Menurutnya Dato’ Sri Ibrahim, semua peserta berpeluang melontarkan pandangan, cadangan dan komen berkaitan topik yang memfokuskan terhadap Masa Hadapan Cemerlang, Kemampanan Kewangan, Melahirkan Graduan Holistik dan Marketable, Pelaburan Strategik, Pengurusan Termaju dan MyGift.   

“Penglibatan program ini juga sebagai medium bagi mengeratkan hubungan dan berkongsi informasi dan perkembangan universiti serta mengenai hala tuju UMP sebagai sebuah Universiti Awam dan sebagai salah satu universiti teknikal (MTUN) bagi menjayakan agenda Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) PPPM (PT),” katanya  

Sementara itu, Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim yang juga sebagai Moderator berkata, pelaksanaan program UMP Team Excellence adalah selari dengan fasa Pelan Strategik UMP 2016-2020 yang kini semakin menghampiri tahun 2019 dan berbaki dua tahun lagi untuk merealisasikan hasrat Pelan Strategik UMP 2016-2020 bertemakan `Menjana Kegemilangan’.

“Penglibatan hampir semua ahli LPU dalam program ini merupakan satu petunjuk bahawa sokongan dan dokongan barisan LPU ini bagi mencapai visi UMP iaitu Universiti Teknologi Terunggul akan dapat direalisasikan,” ujar beliau.

Bagi ahli LPU, Haji Ahmad Zakie Haji Ahmad Shariff, yang juga bertindak sebagai moderator berkata, terdapat banyak cadangan yang strategik dan bersifat di luar kotak yang boleh dijadikan resolusi bagi pelaksanaan segera untuk memastikan kecemerlangan UMP terus gemilang. 

Pengisian program ini juga adalah hasil cetusan idea Pengerusi LPU melalui beberapa siri perbincangan dengan pihak pengurusan universiti bagi memastikan objektif dan outcome program dapat dicapai. 

Program ini turut memberikan peluang secara langsung buat peserta untuk berinteraksi secara terus dengan barisan LPU dan pengurusan tertinggi terutamanya bagi menggarap cadangan dan idea untuk meningkatkan tahap kecemerlangan universiti. 

Di samping itu juga dapat memberikan peluang kepada ahli LPU untuk mendalami situasi, operasi dan perkembangan terkini universiti.


Jalinan Kerjasama

UMP, BASF PETRONAS meterai kerjasama dalam pertukaran teknologi, pengetahuan dan pembangunan bakat

BIL. 11 DIS 2018

Universiti Malaysa Pahang (UMP) sebagai peneraju dalam bidang kejuruteraan dan teknologi serta kepakaran saintifik telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan BASF PETRONAS Chemicals Sdn. Bhd. (BPC) yang merupakan syarikat peneraju bahan kimia terulung di negara ini pada 18 Disember 2018 yang lalu di Dewan Bankuet, Canseleri Tun Abdul Razak, UMP Pekan.  

Usaha ini bakal mengukuhkan hubungan kerjasama dalam pertukaran teknologi dan pembangunan modal insan antara kedua-dua institusi serta meningkatkan kebolehpasaran graduan (GE) berkompetensi.

BIL. 11 DIS 2018

Kerjasama ini membabitkan tujuh bidang utama iaitu program pengambilan bakat (BPC’s GROW), program pembangunan akademik, anugerah kecemerlangan industri, penempatan latihan industri untuk staf dan pelajar, program kepimpinan dan pembangunan profesional, perkongsian kepakaran dalam penyelidikan dan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan berkaitan program inisiatif kelestarian.

UMP yang diwakili Naib Canselornya, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dr. Jamil Ismail manakala pihak BPC diwakili oleh Pengarah Urusan BPC, Dr. Sven Crone dan Pengarah Pengurusan Sumber Manusia, Zairul Alwi.

Menurut Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir, dengan kepakaran saintifik dan teknologi dalam bidang ini, universiti akan memainkan peranan yang lebih besar terutamanya dalam pertukaran kepakaran, pembangunan penyelidikan, latihan dan jaringan industri.  

“Peluang untuk bekerjasama dengan BPC ini membolehkan universiti mendapat manfaat daripada kepakaran dalam bidang pengetahuan teknikal, pengoptimuman proses dan pembangunan sumber manusia,” katanya.

BIL. 11 DIS 2018

“Kerjasama ini melibatkan jalinan kerjasama pembangunan penyelidikan dan perkongsian kemudahan, data, pengetahuan dan kemahiran serta lain-lain sumber untuk manfaat bersama,” katanya. 

Sementara itu, Dr. Sven Crone berkata, majlis menandatangani perjanjian persefahaman ini tepat pada masanya dan akan mengukuhkan jaringan kerjasama sedia ada.

“Kolaborasi ini bakal memanfaatkan hubungan baik dengan lebih aktif dan menang-menang antara kedua-dua pihak, BASF PETRONAS Chemicals and UMP. 

Dalam majlis yang sama turut menyaksikan penyerahan replika cek sumbangan Hadiah Kecemerlangan BASF PETRONAS Chemicals Sdn. Bhd. yang disampaikan Dr. Sven Crone kepada Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim untuk pelajar cemerlang setiap kali Majlis Konvokesyen UMP. 

Turut hadir sama dalam majlis, Dekan Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli (FKKSA), Profesor Zulkafli Hassan, Pengarah Perkhidmatan Tapak (Site Services), Shahruny Mohd. Akil dan Pengarah Operasi, Jan Peter Bredehoeft.

Hasil kerjasama ini juga bakal merealisasikan hasrat universiti dalam Pelan Strategik UMP 2016-2020 bertemakan “Memasyarakatkan Teknologi” dengan menggembleng bakat-bakat yang ada di universiti ini secara strategik bagi memastikan kepakaran teknologinya dapat dibawa ke lapangan bagi manfaat masyarakat di peringkat akar umbi termasuklah Projek Universiti Komuniti yang digerakkan secara besar-besaran melalui pengetahuan dan teknologi.


MyGift

UMP, Yayasan Sime Darby sumbang kelengkapan sekolah dalam Program Kembali ke Sekolah `Huluran Kasih’

BIL. 11 DIS 2018

Seramai 300 pelajar sekolah rendah dan menengah yang terdiri daripada anak-anak golongan berpendapatan rendah (B40) sekitar Kuantan dan Pekan seronok menerima pakaian dan kelengkapan sekolah baharu dalam program Kembali ke Sekolah `Huluran Kasih’ anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Yayasan Sime Darby (YSD) di UMP Pekan pada 12 Disember 2018 yang lalu. 

BIL. 11 DIS 2018

Hadir menyampaikan sumbangan adalah Ahli Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Aishah Shaikh Ahmad,  Ketua Pegawai Eksekutif  Yayasan Sime Darby, Hajah Yatela Zainal Abidin, Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri & Masyarakat), Profesor Dr. Jamil Ismail dan Ketua Pegawai Operasi merangkap Pendaftar, Abd Hamid Majid.

Program ini merupakan hasil sumbangan pihak YSD untuk meraikan anak-anak dari 60 buah sekolah yang akan memulakan persekolahan pada Januari 2019 akan datang dan sebagai usaha membantu meringankan beban keluarga. 

Setiap daripada mereka menerima sepasang baju sekolah, kasut, stokin, alat tulis dan beg sekolah.

Menurut Profesor Dr. Jamil, program ini hasil kerjasama erat antara pihak UMP dan Yayasan Sime Darby dalam memperkukuhkan lagi jaringan strategik kedua-dua pihak yang telah sedia terbina. 

“UMP sentiasa terbuka dan bersedia untuk meneroka ruang dan potensi kolaborasi strategik yang lebih luas dengan pihak YSD.

“Ini termasuk perkongsian kepakaran saintifik dan teknikal universiti ini dengan fokus urusan dan teras YSD sama ada dalam bidang Akademik atau Corporate Social Innovation (CSI). 

“Selaras dengan pelaksanaan Pelan Strategik UMP 2016-2020, pihak pengurusan universiti ini  komited untuk memasyarakatkan UMP melalui dua medium utama iaitu kepakaran teknologi dan gerak kerja kesukarelawanan,” katanya.

Dalam hubungan ini, pelbagai inisiatif libat sama sosial (social engagement) sedang dan akan diatur gerak bagi memastikan masyarakat umum, khususnya rakyat di Negeri Pahang Darul Makmur menerima manfaat daripada kewujudan universiti ini. 

BIL. 11 DIS 2018

Justeru, bagi menjayakan agenda Universiti Komuniti dalam kerangka pelaksanaan Pelan Strategik UMP 2016-2020, pihak pengurusan universiti ini sentiasa menyambut baik sebarang hasrat daripada mana-mana jabatan, agensi, syarikat berkaitan kerajaan, badan swasta, pertubuhan awam atau individu untuk berkolaborasi dalam pelbagai bentuk demi faedah umum.

Program ini bukan pengagihan peralatan sekolah semata-mata, malahan pihak YSD bersama 30 orang delegasinya turut turun padang melaksanakan gotong-royong di 12 buah rumah yang merupakan penerima manfaat program Facelift UMP yang telah dijalankan UMP. 

BIL. 11 DIS 2018

Sehingga kini, sebanyak 114 buah rumah penduduk kampung telah dibaik pulih menerusi program Facelift  bagi menaik taraf kampung ini dengan kerja-kerja mengecat rumah penduduk, kerja pembersihan, pengindahan, baik pulih rumah dan pemasangan solar bakal memberi keselesaan kepada penduduk.

Delegasi YSD turut berpeluang melawat rumah dan Kuala Pahang House atau singkatannya KP House yang merupakan  pusat sehenti aktiviti dan interaksi antara warga UMP dan generasi muda di Kampung Kuala Pahang. 

Pelaksanaan inisiatif Kuala Pahang Facelift 2.0 kini memberi tumpuan kepada aspek motivasi diri, literasi pengetahuan, penerapan minat Sains, teknologi, Kejuruteraan, Matematik dan Sains (STEM) dan bahasa Inggeris melalui penglibatan warga kerja dan mahasiswa universiti ini. 


Artikel Pilihan

Kelestarian Kampus Antara Agenda Kegemilangan UMP

Oleh: HAZLINA FAIZAL, JABATAN HAL EHWAL KORPORAT & KUALITI (JHKK)

BIL. 11 DIS 2018

Agenda penghijauan kampus antara yang sering menjadi keutamaan bagi Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam setiap perancangan belajawan tahunan. Kampus utama UMP yang terletak di Mukim Kuala Pahang dibangunkan di atas tanah paya yang ditambak dengan tanah pasir merupakan antara cabaran utama kepada survival pokok-pokok yang ditanam. Struktur tanah pasir  yang tidak menyimpan kelembapan dan air sekali lagi antara cabaran yang perlu didepani oleh UMP apabila tibanya musim tengkujuh. 

Walau bagaimanapun, cabaran ini bukanlah alasan untuk UMP mengetepikan fokus untuk mewujudkan kampus yang hijau dan lestari untuk warganya. Dewasa ini, terdapat banyak kajian yang menunjukkan bahawa pengenalan baja organik sama ada dari bahan tumbuhan atau sisa haiwan kepada tanah pasir akan meningkatkan kesuburannya dan sifat fizikalnya. Pendekatan ini telah digunakan oleh UMP untuk meningkatkan status peningkatan nutrien pasir di tapak projek.

Tanah pasir juga mesti dibajakan dengan lebih kerap berbanding tanah dari tekstur lain kerana nutrien tidak dapat disimpan pada permukaan pasir dan di sekitar akar pokok untuk jangka masa yang lama. Menambah bahan organik akan meningkatkan kedua-dua kapasiti penahan air dan pemakanan nutrien tanah berpasir. Tanah pasir juga kurang memberikan sokongan fizikal yang mencukupi untuk pokok tumbuh dengan baik terutamanya pokok kayu. Oleh itu, pokok-pokok yang ditanam memerlukan sokongan untuk beberapa musim pertama pertumbuhan selain untuk mengelakkan ia tumbang akibat tiupan angin.

Hasil usaha dan hala tuju yang jelas di bawah kepimpinan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Daing Nasir Ibrahim, UMP telah berjaya mentransformasikan kampus yang tandus kepada kampus yang lebih hijau. Sebagai sebuah Universiti Teknikal, UMP tidak mampu untuk berdiam diri tanpa berbuat apa-apa mengenai struktur tanah yang tandus. Satu usaha yang menyeluruh telah digerakkan melalui melalui pemantauan rapi Naib Canselor sendiri. 

Hasilnya telah dapat dilihat pada hari ini apabila UMP telah berjaya untuk menempatkan diri di kedudukan ke-97 terbaik dunia dan ke-6 di Malaysia di dalam Penarafan UI GreenMetrics World University Ranking 2018 yang telah diumumkan pada 19 Disember 2018 di Balai Sidang, Universitas Indonesia, Indonesia.

Pencapaian di dalam Penarafan UI GreenMetrics World University Ranking 2018 menyaksikan UMP telah berjaya memperbaiki sebanyak sepuluh kedudukan berbanding di kedudukan ke-107  dalam penarafan 2017. Penilaian yang dibuat melalui enam kriteria utama iaitu Setting & Infrastructure, Energy & Climate Change, Waste, Water, Transportation dan Education memperlihatkan UMP memperbaiki perolehan markah secara keseluruhannya.

Tahniah warga UMP. 

 
Newsletter Image
BIL. 11 DIS 2018