Skip to main content

Sumber Manusia

UMP rai staf tamat pengajian dan pesara

BIL. 14 JAN 2019

Universiti Malaysia Pahang (UMP) meraikan seramai 28 staf dan felo yang berjaya menamatkan pengajian  di peringkat Doktor Falsafah sepanjang tahun 2018 dalam Majlis Apresiasi Staf dan Felo Tamat Pengajian pada 19 Disember 2018 yang lalu di Dewan Bankuet Canseleri Tun Abdul Razak, UMP Pekan.

Majlis  juga turut meraikan staf yang telah mencurahkan khidmat bakti kepada universiti hingga ke saat persaraan mereka.

Majlis ini merupakan sebahagian inisiatif dan komitmen pihak pengurusan untuk konsisten mendekati serta berinteraksi dengan warga kerja dan pesara UMP dengan semangat kekeluargaan.

Selain itu juga ia sebagai tanda penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga daripada seluruh warga UMP buat pesara atas segala khidmat bakti dan pengorbanan yang dicurahkan dengan penuh dedikasi, sekali gus banyak membantu kepada kecemerlangan UMP.

Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim juga merakamkan penghargaan tahniah dan terima kasih buat staf dan felo yang berjaya menamatkan pengajian itu dalam tempoh yang ditetapkan dan mengharapkan agar mereka dapat menjalankan tanggungjawab yang diberikan ke arah kecemerlangan Universiti.

“Kini bilangan pensyarah yang berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) di UMP telah mencapai 69.9 peratus dengan pencapaian ini tentu sekali memberi impak kepada agenda kecemerlangan UMP ke arah merealisasikan Keunggulan Akademik dalam Pelan Strategik UMP 2016-2020,“ ujarnya. 

Sebagai tanda ingatan dan penghargaan UMP  juga memperkenalkan Kad Korporat  Alumni UMP untuk kemudahan pesara  bagi mendapatkan perkhidmatan dan kemudahan yang ditawarkan di Perpustakaan, Bahagian Keselamatan, Pusat Kesihatan Universiti, Pusat Sukan & Kebudayaan serta beberapa pusat tanggungjawab UMP. 

Kemudahan ini akan melahirkan rasa kebersamaan (sense of belonging) untuk tetap bersama universiti.  

Hadir sama dalam majlis Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dato’ Dr. Mashitah Mohd Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin dan Ketua Pegawai Operasi merangkap Pendaftar, Abd. Hamid Majid. 


Penyelidikan dan Inovasi

Kerusi khas GRIT Chair buat adik Muhammad Amirul

BIL. 14 JAN 2019

Jelas terpancar kegembiraan pada wajah Muhammad Amirul Fikri Mohamad Fazir yang merupakan murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Indera Shahbandar Pekan (SKIS) apabila menerima kerusi khas dinamakan GRIT Chair yang dihasilkan oleh mahasiswa dan sekumpulan pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada 8 Januari 2019 yang lalu. 

Muhammad Amirul menghidap penyakit Achondroplasia sejak kecil yang melibatkan gangguan genetik pada pertumbuhan tulang sehingga menganggu perkembangan pembesarannya berbanding kanak-kanak lain yang seusia dengannya.

Ayahnya, Mohammad Fazir Osman berkata, sebagai ketua keluarga beliau amat berbesar hati dan berterima kasih kepada UMP dan pihak sekolah kerana menghasilkan kerusi yang bersesuaian dengan keadaan Amirul.

“Dengan kerusi ini dapat memberi keselesaan kepada Amirul di dalam kelas seperti rakan-rakannya yang lain.

BIL. 14 JAN 2019

“Saya sangat menghargai sokongan dan bantuan guru yang banyak mengambil berat tentang Amirul. 

“Sebelum ini sememangnya pihak guru telah mengubah suai meja untuk kegunaan Amirul, namun meja tersebut akan kelihatan lebih rendah berbanding meja lain,” katanya.

Tambah beliau lagi, dengan menggunakan GRIT Chair, Muhammad Amirul Fikri kini dapat duduk selaras dengan rakannya dengan menggunakan meja di kelas. 

“Selain itu juga ianya lebih selesa kerana terdapat tempat pemijak untuk duduk di atas kerusi tersebut, katanya semasa program penyerahan kerusi di sekolah,” katanya. 

Hadir sama Ketua Program, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal sebagai penasihat, Dr. Daing Mohamad Nafiz Daing Idris, Dr. Saiful Anwar Che Ghani, Muhammad Hadi  Hassan, Guru Penolong Kanan (Pentadbiran) Sekolah Kebangsaan Indera Shahbandar, Nor Yanti Mohd Radzuan dan guru kelas pendidikan khas SKIS. 

Dalam pada itu, Dr. Daing Mohamad Nafiz berkata, idea ini bermula dengan perbincangan melibatkan pihak sekolah bersama pensyarah UMP untuk memikirkan cara untuk membantu adik Amirul yang menghadapi kesukaran  menggunakan meja dan kerusi yang disediakan oleh pihak sekolah seperti pelajar lain.

BIL. 14 JAN 2019

Ujarnya, dalam tempoh dua bulan GRIT Chair berjaya disiapkan oleh empat pelajar iaitu Muhammad Syakir Mohd Isa, Nur Syafiq Azman, Muhammad Isyraf Hadi Mohamad Rozulan dan Muhammad Syazwan Sahimi

“Kerusi ini juga direka dengan menggunakan gabungan kayu dan besi tahan karat. Ia menggunakan konsep mekanikal yang mudah iaitu jackscrew untuk melaraskan ketinggian kerusi mengikut keperluan pengguna. Kerusi ini juga turut menekankan faktor keselamatan dan kemalangan.  

“Kita jangkakan kerusi ini boleh digunakan oleh Amirul sehingga berusia 12 tahun atau kebarangkalian lebih pada umur tersebut.

“Selain itu saya  mengucapkan tahniah kepada pelajar yang telah menyiapkan GRIT Chair, saya berharap pelajar UMP bukan sahaja mempelajari bidang Kejuruteraan di dalam kelas malah turut menyumbang  tenaga kepada masyarakat yang memerlukan,” katanya.

Manakala Nor Yanti Mohd Radzuan amat berbangga dengan  kerjasama ini yang banyak memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan mengharapkan lebih banyak kerjasama dapat dijalankan untuk manfaat para pelajar.


Akademik dan Antarabangsa

Bengkel Bahasa Inggeris bantu pelajar program DLP

BIL. 14 JAN 2019

Oleh: HAJAH NOOR AZLINDA ZAINAL ABIDIN, PUSAT BAHASA MODEN & SAINS KEMANUSIAAN 

Penganjuran Dual Language Programme (DLP) Enrichment Workshop yang dijalankan Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan (PBMSK) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA), Universiti Malaysia Pahang pada 2 Januari 2019 yang lalu dalam kalangan pelajar sekolah mampu memberi pendedahan pelajar untuk menguasai subjek Matematik dan Sains yang dijalankan dalam bahasa Inggeris di sekolah terpilih.

UMP dan pihak sekolah mengambil inisiatif mengadakan bengkel membabitkan seramai 43 orang pelajar dari Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pekan dan Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ahmad dalam memberi peluang pelajar meningkatkan pemahaman penggunaan bahasa Inggeris dalam pembelajaran di dalam kelas.
 
Menurut Guru Bahasa PBMSK yang juga mentor SMK Seri Pekan,  Hajah Noor Azlinda Zainal Abidin, pelajar diterapkan dengan pelbagai aktiviti dan diberi suntikan semangat dan keyakinan serta kesedaran kepentingan bahasa Inggeris dalam pembelajaran khususnya dalam subjek Sains yang dilaksanakan di sekolah ini. 

“Ia menjadikan mereka lebih berazam dan bermotivasi untuk meningkatkan diri dalam kemahiran bahasa Inggeris.   

BIL. 14 JAN 2019

“Setiap pelajar ditugaskan dalam kerja kumpulan dan mereka perlu menyiapkan laporan tugasan dan akan memberi pembentangan secara berkumpulan dengan menggunakan konsep ‘Pecha Kucha Style’ yang lebih menarik dan interaktif. Program turut dijayakan oleh 10 mahasiswa UMP sebagai fasilitator dan Puan Aisyah Hanum yang juga dari Jabatan Bahasa Inggeris, PBMSK,” katanya. 

Bagi guru sekolah, Aishah Hanum Abu Bakar berkata, peluang masuk ke kampus UMP dapat menarik minat untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh agar berjaya sampai ke menara gading. 

“Malahan dapat menggunakan kemudahan lain termasuk makmal bahasa Inggeris yang amat mengagumkan sebagai menyokong persekitaran meningkatkan kecekapan dalam berbahasa Inggeris.
 
Lebih menarik pelajar ini turut berpeluang berkunjung ke Makmal Berpusat UMP dan menyaksikan bagaimana sesuatu eksperimen dijalankan dalam makmal yang mempunyai peralatan yang canggih dan yang lebih membanggakan lagi staf di Makmal Pusat memberi penerangan di dalam Bahasa Inggeris dan ini berjaya mewujudkan persekitaran bahasa Inggeris bagi para pelajar terlibat,” katanya. 

Program bagi tahun 2019 bakal dirancang dan diperkemaskan lagi bagi memberi manfaat kepada sekolah khususnya para pelajar dan guru dalam usaha melahirkan satu kolaborasi serta hubungan yang mantap antara UMP dan sekolah kluster di bawah tindakan UMP.
UMP E-Newsletter

 
Newsletter Image
BIL. 14 JAN 2019