Skip to main content

UMP E-Newsletter

Aktiviti Pelajar

Eksesais Leopard uji daya tahan PALAPES UMP   

BIL. 16 JAN 2019

Oleh: PEMANGKU TIMBALAN KOMANDAN PALAPES UMP, KAPTEN MOHD AZAM MOHAMMAD AKHIR DAN MOHAMMAD HAKIMI KAMARUDIN DARI BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT  

Seramai 126 pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Darat Universiti Malaysia Pahang (UMP) diuji dalam Eksesais Leopard selama 15 hari di sekitar Hutan Simpan Berkelah, Ladang Felda Lepar Hilir 5 dan Kem Force 136 Sungai Miang Pekan pada 26 Januari 2019 yang lalu.

Program ini berakhir dengan aksi berani dalam kalangan Kadet Senior Batch pertama yang menampilkan adegan serangan yang mantap dengan simulasi letupan serta bantuan serangan dari kenderaan perisai.

BIL. 16 JAN 2019

Hadir menyaksikan detik mencabar ini ialah Naib Canselor UMP yang merupakan Komandan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Kepten (Kehormat) Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim dalam Upacara Penutup Eksesais Leopard PALAPES Darat UMP sesi 2018/2019 yang diadakan di Ladang Felda Lepar Hilir 5 Kuantan baru-baru ini.

Menurut Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir, Eksesais Leopard ini merupakan satu pendedahan kepada pegawai kadet yang terlibat bagi membentuk salsiah dan disiplin diri. 

“Nilai-nilai ketenteraan yang diperoleh sepanjang latihan seperti disiplin, keberanian, integriti dan kesetiaan yang boleh digunakan sebaik sahaja tamat pengajian di universiti untuk diamalkan dalam bidang pekerjaan kelak atau dipraktikkan dalam kehidupan seharian. 

“Pegawai didedahkan dengan pengetahuan ketenteraan mengikut peringkat dalam PALAPES. Mereka diuji dari segi ketahanan mental dan fizikal dalam melaksanakan semua latihan yang telah dirancangkan bagi melahirkan seorang pegawai muda sukarela yang kompeten dan berketerampilan serta mempunyai nilai-nilai kepimpinan dan jati diri yang tinggi,” katanya yang merakamkan ucapan tahniah kepada para pegawai kadet universiti itu kerana berjaya mengharungi cabaran sepanjang tempoh eksesais berlangsung.

BIL. 16 JAN 2019

Tambahnya, kekuatan setiap pegawai kadet tidak hanya menguasai teori yang dipelajari tetapi latihan berterusan yang disediakan termasuklah pendedahan melalui kepakaran dari pegawai-pegawai yang bertauliah.

Manakala menurut Ketua Jurulatih PALAPES Darat UMP, Mejar Faizul Johari Basriy pula, para pegawai kadet ini didedahkan dengan Ilmu Medan Perang (IMP), membaca peta, pandu arah, radio semboyan dan ujian kawad kaki. 

“Objektif latihan ini bertujuan menguji pengetahuan dan kemahiran ketenteraan serta perintah dan kawalan (Command and Control) dalam Peperangan Melawan Insugensi (CIW) dan Peperangan Konvensional (CW).

“Bagi fasa latihan CIW pula, para pegawai kadet telah diberikan tugas dan tanggungjawab dalam platun dan juga seksyen bagi memperkasakan tahap kepimpinan semasa melaksanakan aktiviti menduduki pengkalan, ronda tempur, serang hendap dan serang khemah sementara musuh. 

BIL. 16 JAN 2019

“Manakala fasa latihan Peperangan Konvesional (CW), pegawai-pegawai kadet telah melaksanakan aktivti menduduki pertahanan, pengunduran, mara dan serangan akhir ke atas pertahanan musuh.” Katanya.

Ujar beliau, kejayaan ini juga membuktikan bahawa para pegawai kadet UMP berjiwa patriotisme yang kental serta memiliki semangat kesukarelawanan dan daya tahan yang tinggi. 

“Semangat keperwiraan dengan ciri-ciri seperti inilah perlu sentiasa utuh dan tersemat di sanubari setiap pegawai kadet,” katanya. 

Menurut Pegawai Rendah Kanan PALAPES UMP, Amir Hamzah Hamzan pula, latihan eksesais kali ini banyak meberi impak yang positif kepada para Kadet Palapes Darat UMP. 

BIL. 16 JAN 2019

“Kami diajar dengan semangat setia kawan ketika menghadapi pelbagai rintangan, latihan yang diberikan cukup memantang kami dalam pengurusan masa, etika diri dan semangat berpasukan, sekaligus mampu melahirkan pelajar universiti yang berkaliber serta berdaya saing,” ujarnya ketika ditemu bual selepas program.

Hadir sama dalam program, Ketua Cawangan Bantuan Latihan wakil Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat, Leftenan Kolonel Mohd Nazri Ismail, wakil Komandan Pusat Latihan Mekanis, Mejar Muhamad Fadhli Mohd, wakil Timbalan Komander Rejimen 505 Askar Wataniah, Mejar Amirudin Ahmad dan Pemangku Timbalan Komandan Palapes UMP, Kapten Mohd Azam Mohammad Akhir.

BIL. 16 JAN 2019

Eksesais kali ini turut dibantu oleh Cawangan Serigala Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) yang mengatur gerak seekor anjing pengesan dan dua buah kereta perisai MIFV dari Pusat Latihan Mekanis (PULAMEK).


Info Sekitar Campus

KP House curi tumpuan penduduk Kuala Pahang

BIL. 16 JAN 2019

Kedudukan Kuala Pahang House (KP House) yang dahulunya sebuah rumah tinggalan yang agak usang dan terbiar kini bertukar menjadi sebuah rumah yang bersih dan cantik. 

Bukan itu sahaja malahan ianya menjadi tumpuan dan sebagai pusat sehenti yang diwarnai dengan kepelbagaian aktiviti yang dapat dimanfaatkan bersama komuniti dan penduduk setempat di Kampung Kuala Pahang. 

Kini suasananya juga berubah. Pada waktu siangnya rumah ini dimanfaatkan untuk para ibu dan bapa menyertai program kesedaran dan pemeriksaan kesihatan hasil kerjasama Pusat Kesihatan UMP pada setiap bulan manakala pada waktu malam dipenuhi dengan anak-anak yang hadir untuk mengulang kaji pelajaran serta kelas tambahan yang dijalankan pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) melibatkan sukarelawan dalam kalangan mahasiswa UMP.

Malahan pada hujung minggu pula turut diadakan program Interactive Group di bawah inisiatif Bridge of Love@KP House kelolaan Kelab In-Smartive dan UMP Advanced Education. 

Selain itu sebagai memupuk minat pelajar sekolah dalam mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik turut diadakan Program Literasi Digital anjuran UMP STEM Lab yang dilaksanakan di bawah Unit Pengembangan Inovasi Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE) dan Jabatan Jaringan Industri dan Masyarakat (JJIM).  

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin, kewujudan KP House kini mula menjadi sebutan anak-anak dan masyarakat di sini. 

“Selain itu, suasana pembelajaran yang kondusif di KP House ini juga memberi peluang anak-anak ini belajar di luar kawasan persekolahan dengan lebih seronok dan selesa,” ujar beliau. 

Pihaknya juga teruja dengan kehadiran seramai 120 para pelajar sekolah yang hadir untuk mengikuti kelas tambahan secara percuma. 

Mereka ini bukan sahaja datang dari kampung ini sahaja namun turut mendapat perhatian anak-anak dari kampung berdekatan, seperti Kampung Marhum.

“Prihatin terhadap kepentingan kesihatan masyarakat setempat, Pusat Kesihatan UMP dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Pekan juga menganjurkan Program Jom Sihat Wehh di sini. 

“Program ini merupakan salah satu program yang dirangka khas untuk meningkatkan tahap kesedaran berkenaan kesihatan diri bagi masyarakat setempat di sini,” katanya baru-baru ini.

Ujar Dato’ Dr Yuserrie lagi, pihaknya sedang merancang bersama pihak Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) di universiti ini bagi mengadakan kelas mengaji al-Quran dan Kelas Agama khususnya buat muslimah di sini.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kesihatan UMP, Dr. Norhilda Abdul Karim berkata, program kesedaran kesihatan ini mendapat sambutan yang menggalakkan apabila dihadiri lebih 50 orang masyarakat Kuala Pahang. 

“Memandangkan lokasi KP House ini agak strategik, ia dapat memudahkan masyarakat dari pelbagai peringkat usia terutama warga emas untuk menyertai program sebegini.

“Program ini turut mendapat kerjasama dengan Pejabat Kesihatan daerah Pekan, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, Unit Tabung Darah Hospital Pekan, Alumni Kuala Pahang dan Pusat Komuniti Desa,” katanya. 

Bagi peserta program, Noraziah Nordin, 42, program ini memberi peluang buatnya menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma dan mengikuti ceramah penyediaan menu sihat yang boleh membantu sebagai panduan dalam penyediaan makanan untuk seisi keluarga.  

Program Facelift D’ Kuala dilaksanakan bagi mengubah wajah dan identiti Kuala Pahang sebagai perkampungan nelayan selain memaknakan kewujudan UMP di Kuala Pahang. Selain program mengecat dan membaik pulih rumah, selaras dengan usaha UMP dalam memasyarakatkan teknologi, universiti turut menjalankan projek tanaman fertigasi dan pemasangan solar serta menambah baik lanskap sosial penduduk Kuala Pahang. 

Fasa seterusnya menyaksikan program kesedaran terhadap pendidikan dan kebersihan dalam meningkatkan taraf hidup keluarga menjadi sasaran terhadap usaha ini.
 

 
Newsletter Image
BIL. 16 JAN 2019