Info Kampus UMP diiktiraf tersenarai subjek terbaik duniaUniversiti Malaysia Pahang (UMP) menyertai senarai universiti elit dunia apabila subjek universiti ini tersenarai dalam QS World University Rankings by Subjects 2019 yang diumumkan pihak Quacquarelli Symonds (QS) pada 27 Februari 2019 yang lalu melibatkan subjek Kejuruteraan Mekanikal, Aeronautik dan Pembuatan; Kejuruteraan Kimia; Kejuruteraan dan Teknologi. UMP juga merupakan satu-satunya Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang tersenarai dalam subjek Kejuruteraan Kimia, Kejuruteraan dan Teknologi. Lebih membanggakan buat pertama kalinya UMP tersenarai di dalam subjek Kejuruteraan Kimia (251-300) dan bidang Kejuruteraan dan Teknologi (401-450) yang menunjukkan prestasi membanggakan dalam semua empat indikator termasuk reputasi akademik, reputasi majikan, sitasi setiap penerbitan dan H- Indeks. “Kedudukan subjek sering digunakan oleh pelajar untuk membuat pilihan dan menilai universiti yang tepat untuk menyambung pengajian di dalam bidang yang diingini. Beliau berucap meraikan warga kerja UMP dalam Majlis Apresiasi Kecemerlangan Penarafan 5 Bintang QS Stars, MyRA, MyMoheS dan SETARA anjuran Jabatan Hal Ehwal Korporat dan Kualiti di Hotel Ancasa Royale, Pekan. Seterusnya teruja dengan pecapaian di tangga ke-188 QS Asia University Ranking yang pada 24 Oktober dan tempat ke-97 dalam UI Greenmetric World University Ranking pada 19 Disember 2018. Pencapaian 5 Bintang yang berjaya diperoleh dalam MyRA, MyMoheS dan SETARA juga meletakkan UMP sebaris dengan lima Universiti Penyelidikan di Malaysia terutamanya dari aspek penerbitan dan sitasi. Cabaran kini menurut beliau adalah bagaimana daya saing dan kemapanan tersebut berupaya dilestarikan sebagai satu tanda mutu yang teguh. “Justeru, dalam kerangka Misi UMP 2025, pihak pengurusan dan seluruh warga kerja dari semua jabatan mempunyai peranan yang besar untuk terus mengangkat universiti ini (from good to great) dalam memastikan UMP terus berada di atas landasan strategik yang mapan,” ujar beliau. Turut sama dirai para pegawai utama, dekan, pengarah, ketua jabatan dan para penggerak serta penyumbang data. Turut berlangsung acara penyampaian sijil penghargaan dan serahan tanda nama (lanyard) hasil penjenamaan reka bentuk yang baharu sebagai meraikan kecemerlangan UMP bersesuaian dengan imej UMP sebagai sebuah universiti teknologi lima bintang bertaraf dunia. Aktiviti Pelajar Siti Aisyah dinobatkan Tokoh Siswa UMPKombinasi minat dan bakat kepimpinan dalam menjayakan aktiviti kesukarelawanan menjadikan mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP), Siti Aisyah Darmawansyah dinobatkan Tokoh Siswa UMP pada Majlis Anugerah Kokurikulum & Sanjungan Pelajar 2018 anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni bertempat di Vistana Kuantan City Centre pada 28 Februari 2019 yang lalu. Beliau sentiasa mengambil peluang menyertai program khidmat sosial anjuran universiti antaranya Global Student Outreach di Satun, Thailand dan program kesukarelawanan bersama gelandangan di Kuala Lumpur. Malahan, ianya bukan halangan buat Siti Aisyah memikul tanggungjawab besar apabila dipilih sebagai Exco Kesukarelawanan Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2017/2018 walaupun sentiasa sibuk dengan tugasan pengkuliahan di Fakulti Pengurusan Industri (FIM). Begitu juga dengan pemilihannya sebagai Pengarah Expoconvo 2018, Pengarah Kursus Kepimpinanan, Pengarah Aceh Global Exploration, Program Khidmat Masyarakat Antarabangsa di Indonesia, Go Green SASET dan menceriakan hospital dengan membuat mural di Rumah Kanak-kanak Sultanah Hajjah Kalsom. Dalam majlis yang sama juga, Siti Aisyah, 23 turut menerima Anugerah Sanjungan pelajar teras Kesukarelawanan. Dengan kemenangan tersebut beliau membawa pulang hadiah wang tunai, sijil, trofi dan pakej percutian. Majlis penyampaian hadiah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yusserie Zainudin yang turut dihadiri Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan, Abd. Rahman Haji Safie. Menurut Profesor Dato’ Dr. Yusserie, para pemenang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dan komitmen yang tinggi di dalam penglibatan aktiviti kokurikulum sepanjang tahun lalu. “Pengiktirafan ini diharapkan dapat menjadi inspirasi dan membakar semangat mahasiswa lain untuk terus beraktiviti. “Semua penglibatan mahasiswa dalam aktiviti ini akan direkodkan dalam Sistem Pembangunan Pelajar dan Sistem extra Co-curiculum (x-CGPA) dan akhirnya akan diterjemahkan di dalam transkrip kokurikulum sebagai transkrip kedua,” katanya. Beliau percaya ia boleh membantu para graduan untuk mendapat pekerjaan yang baik. Pada masa yang sama, pihak universiti turut memberi tumpuan terhadap tiga elemen yang ditekankan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Yang Berhormat Dr. Maszlee Malik iaitu kegembiraan (happiness), kasih sayang (love) dan saling hormat menghormati (mutual respect) hendaklah diterapkan dalam program dan kehidupan di dalam kampus. Bagi Siti Aisyah, beliau sama sekali tidak menyangka kemenangan ini kerana saingan hebat-hebat belaka. Namun bersyukur dengan rezeki ini dan ingin menghadiahkan kepada kedua ibu bapanya. Tambah anak pasangan Darmawansyah Abdullah dan Sri Umiaty Saubari ini, kemenangan itu membakar semangatnya untuk meningkatkan lagi dalam aktiviti dan mengukuhkan semangat kesukarelawan dalam membantu golongan yang memerlukan. Seramai 15 pemenang anugerah turut dirai antaranya penerima Anugerah Naib Canselor dimenangi oleh Muhammad Ameen Abdul Azis, Anugerah Timbalan Naib Canselor pula dimenangi oleh Muhammad Amrun Aniq Muhammad Saidi dan Anugerah Kelab Terbaik pula telah dimenangi oleh Kelab Penyayang serta anugerah Penasihat Terbaik dimenangi oleh Rozana Shahadan. Jejak Alumni Jelajah Alumni jalin hubungan erat alumni UMPOleh: NURIZZATUL ALIN AHMAD BASTANI DAN FOTO OLEH MUHAMMAD KAMARULZAMAN SAFIE, JABATAN HAL EHWAL PELAJAR DAN ALUMNI Pertemuan seramai 60 orang alumni Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang hadir menjayakan Program Jelajah Alumni - Alumni Industry Networking Hi-Tea bagi Zon Utara pada 2 Mac 2010 yang lalu gamat apabila masing-masing mengimbau kenangan sewaktu menjalani kehidupan kampus. Program dianjurkan Unit Perhubungan Alumni, Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) dengan kerjasama Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat (JJIM) di Hotel The Light, Pulau Pinang. Majlis diserikan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin yang memberi ruang kepada alumni untuk berkongsi maklumat terkini mengenai UMP, Preview Industry Network Alumni Platform (INAP), kepentingan pengemaskinian data dalam sistem baharu serta perkongsian idea juga sumbangan alumni kepada pihak universiti ke arah meningkatkan penarafan universiti. “Alumni digesa untuk mengisi dan mengemaskini maklumat di dalam sistem baharu yang telah dinaik taraf sejak tahun lalu. “Dengan ini ia dapat mendekatkan hubungan antara alumni dan universiti juga menghubungi mereka untuk menyampaikan dan berkongsi tentang perkembangan universiti,” katanya. Hadir sama dalam majlis, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Korporat & Kualiti (JHKK), Dr. Irene Ting Wei Kiong yang berkongsi tentang pencapaian dan penarafan universiti. Menurutnya, alumni memainkan peranan besar dalam memperbaiki kedudukan UMP pada masa akan datang dan diberi peluang untuk kembali menyumbang kepada UMP sama ada secara langsung atau tidak langsung. Pada masa yang sama, Pengerusi Majlis Tindakan INAP, Amir Ashraf Hamzah juga berkongsi maklumat tentang struktur jawatankuasa INAP serta perancangan kerjasama antara alumni dengan universiti yang memberi impak positif kepada kedua-dua pihak. Majlis santai bersama alumni dimeriahkan lagi dengan sambutan ulang tahun penubuhan UMP ke-17. Bagi graduan Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekanikal Automatif tahun 2016, Muhamad Saiful Azrul Hassan, program seumpama ini sangat bagus kerana memberi peluang kepada beliau untuk mengenali rakan alumni UMP selain boleh membina hubungan baik di luar. Katanaya, tidak ada yang lebih menggembirakan sebagai bekas mahasiswa selain dapat berkumpul sesama rakan lama dan program ini menjadi platform berkesan untuk hubungan universiti dan alumni. Manakala menurut alumni UMP, Nurul Izzati Pandak Jabo, program Jelajah Alumni ini perlu diteruskan kerana dengan melalui program ini para alumni dapat mengetahui maklumat terkini tentang universiti, seperti contoh maklumat QS Ranking. “Dengan ini secara tidak langsung alumni boleh membantu universiti untuk mencapai objektif dalam meningkatkan penarafan,” katanya. Bukan itu sahaja, graduan Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Elektrik (Elektronik) ini juga sangat terharu dengan kejutan sambutan hari lahir yang dibuat oleh pihak Unit Perhubungan Alumni dan bangga berpeluang menyambut bersama-sama UMP sempena 17 tahun penubuhan UMP pada 16 Februari lalu. Komitmen berterusan bersama ini dalam mengumpul dan membina hubungan yang baik bersama alumni UMP akan diteruskan ke Zon Selatan, Timur dan Borneo. Turut hadir memeriahkan Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Korporat & Kualiti), Profesor Dato’ Dr. Ishak Ismail, Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri & Masyarakat, Profesor Dr. Jamil Ismail dan Pro-Pendaftar, Abd Rahman Haji Safie. Tanggungjawab Sosial Korporat KUB, UMP anjur Program Literasi Digital untuk pelajar sekolahKUB Malaysia Berhad dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengorak langkah memperkasakan lagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam menganjurkan Program Digital Literasi membabitkan seramai 25 murid pra Sekolah Kebangsaan (SK) PPR Lembah Subang, Petaling Jaya, pada 7 Mac 2019 yang lalu. Program dirasmikan oleh Presiden Pengarah Urusan KUB, Datuk Abdul Rahim Mohd Zin yang turut dihadiri Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri & Masyarakat) UMP, Profesor Dr. Jamil Ismail, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Lembah Suban, Hajah Shamsinar Hayati Mohd Shith, Pengarah Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat (JJIM), Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin dan Pengurus JJIM, Mohd Raizalhilmy Mohd Rais. Dalam ucapan perasmian, Datuk Abdul Rahim berkata, program yang julung kali dianjurkan ini merupakan kerjasama pihak KUB dan UMP bagi berkongsi maklumat dalam menyampaikan kesedaran mengenai dunia teknologi kepada generasi muda hari ini. “Saya percaya di peringkat sekolah merupakan tempat yang paling tepat bagi membentuk generasi masa depan. “Program ini memberi tumpuan kepada pelajar-pelajar dan keluarga kumpulan B40 yang mana ia seiring dengan matlamat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang mahukan pihak swasta berganding bahu bersama pihak kerajaan bagi membantu golongan ini. “Kita telah merancang untuk mengadakan beberapa siri lagi program sebegini di beberapa negeri lagi,” ujar beliau. Program ini turut melibatkan seramai 20 orang fasilitator yang terdiri daripada staf KUB Malaysia Berhad dan UMP. Beliau turut melahirkan rasa bangga dengan semangat dan kegigihan warga kerja KUB dan UMP dan diharapkan akan menjadi pemangki semangat agar dapat menyumbang sesuatu yang positif terhadap kehidupan kanak-kanak. Manakala Profesor Dr. Jamil pula berkata, program literasi digital ini telah bermula dua tahun lalu. “Sehingga kini, sebanyak enam buah sekolah sekitar Pekan dan Kuantan yang melibatkan 350 murid pra sekolah dan sekolah rendah. “Program ini dapat memberi pendedahan kepada pelajar sekolah mengenai peralatan digital seperti komputer, telefon pintar dan televisyen sebagai pendedahan awal kepada golongan kanak kanak ini yang dilaksanakan oleh pensyarah UMP yang dikenali sebagai The Reading Makcix. “Program ini akan membantu mereka menggunakan alat digital secara beretika, bertanggungjawab dan kefahaman tentang operasi dan keselamatan alat digital,” katanya. Dalam pada itu, Hajah Shamsinar pula amat terharu dan berterima kasih kepada pihak KUB Malaysia Berhad dan UMP kerana memilih sekolahnya dalam menjayakan program dan diharap lebih banyak program dapat dimanfaatkan pada masa akan datang. Penyelidikan dan Inovasi Nor Mahirah Mustapha hasilkan Reno Skin untuk kulit sensitifOleh: SITI NURFARMY IBRAHIM, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT Siswazah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Nor Mahirah Mustapha, 32 berjaya membuktikan kesibukan bergelar mahasiswa bukanlah penghalang baginya untuk menceburi dunia kecantikan khususnya buat mereka yang mengalami masalah kulit sensitif. Siswazah Fakulti Pengurusan Industri (FIM) ini boleh berbangga dengan produk kecantikan yang dihasilkannya sendiri. Kini Reno Skin telah berada dalam pasaran dan terjual lebih 25 ribu unit sejak tahun 2016. Bidang keusahawanan dalam kalangan mahasiswa kini tidak asing lagi malah ianya perlu diperluaskan dan boleh dimasukkan di dalam silibus pengajian bagi melahirkan lebih ramai mahasiswa yang menceburi bidang perniagaan. Ujar Nor Mahirah, realiti dunia perniagaan yang mencabar akan membentuk mahasiswa yang lebih berdaya saing, berdikari serta lebih berani dalam mendepani risiko pada masa hadapan setelah menamatkan pengajian di universiti kelak. “Mahasiswa kini tidak seharusnya mengharapkan peluang pekerjaan sebaliknya perlu mewujudkan peluang pekerjaan buat masyarakat,” ujarnya yang percaya bijak membahagikan masa di antara pengajian dan perniagaan. Mengimbas kembali penglibatan awal dalam perniagaan ini, Nor Mahirah berkata, ianya hasil dari penyelidikan yang telah diusahakan bersama suaminya, Shahid Ali ketika itu menuntut di UMP. Kini, suaminya juga merupakan siswazah yang sedang mengikuti pengajian kedoktoran (PhD) di Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli (FKKSA), UMP. Nor Mahirah atau lebih mesra disapa dengan panggilan Cik Mira berkata, Reno Skin memfokuskan kepada pengguna yang mempunyai kulit yang sensitif yang mana produk ini berasaskan bahan semula jadi antaranya minyak kelapa dan beras (rice bran) yang dapat memanfaatkan kecantikan kulit agar lebih cerah, melembapkan dan menjaga nutrisi kulit. Mengulas lanjut mengenai Reno Skin, faktor modal bagi tujuan pemasaran menjadi penghalang bagi memperluaskan serta memperkenalkan lagi jenama RenoSkin. Pada awalnya, Reno Skin telah berkembang hanya melalui medium pemasaran secara free cost. Kini beliau boleh berbangga apabila sudah mempunyai agen termasuk dari Brunei, Singapura dan Indonesia malahan terus berharap produk ini dapat dieksport secara meluas dan menembusi pasaran antarabangsa. Bagi yang ingin mendapatkan produk Reno Skin boleh menghubungi agen yang berada di seluruh Malaysia atau mengunjungi laman web ecommerce Lazada dan Shopee serta boleh melawat website www.renoskin.com.my untuk maklumat lanjut. Penyelidikan dan Inovasi Palm-O-Lite pentingkan gaya hidup sihatPeka terhadap amalan dan sikap sesetengah masyarakat Malaysia yang gemar menggunakan minyak secara berlebihan dalam masakan sehingga boleh menyebabkan pengumpulan lemak tepu berlebihan dalam badan, tiga penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) berganding bahu menghasilkan Palm-O-Lite: Aeosol berasaskan minyak sawit untuk aplikasi kulinari bagi memudahkan kerja memasak serta mementingkan kepada gaya hidup sihat. Ketua penyelidik yang juga merupakan Pensyarah Fakulti Sains & Teknologi Industri (FSTI), Izan Izwan Misnon berkata, Palm-O-Lite berasal dari dua suku kata, pertama Palm-O iaitu palm oil (minyak sawit) dan kedua ialah Lite (light), merujuk kepada pengambilan lemak (fat) yang rendah. “Ia dihasilkan untuk memudahkan kerja memasak selain mementingkan gaya hidup yang cepat, mudah dan selesa. Aplikasi produk kepada peralatan masakan bertindak sebagai agen anti-lekat (non-stick), meminimumkan konsumsi lemak dan meningkatkan persembahan masakan. “Dalam usaha meningkatkan nilai tambah alternatif minyak sawit dalam masakan, ianya diformulasi dan dibotolkan sebagai aerosol masakan yang sesuai digunakan dalam masakan ringkas, membuat kek dan barbeku (BBQ). “Projek ini dimulakan pada tahun 2017 bersama dua rakan penyelidik iaitu Dr. Saifful Kamaluddin Muzakir dan Dr. Nazikussabah Zaharuddin. “Idea ini bermula dengan permasalahan penggunaan perkakasan masakan terutama kekerapan berlaku lebihan tuangan minyak masak ke dalam kuali, selain itu dapat menggantikan kaedah penggunaan kertas bakeri atau mengaplikasikan lapisan minyak pada permukan loyang kek atau biskut,” katanya. Dr. Izan Izwan berkata, seterusnya kita juga lihat masalah menggunakan minyak pada alatan air-fryer, wafel dan takoyaki pan dan permukaan keluli gril yang kadang kala sesetengah produk melekat ketika memasak dan menyukarkan proses mencuci perkakas masakan tersebut. Tambahya lagi, pemerhatian di pasar raya yang menjual produk aerosol masakan kebanyakannya menggunakan minyak sayuran berasaskan kanola, zaitun, bjii bunga matahari dan soya. “Namun begitu, kelebihan menggunakan minyak sawit berbanding minyak lain termasuklah ianya bukan bahan yang diubah secara genetik (non-GMO), bebas kolestrol, bebas lemak-trans, mengandungi 52 peratus lemak tepu, 38 peratus lemak mono tak tepu (monounsaturated) dan 10 peratus lemak poli tak tepu (polyunsaturated). “Ia juga mempunyai indek kestabilan minyak (oil stability index, OSI) lebih baik berbanding minyak sayuran lain, amat sesuai untuk aplikasi masakan pada suhu tinggi. “Tekanan tombol pada botol menghasilkan aerosol minyak dan diserakkan ke perkakasan masakan menghasilkan lapisan nipis anti-lekat. Secara purata, sekitar 0.3 – 0.5 g minyak digunakan pada setiap penggunaan,” katanya. Palm-O-Lite sepenuhnya menggunakan minyak sawit bagi menyokong inisiatif Kementerian Industri Utama (KIU) dengan menumpukan penggunaan lebih tinggi minyak sawit negara bagi kepentingan sosioekonomi, kesihatan, pemakanan dan aplikasi makanan. Sebagai negara pengeluar, bekalan minyak boleh didapati dengan mudah dan murah berbanding minyak sayuran lain. Palm-O-Lite dilihat berpotensi dipasarkan sebagai alat bantuan masakan di rumah, keperluan bakeri, aktiviti luar seperti perkelahan, trak makanan(food truck) serta industri perhotelan. Pada masa ini projek masih di peringkat prototaip sekunder dan pihaknya telah menerima geran Lab2Market dari UMP untuk pembangunan produk dengan ciri komersial. Selain itu, kerjasama juga dilakukan bersama Symbiotech PLT, syarikat simbiosis di bawah Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) untuk meneroka segmen dan kajian pasaran yang bersesesuaian di dalam dan luar negara. Bagi fasa awal, Palm-O-Lite dibotolkan dengan kapasiti 200 g dengan harga pasaran sekitar RM13 hingga RM15. Palm-O-Lite telah meraih pingat emas dalam International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX 2018) dan Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX 2018) serta meraih pingat gangsa di Seoul International Invention Fair 2018 (SIIF 2018). Pihaknya juga merancang untuk menambahbaik reka bentuk botol agar lebih mesra pengguna serta mendapatkan persijilan yang sesuai seperti halal dan amalan pengilangan yang baik (GMP). Penyelidikan dan Inovasi Pembangunan makanan tenusu tangani penyakit barah dan diabetisOleh: SITI NURFARMY IBRAHIM, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT Sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang terdiri daripada pensyarah dan mahasiswa Fakulti Sains & Teknologi Industri (FSTI) mengkaji cara menangani penyakit barah dan diabetis melalui pembangunan makanan tenusu (functional dairy food). Penyelidikan yang diketuai oleh Pensyarah FSTI, Dr. Jaya Vejayan A/L Palliah berjaya mengenal pasti tumbuhan herba terpilih di Malaysia yang berkemampuan melakukan dua fungsi iaitu keupayaan untuk mengubah susu segar yang telah mengalami proseskoagulasi untuk menjadi dadih serta menambah khasiat kepada dadih yang mampu mempunyai aktiviti biologi. “Seperti yang kita sedia maklum, masyarakat di negara maju kini kian mementingkan pemakanan sihat yang bertumpu kepada makanan berfungsi (functional food). Penyelidikan yang diilhamkan bermula pada 2016 asalnya bertujuan bagi mengkaji bisa ular iaitu ular kapak bodoh atau lebih dikenali Malayan Pit Viper sebagai koagulan susu,” katanya. Ujar beliau, pada awalnya ianya berjaya mengasingkan enzim dari bisa yang bertanggungjawab bersifat koagulan namun atas faktor keselamatan ianya dikembangkan dengan menggunakan tumbuhan herba bagi menghasilkan produk makanan yang berteraskan koagulan susu. Menurut Dr. Jaya, campuran herba terpilih yang dikenali supercoagulant direka bagi memastikan enzim-enzim hidrolisis dan juzuk-juzuk sebatian beraktiviti tinggi. “Enzim hidrolisis ini akan bertindak melakukan pemotongan protein susu supaya berubah daripada larutan kepada keadaan kental di samping menambahkan khasiat biologi anti-oksidan, anti-diabetis dan anti-mikrob. “Kami mulanya menghadapi cabaran mencari tumbuhan herba berupaya bertindak sebagai koagulan tetapi akhirnya berjaya menjumpai empat jenis tumbuhan herba yang sangat sesuai,” ujar beliau. Beliau yang merupakan pemenang pingat emas dan pingat khas Citrex 2019 kategori staf berkata, beberapa siri ujian para-klinikal akan diteruskan bagi mengukuhkan keupayaan supercoagulant di samping usaha memohon paten dapat dilakukan bagi memelihara hak ciptaan sekali gus dapat mengukuhkan pengkomersialan. Katanya, beliau mengharapkan kerjasama dari agensi luar bagi usaha sama ini untuk memperoleh pelbagai manfaat di samping dapat mempelbagaikan perniagaan yang dihasilkan daripada produk dadih atau keju yang berkualiti dan tahan lama. Dalam pada itu, biodiversiti hutan tropika di Malaysia dilihat mempunyai banyak tumbuhan herba yang amat berpotensi dalam merawat pelbagai penyakit di samping mampu menarik minat masyarakat dunia yang kini amat menitikberatkan makanan yang berfungsi untuk kelihatan lebih sihat. Penyelidikan dan Inovasi Penyelidikan MDSolution rawat sisa air buangan industriPrihatin terhadap masalah pencemaran hasil buangan industri, penyelidik daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTeK), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr. Nadzirah Mohd. Mokhtar mengambil inisiatif menghasilkan sistem penyulingan bermembran yang bertujuan untuk merawat sisa air buangan dari industri seperti kilang getah, kilang kelapa sawit, kilang tekstil, kilang makanan dan lain-lain. Penyelidikan yang bermula pada tahun 2017 dan masih dijalankan ini adalah untuk menguji kualiti air bagi industri berbeza dengan menggunakan membran yang berbeza dan hasil penyelidikan itu membuktikan air yang dirawat adalah bersih juga mencapai kualiti air mengikut Standard B di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974. “Saya melihat kepada potensi untuk mengembangkan teknologi penyulingan bermembran kepada industri-industri di Malaysia dan juga di luar negara kerana fokus teknologi penyulingan bermembran sebelum ini banyak ditekankan kepada proses penyahgaraman air laut sahaja. “Proses ini berlaku disebabkan oleh perbezaan suhu diantara dua larutan tersebut. Hasilnya, hanya air yang bersih yang akan melalui membran manakala bendasing lain akan kembali kepada tangki air sisa,” katanya. Berdasarkan hasil kajian terkini, pasukan Dr. Nadzirah berjaya mendapat kualiti air yang bersih daripada sisa air industri berdekatan tetapi masih memerlukan kajian tambahan untuk menguji ketahanan sistem sebelum sepenuhnya digunakan di industri dan merancang proses untuk penghasilan produk berskala besar. Selain itu pernah memenangi pingat emas di Industry Networking & Business Pitching (Ereka) tahun lalu di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Beliau menaruh harapan untuk memperkenalkan sistem ini kepada masyarakat dan industri bagi memahami konsep pemisahan air melalui teknologi penyulingan bermembran yang mana dapat membantu menyelesaikan masalah industri dan setempat selain merancang untuk menghasilkan produk yang lebih padat, berkos rendah, mudah digunakan dan tahan lama. Akademik dan Antarabangsa UMP tawar lebih 30 program Kejuruteraan dan TeknologiMenjelang tiba pengumuman keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) memberi peluang lepasan pelajar sekolah mendapatkan maklumat tepat dan terkini mengenai peluang pendidikan tinggi. Berlangsung baru-baru ini, Program Jom Masuk IPT 2019 anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang berlangsung serentak pada 10 dan 11 Mac 2019 yang lalu di Padang Kawad, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang bagi Zon Utara dan di Oceanus Waterfront Mall Kota Kinabalu bagi Zon Sabah. Peluang ini turut dimanfaatkan pelajar sekolah, lepasan diploma dan setaraf, ibu bapa, guru dan komuniti setempat. Program bermaklumat ini mensasarkan pengunjung mengambil peluang mendapatkan maklumat tentang akreditasi dan pembiayaan bagi lepasan SPM, STPM dan setaraf di peringkat pengajian program asasi, diploma, ijazah pertama di universiti awam dan swasta serta sijil dan Diploma Kemahiran Malaysia di Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA). Menurut Pengurus, Bahagian Pemasaran dan Pengambilan Pelajar UMP (MID), Helmi Mohamed Isa, UMP menawarkan 29 program Ijazah Sarjana Muda dan lima program diploma. Dua fakulti iaitu Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE) dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal & Pembuatan (FKMP) beroperasi di Pekan manakala enam fakulti lain di Gambang. Pihaknya mempelawa orang ramai untuk terus berkunjung ke Program Jom Masuk IPT pada 16 dan 17 Mac di AEON Mall Kota Bharu Kelantan (Zon Timur), Mydin Mall Petra Jaya Kuching pada 23 dan 24 Mac ( Zon Sarawak), dan MAEPS Serdang (Zon Tengah) pada 30 dan 31 Mac ini. Dalam pada itu, menurut Eksekutif Kanan MID, Rosilavi Mat Jusoh, pihaknya juga berkunjung ke sekolah dan Kolej Matrikulasi bagi memberi penerangan dalam Program Bicara Kerjaya juga berkongsi panduan pemilihan program sesuai mengikut minat dan syarat kelayakan agar pelajar membuat pilihan dengan tepat. UMP turut menawarkan program berteraskan Kejuruteraan dan Teknologi yang berkualiti dan diiktiraf. Antara program diiktiraf antarabangsa yang ditawarkan di universiti ini adalah Program Dwi-Ijazah Kejuruteraan Mekatronik dan Kejuruteraan Automotif iaitu hasil kerjasama dengan universiti di Jerman, Hochscule Karlsruhe Und Wirtschaft (HsKA) juga Program Dwi-Ijazah dalam Kejuruteraan Perniagaan hasil kerjasama dengan Reutlingen University (HsR), Jerman bagi mengembangkan bidang kejuruteraan perniagaan di Malaysia. Universiti ini juga merupakan destinasi pendidikan tinggi pilihan pelajar lepasan sekolah dan golongan bekerjaya untuk melanjutkan pengajian di peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Kedoktoran. Malahan, menerusi UMP Advanced turut memberi peluang orang ramai mengikuti pengajian profesional dan program pengajian sepanjang hayat. Aktiviti Pelajar Mahasiswa UMP prihatin bantu selamatkan nyawa insan lainOleh: AWANI RANGERS UMP, NAUWAR ALI DARI KELAB MEDIA MASSA UMP Mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) dari Perwakilan Mahasiswa Kolej Kediaman 3 (PEKA 3) menganjurkan program Lets Be A Hero yang mendapat kerjasama daripada Pusat Kesihatan UMP Gambang, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan Pusat Pergigian Daerah Kuantan pada 12 Februari 2019 yang lalu. Program ini dijalankan dengan harapan dapat melahirkan mahasiswa yang prihatin membantu insan lain serta mempunyai rasa simpati dan kasih sayang terhadap orang yang lebih memerlukan. Menurut pengarah program, Aisyah Yunus, 23, program ini juga dapat memberikan kesedaran tentang amalan gaya hidup sihat dengan menderma darah, penerangan tentang menderma organ bagi menyelamatkan nyawa pesakit lain di samping kepentingan terhadap penjagaan kebersihan gigi. Katanya, sumbangan yang dihulur mungkin nampak kecil, namun memberi impak besar sehingga mampu menyelamatkan nyawa insan lain. “Ini merupakan kali kedua saya menderma darah dan merupakan suatu pengalaman yang berharga kerana tidak semua orang dapat menderma. Saya beruntung dan seronok diberikan peluang ini untuk berkhidmat dan menyumbang kepada masyarakat,” ujar Nadzirah Azhary yang merupakan salah satu penderma darah di situ. Baginya, program seperti ini perlu diperbanyakkan lagi untuk memberi peluang kepada mahasiswa untuk merasai pengalaman menderma darah juga membuat kebaikan. Manakala terdapat juga penderma darah yang tidak dapat menderma kerana tidak menepati syarat yang ditetapkan memandangkan kelayakan seseorang untuk menderma darah akan ditentukan oleh Pegawai Perubatan atau Jururawat yang bertugas. Namun ia tidak menjatuhkan semangat bagi Ummi Alia Mohd. Zahari, 21 yang juga merupakan penuntut UMP untuk meneruskan kegiatan murni ini. “Disebabkan terkilan kerana tidak dapat menderma darah pada kali ini, jadi saya berhasrat untuk mendaftar sebagai penderma organ bagi membantu insan lain yang sangat memerlukan untuk hidup,” katanya. Kesedaran mahasiswa yang sangat mementingkan nilai prihatin dan usaha membantu insan lain yang lebih memerlukan ini perlu diteruskan dalam melahirkan mahasiswa yang berkualiti tinggi pada masa hadapan. |
- 320 views