Jalinan Kerjasama UMP, MBTCA erat hubungan Malaysia-BosniaUniversiti Malaysia Pahang (UMP) memeterai hubungan kerjasama dengan Malaysia Bosnia Trade Cooperation Association (MBTCA) dalam pembangunan akademik dan penyelidikan berteraskan bidang kejuruteraan dan teknologi dengan universiti di Bosnia pada 5 April 2019 yang lalu. Kerjasama ini akan melibatkan program pesisir antaranya pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Mekatronik, Kejuruteraan Awam, Pembuatan, Komputer, Elektrik, Kimia dan Sains. Majlis menyaksikan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff menandatangani MoU dengan Ahli Lembaga Pengarah MBTCA, Najib Abbas, disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dan Pengerusi MBTCA, Datuk Subhi Haji Dziyauddin. Turut hadir Pengarah Pusat Kecemerlangan Automotif (AEC), Profesor Madya Dr. Abdul Adam Abdullah. Menurut Profesor Ir. Dr Wan Azhar, peluang untuk bekerjasama dengan MBTCA ini melibatkan pembangunan penyelidikan dan perkongsian kemudahan, data, pengetahuan dan kemahiran serta lain-lain sumber untuk manfaat bersama. “Hubungan baik ini juga bakal memanfaatkan hubungan baik dengan institusi pendidikan di negara tersebut terutamanya dalam penawaran program pengajian berteraskan kejuruteraan dan teknologi. “Ia termasuklah penganjuran bersama persidangan, pembangunan sumber manusia dan modal insan serta pertukaran pelajar,” katanya dalam majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di Kompleks Islam Putrajaya. Bidang yang akan menjadi tumpuan melibatkan enam kluster iaitu Hubungan di antara Negara, Pendidikan, Perniagaan, Pelancongan, Industri Halal, dan Penubuhan Institusi. Akademik dan Antarabangsa Dr. Hari Narayanan kongsi pengalaman industriOleh: SITI NURFARMY, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT Menyedari kepentingan pembentukan modal insan yang berdaya saing dan berkemahiran tinggi dalam meningkatkan pembangunan ekonomi negara, Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat (ICoN) dengan kerjasama Fakulti Pengurusan Industri (FIM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan Professional Talk Series bersama Pengarah USAINS Holding Sdn. Bhd. yang juga mantan CEO@Faculty UMP, Dr. Hari Narayan pada 26 dan 27 Mac 2019 yang lalu. Menurut Pengurus ICoN, Mohd Raizalhilmy Mohd Rais, penganjuran Profesional Talk Series telah bermula sejak tahun 2015 yang mana sesi perkongsian ini dilihat suatu usaha berterusan antara pihak universiti dalam memberi pendedahan kepada pelajar mengenai dunia sebenar pekerjaan melalui sudut pandangan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) atau tokoh industri terkemuka daripada pelbagai latar belakang. Beliau mula berkecimpung dalam program CEO@Faculty yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Beliau kini dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah, Universiti Sains Malaysia (USM) setelah bersara daripada Motorola Solutions (M) Sdn. Bhd. sebagai Pengarah Urusan sejak tahun 2018. Info Sekitar Kampus Kolokium PPTI bincang pengurus profesional masa hadapanKira-kira 100 pentadbir Universiti Malaysia Pahang (UMP) menghadiri Kolokium Transformasi Pentadbir yang bertajuk 'Pengurus Profesional Masa Hadapan' anjuran Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas (PPTI) dengan kerjasama Jabatan Pendaftar di Dewan Bankuet, Canseleri Tun Abdul Razak, UMP Kampus Pekan pada 27 Mac 2019 yang lalu. Mereka yang hadir bersempena Mesyuarat Agung Tahunan PPTI ini terdiri daripada pegawai universiti lantikan Gred 41 dan ke atas serta mempunyai latar belakang berbeza jawatan serta lapangan kerja di universiti ini. Menurut Presiden PPTI yang juga Pengurus Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat (ICoN), Mohd Raizalhilmy Mohd Rais, program ini merupakan platform bagi berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam meningkatkan kecekapan urus tadbir. Dalam pertemuan ini, beliau turut mengumumkan Mesyuarat PPTI bersetuju untuk menjenamakan PPTI dengan mengubah nama Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas (PPTI) kepada Persatuan Pengurus Profesional Universiti (PUMA). Ujarnya, pihak persatuan mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua panel yang sudi berkongsi pengalaman dan pengetahuan yang dapat memberi manfaat buat pentadbir dalam memacu kecemerlangan universiti. Hadir menjayakan kolokium pada kali ini adalah Ahli Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Sri Md Sharif Shamsuddin yang juga Pengarah Urusan Asturi Metal Builders (M) Sdn. Bhd. juga mantan Pengurus Besar Jabatan Penyelidikan & Inovasi UMP, Datin Sri Hajah Fazia Ali. Program dikendalikan Pegawai Penerbitan Kanan UMP, Muhammad Azli Shukri sebagai moderator. Menurut Dato’ Sri Md Sharif, seorang pemimpin adalah khalifah yang mempunyai tanggungjawab dan berprinsip berdasarkan al-Quran. “Pekerja juga perlu amanah dan jangan merosakkan muka bumi yang ertinya menjauhi rasuah, jauhi sikap tikam belakang dan sebagainya. “Di dalam al-Quran juga banyak panduan yang telah dinyatakan untuk menjadi pekerja yang baik. UMP sebagai universiti terbaik semestinya mempunyai pentadbir yang boleh mengurus dan meningkatkan hasil yang banyak dan boleh bergerak sendiri seperti universiti swasta yang lain. Kini, ianya menjadi cabaran kepada kita,” katanya berkongsi pengalaman. Tambahnya lagi, semua yang dilakukan perlu mempunyai objektif dan memerlukan perancangan bagi mendapatkan hasil yang terbaik. “Persatuan dalam sesebuah organisasi memainkan peranan penting untuk mencapai kejayaan. “Sehebat manapun seseorang itu dalam melakukan kerja pastinya memerlukan gandingan orang lain untuk bekerja. Dalam pada itu, kerja yang dilakukan oleh sebuah pasukan tentunya lebih baik berbanding kerja yang dilakukan secara bersendirian dari segi kualiti dan kuantitinya,” ujar beliau. Begitu juga dengan perkongsian menarik daripada Datin Sri Hajah Fazia yang mempunyai pengalaman selama 36 tahun dalam perkhidmatan awam. Beliau yang memulakan perkhidmatannya di Universiti Sains Malaysia (USM) menimba banyak pengalaman sepanjang berkhidmat di pelbagai jabatan dan fakulti. Menurutnya sebagai seorang pentadbir perlu bijak dalam melaksanakan tugas yang diberikan. “Antara tugasan yang agak mencabar semasa di UMP apabila diberi tugasan bagi menjayakan inisiatif endowmen dan MyGift UMP. “MyGift UMP adalah suatu usaha untuk mengumpul sumbangan endowmen daripada mana-mana pihak bagi tujuan tajaan pelajaran, penyediaan kemudahan prasarana kepada pelajar di samping membudayakan semangat membantu bagi golongan yang memerlukan. “Pada pada tahun 2011, universiti mulai sedar keperluan untuk terus mengorak langkah dalam menjayakan aktiviti penjimatan kos dan penjanaan pendapatan UMP. Alhamdulillah kita dapat jimatkan sehingga 10 juta kos tersebut,” ujar beliau. Datin Fazia turut memberi nasihat sebagai seorang pengurus perlu berani memberi pendapat dan kadangkala sebagai seorang ketua juga perlu mempertimbangkan pendapat staf lain supaya lebih maju. Pada masa yang sama beliau turut berkongsi pengalaman dalam pengurusan masa di antara tugasan sebagai ibu dan kerjaya. Ujarnya, wanita berkerjaya semestinya boleh membahagikan masa untuk kerja dan keluarga dengan baik. Baginya bangun awal di waktu pagi dapat akan membuatkan diri lebih proaktif dan dapat menguruskan rumah tangga dengan lebih baik. Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dr. Kamal Zuhairi Zamli. Akademik dan Antarabangsa PIMPIN anjur Bengkel OKU al-Quran: Teknik Bahasa Isyarat & BrailleOleh: NUR SA’ADATUL AFZAN JUSOH, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT Prihatin dengan nasib golongan Orang Kurang Upaya (OKU), Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan bengkel khas untuk orang ramai termasuk insan kurang upaya dari segi pendengaran dan penglihatan mempelajari teknik bahasa isyarat dan Braille pada 26 Mac 2019 yang lalu. Bengkel yang dianjurkan sempena Karnival Mahabbah 9.0 itu merupakan perkongsian mengenai teknik bahasa isyarat dan Braille versi al-Quran. Seramai 45 peserta hadir melibatkan warga UMP dan peserta daripada agensi kerajaan serta orang awam. Pengarah Program, Muhammad Sallehudin Md Derus berkata, program ini memberi peluang peserta meningkatkan pengetahuan dan kefahaman mengenai pengajaran teknik Braille serta kemudahan untuk membantu orang kelainan upaya. “Program yang berjalan selama empat jam itu mengandungi dua slot. Slot pertama merupakan penerangan teknik bahasa isyarat melalui aktiviti berkumpulan. Dalam slot yang pertama, peserta bengkel mempelajari teknik bahasa isyarat asas, bahasa isyarat dalam surah al-Fatihah dan lain-lain surah. “Slot kedua pula merupakan penerangan berkenaan teknik Braille yang mana peserta diajar mengenali teknik Braille secara asas,” ujar beliau. Tenaga pengajar untuk Bengkel OKU al-Quran ini adalah seorang pensyarah dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Norakyairee Mohd Ruas. Beliau juga merupakan Koordinator Unit Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI). USIM adalah salah sebuah institusi yang telah mengeluarkan produk iSign khas untuk golongan OKU. Bagi Norakyairee, kesedaran terhadap manusia sempurna kepada OKU perlu dipertingkatkan lagi kerana mereka antara golongan yang disisihkan dan kurang mendapat perhatian. Bengkel OKU seperti ini bukan hanya perlu dihadiri oleh golongan OKU sahaja, malah orang normal juga perlu menghadiri untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mempelajari bahasa isyarat asas dan cara untuk menyantuni golongan OKU. Beliau memuji inisiatif PIMPIN menganjurkan bengkel ini dan berharap lebih banyak kelas ataupun bengkel mempelajari teknik bahasa isyarat dan Braille diadakan pada masa akan datang. Dalam masa yang sama, kita mahu memastikan golongan OKU pendengaran dan penglihatan tidak terlepas dan ketinggalan mendalami al-Quran. Dalam pada itu, sebanyak 15 program disajikan sepanjang dua minggu karnival yang turut mendapat kerjasama daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), UMP Holdings (UMPH), Jabatan Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa (JHEAA), Pejabat Naib Canselor (PNC), Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) dan Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan (PBMSK). Komuniti Universiti UMP prihatin salur bantuan kepada keluarga wargaOleh: MOHAMAD HAKIMI KAMARUDIN, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT Prihatin dengan nasib keluarga warga kerja Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang memerlukan bantuan dan sebagai galakan menyuburkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan warga universiti khususnya program berbentuk khidmat sosial, Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) telah mengajurkan program MyFamily Charity Ride pada 2 April 2019 yang lalu sempena berlangsungnya Karnival Mahabbah. Sumbangan yang diserahkan berbentuk wang ringgit dan barangan keperluan harian seperti beras, tepung, susu, milo, sardin dan lain-lain barangan keperluan kepada keluarga staf UMP yang diuji dengan dugaan hidup. “Dalam menguruskan hal ini, kita mahu setiap sumbangan yang disalurkan oleh pelbagai pihak dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin dan dinikmati oleh penerima yang selayaknya,” ujarnya. Ia pasti dapat meringankan beban keluarga yang ditanggung setelah kehilangan suami yang merupakan kakitangan di Bahagian Keselamatan UMP Pekan. Kepada warga universiti dan orang ramai yang ingin turut serta dalam program ini, sumbangan boleh disalurkan dengan meletakkan barangan keperluan asas atau menyumbang ke tabung MyFamily di Masjid UMP Pekan dan UMP Gambang. Penyelidikan dan Inovasi Guru Bahasa UMP hasil inovasi rangkul anugerahHasil kajian dan inovasi daripada empat orang Guru Bahasa, Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) cukup membanggakan apabila membawa pulang tiga pingat emas dan satu perak dalam Pertandingan Innovation, Product Launching and Entreprenuership (INNOPLEN) 2019 yang berlangsung di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Kuantan pada 28 Mac 2019 yang lalu. Kajian oleh Rosjuliana Hidayu Rosli bertajuk `Transformasi Teknik Pembelajaran Interaktif Bahasa Arab Melalui e-Pembelajaran Interaktif EL RESALA. ARABIC’ menang pingat emas dan dinobatkan tempat pertama bagi kategori bukan teknikal serta diiktiraf Certificate Honour as Presenter. Pembelajaran ini sangat membantu pelajar dalam meningkatkan kemahiran mengingati kosa kata bahasa Arab dengan pantas malahan telah memanfaatkan golongan jurutera daripada industri luar yang memerlukan kelas persediaan Bahasa Arab sebelum ke negara timur tengah. Selain itu, Juwairiah Osman yang menghasilkan Carta Alir Seronoknya Cakap Bahasa Melayu melalui Model Kolb (CAS-BM: Bahasa Melayu Antarabangsa) turut menang pingat emas dan merangkul tempat kedua keseluruhan bagi kategori bukan teknikal serta turut diiktiraf ‘Certificate Honour as Presenter’. Menurut Juwairiah, inovasi dan penyelidikan yang dijalankan adalah untuk memantapkan Pengajaran dan Pembelajaran bahasa Melayu kepada para pelajar luar negara yang melanjutkan pengajian di UMP. “Inovasi ini dilakukan melalui pembelajaran e-Learning, aktiviti di dalam dan luar kelas juga program dalam dan luar universiti sama ada di peringkat negeri mahupun antarabangsa. “Sebagai penutur bukan natif, para pelajar antarabangsa memerlukan motivasi, kaedah pembelajaran interaktif, mudah dan santai daripada guru bahasa sendiri untuk meningkatkan semangat untuk mempelajari bahasa ketiga atau keempat ini,” katanya. Turut sama dalam kumpulan inovasi ini adalah para guru di Jabatan Bahasa Asing iaitu Mardhiyyah Zamani, Rosjuliana Hidayu Rosli, Jamilah Bebe Mohamad, Mohammad Baihaqi Hasni dan Farah Hanan Aminallah serta sokongan Ketua Jabatan Bahasa Asing, Dr. Jamal Rizal Razali. Manakala Teknik Pembelajaran bahasa Inggeris menggunakan kaedah Drama-tive hasil inovasi Siti Ainun Jariyah Hassan turut berjaya mendapat pingat emas dan diiktiraf ‘Certificate Honour as Presenter’. Pelajar menghasilkan drama berdasarkan situasi yang diberikan. Teknik ini juga menggalakkan pelajar untuk berfikir secara kreatif dan kritis dan membina keyakinan diri pelajar untuk menguasai bahasa Inggeris. Dalam pada itu, hasil kajian Azlina Mohd Ariffin mendapat anugerah pingat perak menerusi kajian ‘Teknik Pembelajaran Bahasa Sepanyol melalui laman sesawang dan menggunakan courseware Estudiar Español Conmigo’. Ia digunakan untuk membantu pelajar yang mengambil Kursus bahasa Sepanyol di universiti ini. Berdepan dengan era Revolusi Industri 4.0 pastinya pelbagai usaha dilaksanakan pihak universiti terhadap pendekatan pembelajaran dan pengajaran (P&P) dalam memastikan sentiasa kekal relevan dan bersesuaian dengan perubahan teknologi yang pantas bagi meningkatkan keberkesanan dalam P&P. Hadiah disampaikan oleh Ketua Pengarah Bahagian Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Malaysia, Profesor Dato' Ts. Dr. Mohd Ismail Abd Aziz. Pertandingan ini disertai 125 kumpulan penyelidik merangkumi 445 peserta bertanding dalam dua kategori teknikal dan bukan teknikal dari universiti awam, IPTS, politeknik, kolej komuniti, jabatan kerajaan dan pihak industri. Aktiviti Pelajar Mahasiswa UMP lestari pantai cakna alam sekitarOleh: AMIR HAZIQ IBRAHIM, KETUA SECTION 19G BRIGED SISWA, Peka terhadap tanggungjawab menjaga alam sekitar, seramai 40 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) daripada Briged Siswa Section 19G menjalankan aktiviti kesukarelawanan `Stay Clean With UMP’ dengan bergotong-royong membersihkan Pantai Batu Hitam di Beserah, Kuantan pada 30 Mac 2019 yang lalu. Program mendapat kerjasama daripada Pusat Kokurikulum, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni juga Majlis Perbandaran Kuantan. Pengarah Program, Nur Ailah Taklima Zukri yang merupakan mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam (FKASA) berkata, program ini memfokuskan aktiviti membersihkan pantai dan melestarikan kawasan persekitaran pantai supaya lebih bersih, ceria dan kondusif. “Dengan keadaan pantai yang bersih dan persekitaran yang indah akan dapat menarik minat orang ramai berkunjung bagi menjalankan aktiviti riadah mahupun kekeluargaan. “Di samping itu, kawasan pantai ini juga merupakan salah satu destinasi tumpuan pelancong di negeri Pahang,” katanya. Lebih menarik, pihaknya juga menyediakan tong sampah hasil inovasi mahasiswa yang diperbuat daripada bahan kitar semula seperti botol, tayar lama dan sebagainya bagi mengalakkan masyarakat tempatan menghargai pantai dan keindahannya. Bagi Pegawai Psikologi UMP merangkap Pengarah Program, Paridah Mohd Ali, aktiviti sebegini menyokong hasrat universiti dalam memupuk semangat kesukarelawan dan bersikap cakna terhadap alam sekitar. “Mahasiswa sentiasa dipupuk dengan budaya tolong-menolong, bantu-membantu antara satu sama lain termasuklah dalam memasyarakatkan kampus dengan komuniti luar. “Ini juga dilihat sebagai menyokong pelaksanaan kampus hijau iaitu menangani pencemaran alam sekitar dalam mewujudkan persekitaran yang sihat serta memupuk rasa tanggungjawab dan prihatin dalam kalangan warga UMP terhadap alam sekitar,” katanya. Beliau turut mengharapkan agar usaha ini dapat mendidik pengunjung untuk sama-sama menjaga kebersihan pantai agar sentiasa bersih dan indah. Artikel/Rencana Pilihan Pengangguran: Benarkah mahasiswa memilih kerja?Oleh: DR. HASNAH HUSSIIN, PENSYARAH KANAN, PUSAT BAHASA MODEN & SAINS KEMANUSIAAN Sudah terbiasa bermain di fikiran apabila masuk universiti atau belajar di universiti, ianya akan menjamin pekerjaan yang lebih baik atau lebih selesa kepada seseorang mahasiswa. Kenyataan ini ada benarnya jika kita menoleh kepada suatu masa sekitar tahun 70-an sehingga awal tahun 2000. Sama ada mahasiswa masa kini memilih kerja atau ada faktor-faktor lain yang telah secara tidak langsung menyumbang kepada masalah pengangguran dalam kalangan mahasiswa perlu diselidiki. Kini kita sudah masuk alaf baharu yang mana banyak sektor pekerjaan hari ini kurang menggunakan tenaga kerja manusia kerana beralih kepada penggunaan teknologi yang lebih canggih yang telah menggantikan tenaga manusia. Ini merupakan satu kemajuan bagi negara Malaysia yang telah lebih 60 tahun mencapai kemerdekaan. Persoalannya adakah nanti ia akan memberi kesan kepada peluang pekerjaan dan bagaimana pula nasib ribuan mahasiswa yang telah menamatkan pengajian nanti? Tahun 2016 menjadi tanda bermulanya Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0). Revolusi ini memperlihatkan kemunculan sistem fizikal siber yang akan mengambil alih tempat manusia, mesin dan teknologi yang ada sebelum ini. Secara amnya, kewujudan teknologi automasi ini tidak lagi melibatkan manusia secara langsung. Industri 4.0 juga akan mengubah masa depan dunia pekerjaan. Persoalannya, apakah persediaan mahasiswa bagi menghadapi revolusi yang bakal mengubah dunia pekerjaan nanti? Sekali lagi cuba kita menoleh ke belakang sekitar tahun 1970 hingga 1980-an, negara kita hanya mempunyai beberapa buah universiti sahaja. Tetapi pada masa kini, bilangan Universiti Awam (UA), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) semakin bertambah dan ini tidak termasuk dengan institusi pendidikan baharu yang menyediakan kursus pendidikan jarak jauh bagi memudahkan orang ramai mengikuti pengajian sambil bekerja. Bayangkan setiap universiti UA, IPTS seluruh negara mengeluarkan ribuan mahasiswa setiap tahun. Di mana mereka hendak menempatkan diri mereka kerana tidak mungkin peluang pekerjaan yang wujud sama dengan bilangan graduan yang keluar mencari pekerjaan. Barangkali juga negara mengalami timbunan resume melebihi peluang pekerjaan. Kepada mahasiswa pula, bagaimana anda hendak menempatkan diri anda dalam sektor pekerjaan hari ini yang lebih mencabar sementelah persaingan dalam kalangan mahasiswa juga terlalu sengit. Maka dalam hal ini, seseorang mahasiswa perlu bijak mengatur langkah. Seseorang mahasiswa yang bijak adalah seorang yang pandai menggunakan peluang semasa berada di kampus. Dalam hal ini, mereka perlu bergiat aktif dalam pelbagai persatuan, memastikan mereka mendapat gred yang bagus, mempelajari berbagai bahasa dan pengalaman semasa menjadi pelajar. Jadi jika mereka keluar hanya berbekalkan sijil semata-mata anda tidak akan mudah mendapat peluang pekerjaan. Rasanya dalam isu bahasa ini ramai yang sudah sedia maklum bahawa antara syarat penting untuk mendapatkan pekerjaan pada hari ini adalah kebolehan mahasiswa menguasai bahasa Inggeris. Ada kajian yang dilakukan sebelum ini mendedahkan sememangnya majikan hari ini lebih memilih graduan yang mempunyai penguasaan bahasa Inggeris berbanding graduan yang kurang kemahiran berbahasa Inggeris. Ia seakan menjadi trend kepada para majikan hari ini sama ada agensi kerajaan atau swasta. Persoalannya di sini adakah majikan melihat kepada skil atau kebolehan melakukan tugasan atau kebolehan berbahasa Inggeris? Skil sememangnya faktor utama dalam melakukan sesuatu pekerjaan, tetapi bahasa itu boleh dipelajari. Faktor bahasa ini dilihat terlalu besar peranannya apabila ada yang mengatakan masalah penguasaan bahasa Inggeris juga menjadi salah satu faktor kegagalan graduan dalam mendapatkan pekerjaan. Selain dari bahasa Inggeris, terdapat juga bahasa-bahasa lain yang dilihat oleh para majikan seperti bahasa Mandarin, Perancis, Jerman dan Arab. Seseorang mahasiswa perlu bijak memilih bidang yang diminati. Walau bagaimanapun, dalam sesuatu keadaan mahasiswa juga perlu membuat kajian tentang bidang yang dipilih bagi memastikan kursus tersebut senang diterima oleh majikan. Tetapi bagi mahasiswa yang ingin membuka bisnes sendiri mereka bebas untuk menceburi sesuatu bidang. Perkara ini sangat penting memandangkan pernah timbul isu ada lambakan graduan yang salah memilih kursus yang mana skop pekerjaan bagi sesuatu kursus tersebut yang terhad dan tidak mendapat tempat dalam masyarakat Malaysia. Masalah tangga gaji juga mungkin merupakan salah satu faktor yang menyebabkan para graduan memilih pekerjaan. Sememangnya, graduan akan memilih tangga gaji yang sepadan dengan kelulusan mereka. Berdasarkan Laporan Bank Negara Malaysia (BNM) 2018, mendedahkan yang tangga gaji lepasan diploma dan ijazah merosot dalam tempoh lapan tahun kebelakangan ini. Para graduan lepasan universiti sememangnya diperlukan di dalam sektor industri dan bukan industri. Tetapi adakah kita sedar ada dalam kalangan mereka yang menjadi mangsa kepada majikan yang mengambil kesempatan. Ini memandangkan ada majikan yang sengaja menggunakan alasan ekonomi negara yang kurang memberangsangkan sebagai alasan untuk tidak membayar upah yang sepatutnya dan lebih rendah dari sepatutnya. Langkah kerajaan menetapkan tangga gaji minimum kepada RM1,050. sedikit sebanyak dapat mengatasi masalah ini. Dalam hal ini, pihak majikan terlalu memilih kerana mereka mempunyai pilihan lain iaitu pekerja asing yang boleh diberikan gaji yang lebih murah dan menguntungkan mereka. Secara amnya, memang tidak masuk akal jika sekiranya majikan hanya memilih pekerja berdasarkan pengalaman berkaitan kerja sebelum ini. Ini akan menyukarkan graduan yang baharu tamat belajar untuk mendapatkan pekerjaan. Bayangkan semua majikan hanya memandang pekerja yang ada pengalaman bekerja, sampai bila pun graduan yang fresh ini tidak akan diterima bekerja dan sampai bila-bila pun mereka tidak akan mempunyai pengalaman bekerja. Perkara ini seharusnya dipantau kerana nasib graduan yang baharu tamat belajar perlu diberi perhatian oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab. Ekoran daripada kecewa dengan sikap majikan yang hanya mahu pekerja yang mempunyai pengalaman bekerja inilah menyebabkan para graduan melakukan kerja-kerja sendiri seperti menjual nasi lemak, bekerja sebagai buruh, peniaga pasar malam dan sebagainya untuk menyara diri dan keluarga sementara mendapatkan pekerjaan yang sesuai. Walau apa pun, terdapat juga segelintir graduan yang terlalu memilih pekerjaan, gaji yang tinggi dan skop kerja yang selesa. Tetapi golongan ini dilihat terlalu sedikit dan tidak membayangkan lambakan graduan yang menganggur. Sememangnya masalah graduan menganggur perlu dikaji dan dilihat dalam skop yang luas kerana terlalu banyak faktor yang menyumbang kepada wujudnya pengangguran dalam kalangan graduan hari ini. Walau bagaimanapun, usaha perlu dilakukan oleh pihak berwajib bagi mencari punca sebenar yang menyebabkan siswazah sukar mendapatkan pekerjaan. |
- 102 views