Skip to main content
HEADER CREATE

Info Sekitar Kampus

Bergerak bersama pacu keupayaan teknikal negara

BIL. 45 SEP 2019

Warga Universiti Malaysia Pahang (UMP) harus bergerak bersama dalam meningkatkan keupayaan teknikal negara bagi memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seiring dengan keperluan industri berteknologi tinggi di negara ini.

Hasrat ini disampaikan Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff yang bertemu dengan warga kerja UMP bersempena Majlis Syarahan 100 Hari Naib Canselor UMP yang berlangsung di Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang pada 23 Ogos 2019 yang lalu.

Pihak pengurusan universiti telah melaksanakan asas perubahan penstrukturan dengan tiga sebab utama iaitu pertamanya bagi mengembalikan sumber yang berada di dalam UMP ini kepada pendidikan teknikal dengan satu profil lain yang mencorakkan pendidikan TVET beraras tinggi.

Keduanya, melahirkan sistem pentadbiran akademik yang bersifat participative leadership dengan berkongsi kuasa antara pemimpin akademik bagi memperkasakan pelan penggantian untuk kesinambungan hala tuju universiti. 

Peranan Dekan Kanan yang diwujudkan juga bagi membantu Timbalan Naib Canselor menjalankan tanggungjawab selain untuk melahirkan lebih banyak kepimpinan untuk kecemerlangan UMP.

BIL. 45 SEP 2019

Menurut Profesor Ir. Dr. Wan Azhar, apabila UMP semakin besar kita perlu berkongsi kuasa kepada empat yang besar iaitu Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) dan Ketua Pegawai Operasi/Pendaftar bagi membolehkan Naib Canselor merangka dan merancang perkara yang lebih strategik malahan usaha ini juga dapat membina kepimpinan bagi jawatan  tertinggi universiti.

“Dalam mengenal pasti risiko integriti yang boleh mengakibatkan ketirisan dalam operasi, semua ahli lembaga pengarah tidak akan dilantik sebagai ahli lembaga pengarah dalam anak syarikat. 

“Selain itu, kesemua anak syarikat universiti selepas ini akan berada di bawah UMP Holdings Sdn. Bhd. termasuklah UMP Advanced Education Sdn. Bhd. bagi meningkatkan kecekapan organisasi,” ujar beliau. 

Tambah beliau lagi, perkara yang ketiga adalah mengenai pertukaran sistem penyampaian akademik daripada faculty based kepada college based untuk pelaksanaan pendidikan anjal yang sekian lama telah lama diluluskan pada peringkat universiti. 

“Sebagai contoh, perkongsian program antara fakulti yang mana pelajar boleh mengambil program di fakulti berbeza begitu juga dengan pensyarah serta tenaga pengajar. Malahan lebih banyak program boleh dikongsi bersama antara program Kejuruteraan dan Teknologi Kejuruteraan. 

“Dalam meneruskan agenda ini, pihak universiti juga telah memperkenalkan Kolej Teknologi Kejuruteraan, Kolej Kejuruteraan, Kolej Komputeran dan Sains Gunaan dan Kolej Pengurusan dan Kemanusiaan yang mana kelebihan kolej ini juga mampu mempercepatkan keputusan, terutamanya dalam proses memperakukan keputusan peperiksaan dalam Senat universiti,” katanya. 

Katanya, dalam lima tahun akan datang universiti menjangkakan seramai 5,000 orang pelajar mengikuti laluan TVET beraras tinggi diikuti dengan bidang Teknologi (3,000), Kejuruteraan (3,000), Komputeran (2,000), Pengurusan (2,000) serta Matematik dan Sains masing-masing dengan 1,000 pelajar dalam kampus bagi tahun semasa. 

“Sebagai universiti teknikal kita perlulah membuka laluan untuk TVET dan mulai pengambilan pelajar sesi akademik 2019/2020, UMP menawarkan dua program Teknologi Kejuruteraan iaitu Sarjana Muda Teknologi Automotif dengan Kepujian dan Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Fasiliti Minyak dan Gas dengan Kepujian selaras dengan tumpuan Kejuruteraan Automotif dan Teknologi Kejuruteraan. 

“Program Sarjana Muda Teknologi yang ditawarkan di empat universiti teknikal (MTUN) ini merupakan program artikulasi untuk pelajar lepasan DVM/DKM/DLKM untuk menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda dengan penekanan komponen kemahiran hands on untuk mengiktiraf kemahiran aliran TVET sebagai agenda memperkasakan TVET aras tinggi.  

“Dalam pada itu juga, UMP sepatutnya membuka laluan TVET dengan  mengembangkan program ini di luar kampus termasuklah membuka cawangan di Kuala Lumpur, Terengganu dan di tempat lain untuk menambah kapasiti program ini,” katanya. 

Bercakap berkaitan pendidikan fleksibel pula, dalam meningkatkan kualiti program pascasiswazah, Pusat Bahasa Moden dan Pusat Matematik perlu memainkan peranan yang penting bagi pelajar pascasiswazah. 

Ujarnya, tiada universiti teknikal yang hebat di dunia ini yang tidak mempunyai Pusat Matematik. Begitu juga tiada universiti hebat di dunia ini yang tidak memiliki Centre of Writing.

Sistem pentadbiran universiti juga perlu dimodenkan seiring dengan peredaran zaman dan mendepani Revolusi IR4.0 yang mana penggunaan aplikasi dan waktu bekerja anjal (flexi hour) bagi membolehkan produktiviti staf meningkat. 

Pemodenan pentadbiran dapat menggerakkan organisasi dan pemantapan dalam teknologi menghasilkan keputusan dibuat lebih cepat dan lebih strategik.

Dalam kerangka merealisasikan Pelan Strategik 2020-2025, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar menyasarkan peningkatan terhadap bilangan pelajar antarabangsa, memperbanyakkan program atas talian (MOOC) yang bersifat praktikal, memperkasa pusat kecemerlangan universiti dan memperbanyakkan produk pengkomersialan yang menjadi tempat sebagai teaching factory pelajar di universiti ini.

BIL. 45 SEP 2019

Beliau mengimpikan suatu hari nanti UMP mempunyai sebuah kumpulan penyelidikan yang menghasilkan produk penyelidikan (fundamental research) dan menjadi universiti pertama yang menghasilkan produk yang tidak pernah dihasilkan pihak lain di persada dunia ini. 

Beliau yakin sekiranya diberikan masa dan sumber yang mencukupi serta berdasarkan kepakaran didapati kumpulan Material sangat terkehadapan untuk merealisasikan impian ini.  

Mendekatkan universiti dengan masyarakat, penganjuran Program Dialog Pekan 1.0  dan wacana medan intelektual dalam program Siri Bicara Cendekiawan Mulia akan terus dilaksanakan sebagai wadah bersama memanfaatkan masyarakat khususnya di negeri Pahang terutamanya dalam memperkasa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) aras tinggi.

UMP terus berperanan sebagai agen transformasi yang melewati parameternya sebagai sebuah menara gading dan gedung ilmu pengetahuan dengan memperlihatkan peningkatan dalam bidang pendidikan. 

Universiti turut  menggembleng bakat-bakat yang ada di universiti ini secara strategik bagi memastikan kepakaran teknologinya dapat dibawa ke lapangan, penghasilan penyelidikan dan inovasi berimpak tinggi dan memacu keupayaan teknikal di negara ini.  


Info Sekitar Kampus

Sayangi negara, hargai nilai patrotisme tulen

BIL. 45 SEP 2019

Rakyat Malaysia perlu memiliki semangat patriotisme tulen yang cintakan negara dan akan membuat apa sahaja sama ada berkaitan kefahaman atau pegangan atau kepercayaan demi mempertahankan  negara.

Dalam konteks negara Malaysia yang mempunyai rakyat yang berbilang bangsa dan kaum adalah amat penting mempunyai semangat patrotisme, semangat bangga sebagai rakyat Malaysia dan menanam sikap setia kepada negara.

Selain itu, adalah penting juga untuk kita memahami sistem pentadbiran negara dan mempunyai perasaan sayangkan negara perlu ada kepada setiap rakyat, perasaan kekitaan, kesefahaman, kesetiaan kepada negara dan menghormati pemimpin, raja-raja juga berdisiplin dalam menjaga nama baik negara.

BIL. 45 SEP 2019

Menurut bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, jika sayangkan negara kita perlu menjalankan tanggungjawab dan tugas seperti meningkatkan produktiviti negara dengan cara mendidik anak bangsa menjadi warga terbaik sehingga boleh melahirkan pemimpin masa depan.

“Patrotisme wujud dengan dedikasi dan pengorbanan seumur hidup untuk negara. Ia boleh mewujudkan semangat kekitaan yang boleh menyatu padukan rakyat. 

BIL. 45 SEP 2019

“Kita ingin melihat rakyat bersatu padu dan bersama-sama menghormati satu sama lain serta hidup aman damai dalam negara,” katanya.

Ujarnya lagi, setiap tahun kita akan meraikan sambutan kemerdekaan dan simboliknya kita akan mengibarkan bendera dan menyanyikan lagu patrotisme beramai-ramai, namun belum tentu mereka ini mempunyai semangat patrotisme. 

“Kita perlu berani bersuara dan menyumbang idea atau pendapat dengan ikhlas yang boleh membawa kebaikan. 

“Selain itu, penghayatan terhadap erti kemerdekaan turut menuntut warganya untuk mengenali sejarah negara,” katanya.

Bagi Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS), Profesor Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil pula, Perlembagaan Persekutuan merupakan satu dokumen yang mengimbangi kedudukan kaum majoriti pribumi dan kaum minoriti yang lain. 

“Rahsianya ialah `tolak ansur’ iaitu memberi dan menerima (give and take), bebas dari ideologi dan pegangan agama yang ekstrem.

“Ini adalah tujuan sebenar kehendak penggubal Perlembagaan dan nenek moyang kita yang mahukan setiap individu di Malaysia dapat menikmati kehidupan aman, damai dan tenteram. 

“Ia menyaksikan semua kaum daripada pelbagai latar belakang agama dan etnik mendapat habuan masing-masing. 

“Semangat toleransi yang tinggi dan penerimaan kontrak sosial oleh tiga etnik terbesar dan enik kecil yang lain serta etnik di Sabah dan Sarawak sebenarnya lahir dari pendekatan kekitaan yang sekian lama diwarisi dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Program anjuran Pejabat Naib Canselor dan  Persatuan  Kakitangan Akademik UMP (Pakad) ini turut dihadiri Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dan Timbalan Ketua Polis Pahang, Dato’ Mohd. Yusri Hassan Basri.  

Program Bicara Cendekiawan Mulia bertajuk ‘Malaysia Baharu: Patrotisme Tulen atau Retorik Politik?’ ini dikendalikan Dr. Munira Abdul Razak yang merupakan Pensyarah Pusat Sains Kemanusiaan bertindak sebagai moderator dalam program yang berlangsung di Dewan Astaka UMP Kampus Gambang pada 28 Ogos 2019 yang lalu. 


Akademik dan Antarabangsa

Strategi merungkai permasalahan melalui kaedah TRIZ bentuk pemikiran kritis

BIL. 45 SEP 2019

Oleh: DR. ABDUL RASHID ABDUL AZIZ DAN KAPT. IMADUDDIN ABIDIN, PUSAT AINS KEMANUSIAAN.

TRIZ adalah singkatan dari akronim bahasa Rusia yang bermaksud Teori Penyelesaian Masalah Inventif (Theory of Inventive Problem Solving) yang diinspirasikan oleh Genrich Altshuller pada tahun 1946 untuk memastikan proses dan prosedur yang berkaitan dengan inovasi dan kreativiti dalam penyelesaian masalah dapat berjalan secara sistematik.

Ia terdiri daripada teori, proses, teknik dan prosedur operasi yang dicipta dengan objektif untuk menghasilkan proses kreatif dalam konteks teknikal dan teknologi yang dapat dikodkan dan dikelaskan supaya ianya boleh diguna pakai dalam menyelesaikan masalah dalam sektor kejuruteraan khususnya. Ringkasnya, ia adalah teori penyelesaian masalah inventif yang sangat berguna dan releven dalam era masa kini.

Menurut Dr. Abdul Rashid Abdul Aziz  daripada Pusat Sains Kemanusiaan, Kursus TRIZ selama tiga  hari ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu, Kursus TRIZ Level 1 For Instructor telah dijalankan dari 19 hingga 20 Ogos 2019 dan diikuti oleh Kursus TRIZ for Consulting (Foundation) pada hari berikutnya. 

“Antara peserta yang terlibat dalam kursus ini adalah mereka yang terdiri daripada tenaga pengajar subjek UHS2011 (Industrial Soft Skills) dan juga peserta dari Surabaya Indonesia.

“Kursus ini telah dijalankan melalui kerjasama antara Pusat Sains Kemanusiaan UMP dan MyTRIZ Malaysia. Dr. TS Yeoh, Presiden MyTRIZ Malaysia merupakan penceramah yang telah dijemput untuk menjayakan kursus ini.

“Peserta kursus memberikan pengalaman dan impak yang sangat baik. Mereka berpeluang mempelajari metod dalam penyelesaian masalah dengan cara yang sistematik menjadi tunjang utama dalam membentuk pemikiran kritis dan menjana kreativiti serta inovasi agar dapat diterapkan kepada mahasiswa UMP,” katanya. 

BIL. 45 SEP 2019

Tambah beliau lagi, persiapan melahirkan mahasiswa yang mempunyai paradigma kelas pertama, mendepani arus cabaran dan revolusi IR 4.0 bakal terlaksana.

Seperti yang telah ditekankan oleh Kapten Imaduddin Abidin yang merupakan Pengarah Projek, Kursus TRIZ Level 1 for Instructor berkata, ini sangatlah wajar kepada para tenaga pengajar khususnya sebagai persiapan untuk mendidik generasi kita untuk mendepani cabaran dan rintangan dalam ekosistem IR 4.0. 

“Ini sejajar dengan misi di Jabatan Kemahiran insaniah untuk melahirkan graduan yang mempunyai keperibadian dan kecekapan yang tinggi berdasarkan nilai-nilai positif kepada komuniti, industri dan negara.

“Kursus TRIZ ini juga membuka minda para peserta dan dilakukan secara komprehensif melalui beberapa kaedah seperti analisis penyelesaian masalah yang dijalankan secara kajian kes bagi memastikan kefahaman dan aplikasi teknik TRIZ peserta dipantau. Bahkan peserta juga perlu menduduki peperiksaan setelah tamat sesi kursus,” ujar beliau. 

Pada hari terakhir kursus pula, para peserta berada di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) untuk didedahkan dengan situasi sebenar penyelesaian masalah di organisasi. 

Dengan ini, secara tidak langsung para peserta juga telah berjaya membantu pihak KUIPSAS dalam menyelesaikan beberapa permasalahan organisasi yang dihadapi mereka dengan bantuan dua orang pakar bidang TRIZ iaitu Presiden MyTRIZ, Dr. TS Yeoh dan Timbalan Presiden My TRIZ, Tan Eng Hoo. 

Jalinan yang terhasil ini juga memberi peluang kepada pihak KUIPSAS mempelajari teknik dan strategi merungkai permasalahan melalui kaedah TRIZ.


Akademik dan Antarabangsa

CSR PAKAD bimbing pelajar SPM kuasai subjek Sains

BIL. 45 SEP 2019

Oleh: PROFESOR MADYA DR. FATMAWATI ADAM, FAKULTI TEKNOLOGI KEJURUTERAAN KIMIA DAN PROSES

Para pensyarah Universiti Malaysia Pahang (UMP) daripada Persatuan Akademik UMP (PAKAD) memberi bimbingan intensif kepada pelajar tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pahang (SMKAP), Muadzam Shah yang akan menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) pada tahun ini bagi meningkatkan kefahaman dalam subjek Sains seperti Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik.

Program ‘CSR Akademik PAKAD 2019’ melibatkan seramai 33 pelajar dan 12 guru SMKAP ini turut disertai  seramai 50 pensyarah UMP dan 11 pelajar pascasiswazah yang berlangsung di UMP Kampus UMP Gambang pada 6 dan 7 Ogos 2019 yang lalu.

BIL. 45 SEP 2019

Menurut Presiden PAKAD, Mohd Hairul Ab Rahim, program ini adalah selaras dengan objektif persatuan untuk menggalakkan staf akademik melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan. 

“Ia juga dapat mewujudkan kerjasama antara staf akademik dan para pendidik SMKAP melalui program pemindahan ilmu dan kepakaran pengajaran dan pembelajaran subjek berteraskan Sains,” katanya.

Manakala menurut Pengarah Program, Profesor Madya Dr. Fatmawati Adam, pelajar juga diberi peluang untuk merasai kehidupan suasana pembelajaran kampus termasuk memperkukuhkan pemahaman  konsep kimia di dalam makmal sebenar dan pembelajaran aktif serta menimba pengalaman kampus dengan bermalam di kolej kediaman universiti.

Bagi Profesor Madya Dr. Mohd Zuki yang turut sama turun padang membimbing pelajar berkata, pihaknya mengadakan pelbagai aktiviti dalam bentuk permainan, teknik dan hasil kreativiti pensyarah yang dijalankan bagi menanam minat serta meningkatkan pemahaman bagi memahami topik yang agak sukar. 

BIL. 45 SEP 2019

“Ia termasuklah permainan Matematik, cara memahami konsep elektrik dengan ‘Demonstrasi’ Hukum Ohm juga konsep termodinamik dengan ‘Demonstrasi’ Hukum Haba Pendam.

Pengetua SMKAP, Ustaz Abdul Rahim Mohamad turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada UMP di atas sumbangan dan kreativiti pensyarah yang telah banyak membantu pelajar untuk menanam minat, memahami kaedah serta memperkukuh pemahaman terhadap subjek tersebut.                                        

Turut berlangsung Ceramah Motivasi bertajuk ‘Pembelajaran Sains (Sunnatullah) Selari  dengan Ilmu al-Quran’ yang disampaikan Ustaz Ahmad Irfan Ikmal Hisham dari Pusat Sains Kemanusiaan UMP.


Artikel/Rencana Pilihan

Universiti  Teknologi Terunggul, Haluan Ini Harus Berbeza

BIL. 45 SEP 2019

Oleh: MOHD RAIZALHILMY MOHD RAIS DAN MOHD ZAKI AHMAD 
e-Mel: hilmy@ump.edu.my dan mohdzaki@ump.edu.my

BIL. 45 SEP 2019

100 hari pentadbiran diambil bagi melihat praperubahan fasa pertama yang diperkenalkan oleh Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff. Jumlah 2,400 jam yang telah berlalu merupakan satu  perubahan yang diperhati dan diukur oleh seluruh warga UMP. Corak perubahan yang berlaku ini amat drastik dan memerlukan pengamatan serta adaptasi segera oleh warga UMP, khususnya warga pentadbir.

Pertamanya, gagasan pentadbiran baharu ini menekankan bahawa perubahan yang  berlaku pada hari ini merupakan satu kerangka awal Pelan Strategik UMP yang ke-5. Walaupun pada masa ini UMP berada di dalam perjalanan Pelan Strategik yang ke-4, kegemilangan yang sedang dijana harus diolah demi memandang masa hadapan yang lebih bermakna.

Tulisan ini dilihat dari skop pentadbir universiti terhadap intipati ucapan 100 hari  Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff. Naib Canselor yang ke-4 ini menegaskan UMP seharusnya pada hari ini dapat membantu negara dalam menyediakan tenaga kerja teknikal berkompentensi tinggi.

BIL. 45 SEP 2019

Bermula saat dan ketika ini, semua warga universiti berkongsi hala tuju yang sama dan perlu diterjemahkan melalui penghasilan kerja masing-masing. Merujuk semula kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), warga UMP harus mendalami makna penubuhan sebuah Universiti Awam (UA) dengan mengambil tiga kata kunci utama iaitu ‘Mengadakan’, ‘Memajukan’ dan ‘Mengembangkan’. UMP merupakan sebuah universiti teknikal, oleh kerana itu, institusi ini harus mengadakan pengajian teknikal berdasarkan kepada keperluan negara. Perubahan dunia menuntut untuk pengajian teknikal ini dimajukan mengikut kehendak semasa. UMP juga harus menyelidik perkembangan semasa bagi mengembangkan pengajian teknikal sedia ada hari ini mampu menyokong kehendak kemajuan teknologi untuk masa akan datang.

Hasrat Naib Canselor secara terus disampaikan kepada warga staf untuk re-visit atau melihat semula objektif penubuhan universiti di bawah kluster MTUN. Para pentadbir diseru untuk bersama-sama membantu universiti bagi mencorakkan jalan kita sendiri dalam memajukan pendidikan teknikal beraras tinggi. Penekanan Naib Canselor kepada Kejuruteraan Teknologi harus diamati dan difahami sedalamnya oleh warga pentadbir universiti.

Beliau turut menekankan sikap kebersamaan dalam menjayakan agenda ini. UMP dari segi infrastruktur dan kemudahan sedia ada, sudah memadai untuk menyokong transisi menjadi sebuah universiti yang berasakan kepada kejuruteraan teknologi. Pada hemat Naib Canselor, sudah sampai masanya cawangan UMP dibuka di luar negeri Pahang. Peranan pentadbir sekali lagi diperlukan dalam membantu universiti dalam merancang dan mengelola program-program pengajian di luar kampus. Sistem pengajian secara anjal juga dicadangkan, iaitu dengan merentasi kolej pengajian. Perkara ini memungkinkan untuk universiti merancang graduan yang mempunyai minor dan major dalam pengajian.
 
Penubuhan sebuah universiti harus dihayati. Sebagai sebuah pusat gedung ilmu, proses penyampaian maklumat tidak sahaja berlaku dalam kawasan universiti sahaja. Seharusnya proses ini berlaku sehingga di luar universiti. Sebarang program luar yang dianjurkan haruslah berbentuk penyampaian maklumat dan ilmu, tidak hanya sekadar menyampai bantuan material mahupun wang semata. Identiti sebagai pusat keilmuan harus dibawa keluar. Universiti adalah komuniti akademik yang mana keahlian bukan sahaja terdiri dari pensyarah akademik, ia juga merangkumi keseluruhan tenaga kerja sebuah universiti. Tegasnya, komuniti akademik mempunyai asas yang sama, iaitu akhlak dan adab yang terpuji.

Menyentuh kepada soal pentadbiran universiti, banyak perubahan telah berlaku. Lantikan jawatan-jawatan baharu diwujudkan bagi melahirkan pentadbir akademik yang participative dalam hal ehwal universiti dan juga sebagai pelan penggantian kepimpinan UMP untuk masa akan datang. Pentadbiran hari ini agak berbeza dengan pentadbiran yang lepas.

Mengikut kaedah pengajian Sains Politik, teori Decentralization of Power atau sistem kuasa tidak berpusat telah diaplikasikan dalam pentadbiran UMP. Berbeza dengan Centralization of power atau sistem kuasa berpusat yang dilihat lebih kepada pentadbiran secara rejim berpusat dalam membuat keputusan, Decentralization of Power memberi ruang yang lebih luas kepada aktor-aktor utama dalam pengurusan tertinggi mahunpun aktor-aktor baharu dilantik membuat keputusan. Kepercayaan ini diberikan kerana aktor-aktor yang dipilih sudah cukup matang dan memahami selok-belok pentadbiran universiti serta pengurusan risiko. Perkara ini diputuskan bagi membolehkan Naib Canselor memikirkan hal-hal yang lebih strategik universiti bagi membantu pengembangan sistem akademik negara.  

Kesimpulannya, kesiapsiagaan pentadbir harus berada pada tahap yang paling tinggi. Asas utama yang perlu difahami adalah UMP pada hari ini sedaya upaya mengembalikan objektif penubuhan Malaysian Technical University Network (MTUN), selaras dengan IPTA model 2. Kecekapan pentadbir diperlukan dalam mengatasi sebarang kelompangan dalam pentadbiran natijah daripada perubahan yang berlaku.

Sistem kuasa tidak berpusat membuka ruang kepada ketua-ketua Jabatan yang dilantik membuat keputusan. Sokongan dan buah fikiran pentadbir amat diperlukan dalam menjana keputusan ketua-ketua tersebut. Positifkan minda kita dalam menyelesaikan masalah dan menghadapi perubahan ini. Perubahan ini menuntut agar kita bersama dalam apa jua keadaan yang berlaku, seperti peribahasa Melayu, ‘Cangkat sama didaki, lurah sama dituruni’ yang membawa maksud susah dan senang bersama dihadapi. Transisi ini merupakan perubahan UMP ke arah yang lebih jauh!

Sebagai pengakhiran, merujuk kepada surah al-Zalzalah yang dibaca bersama makna pada awal ucapan Naib Canselor, memberikan satu penegasan bahawasanya, amanah yang dipikul oleh setiap staf UMP tidak kira apa latar belakang mereka, akan dipersoalkan satu hari nanti. Tersirat dari surah yang dibaca, ia merupakan satu junjungan kepada tonggak utama dalam perkhidmatan awam, iaitu integriti dalam menjalankan tugas.
 
Penulis iaitu Mohd Raizalhilmy Mohd Rais ialah Presiden PPTI-UMP dan Mohd Zaki Ahmad ialah Exco PPTI-UMP. 


Artikel/Rencana Pilihan

e-Nose peranti yang boleh mengesan kemeruapan bau

BIL. 45 SEP 2019

Oleh: PROFESOR MADYA DR. MUHAMMAD SHARFI NAJIB

BIL. 45 SEP 2019

Bau merupakan salah satu fenomena yang tidak boleh disukat seperti mana kita menyukat berat, jarak, masa dan pelbagai lagi kuantiti fizikal yang lain tetapi boleh dibuat kalibrasi dengan peranti berpiawai. Bau adalah salah satu kesan yang terhasil daripada tindak balas yang berlaku daripada volatile organic compound (VOCs) atau kompaun organik yang meruap. Tindak balas ini boleh berlaku daripada kompaun yang berada di dalam bentuk pepejal, cecair atau gas.
 
Tindak balas boleh berlaku di antara pepejal dan cecair, pepejal dengan gas, cecair dengan gas, atau gas dengan gas. Bau sangat unik, contohnya apabila gas terbebas di udara, kemungkinan kompaun organik meruap ini akan bergabung dengan kompaun lain menghasilkan sejenis bau yang bertoksik atau tidak bertoksik. Bau yang tidak bertoksik kurang kesan dan risiko kepada manusia. Manakala bau yang bertoksik yang mempunyai kadar kepekatan dalam udara yang tinggi boleh menjejaskan kesihatan dan nyawa. Selain kompaun organik meruap, ada juga kompaun yang tidak berbau yang tidak dapat dikesan oleh manusia biasa tetapi boleh dikesan dengan alat pengesan gas.

Bagi mengesan bau, penggunaan peranti elektronik yang dinamakan e-Nose antara yang boleh diusahakan untuk digunakan kerana peranti ini berupaya mengecam bau berdasarkan profil bau yang hampir dengan kompaun yang standard walaupun tidak mencapai 100 peratus. e-Nose bergantung kepada berapa banyak profil sampel bau yang telah dilatih dan disimpan di dalam Mikrocontroller menggunakan teknik artificial intelligence. Antara kelebihan e-Nose ialah ia dapat membantu pengecaman bau yang unik bagi melakukan pengesanan awal bagi membuat pemetaan bau terutama di lokasi yang berbau.

Beberapa projek yang boleh diketengahkan secara praktikal sedang dilaksanakan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan beberapa industri dan institusi menerusi projek mengesan bau di industri yang berada berdekatan dengan komuniti. Industri yang berada di lokasi berdekatan dengan komuniti perumahan ini kadangkala akan menerima aduan daripada komuniti terdekat berkenaan bau yang tidak menyenangkan apabila kilangnya mula beroperasi. Antara industri yang mengeluarkan bau ialah industri minyak dan gas, industri kimia, industri ternakan, industri kelapa sawit dan getah. Industri yang mengeluarkan bau boleh menjejaskan ketenteraman komuniti berdekatan boleh terganggu kehidupan seharian. 

e-Nose yang direka bentuk untuk tujuan mobile adalah salah satu peranti yang boleh mengesan kemeruapan bau yang tersebar hasil daripada operasi industri yang menghasilkan bau melalui kaedah pemetaan bau. Beberapa lokasi yang disyaki meruap dengan bau perlu ditanda dan data pada beberapa keadaan perlu diambil secara berkala untuk menjustifikasi tahap bau berdasarkan dua kaedah iaitu dengan mengambil sampel dari cecair dan pepejal yang berpotensi dan dianalisa menggunakan mesin GCMS dan yang kedua adalah berdasarkan pakar bau yang terlatih.

GCMS yang ternama mempunyai data perpustakaan kompaun standard yang biasa terdapat di dalam kompaun organik meruap dan agak tepat. Namun, antara cabaran kaedah ini adalah ia memerlukan makmal dan agak sukar untuk bergerak. Kaedah yang kedua adalah berdasarkan pakar bau terlatih. Kaedah ini memerlukan pengalaman pakar bau yang berpengalaman dalam beberapa kompaun yang spesifik. Namun, kaedah berdasarkan pakar bau terlatih ini bergantung kepada sensitiviti hidung pakar bau tersebut. Keadaan kesihatan boleh mengganggu ketepatan pengecaman untuk membezakan bau.
 
Namun begitu, dua kaedah tersebut iaitu mengenal pasti kompaun organik meruap menggunakan GCMS dan memanfaatkan kepakaran yang terlatih di dalam pengecaman bau adalah sangat baik digabungkan dengan e-Nose sebagai peranti komplimentari. Dengan menggunakan e-Nose, beberapa punca bau yang signifikan dapat dipastikan dengan menukarkan profil bau dalam bentuk intensiti bau. Inovasi ini membantu pihak inudstri atau pihak yang memerlukan khidmat ini merancang pelan tindakan hasil daripada data profil bau e-Nose dengan lebih tepat dan saintifik. Kadang-kadang pihak industri tidak dapat mengesahkan punca bau sebenar secara tepat kerana limitasi penggunaan teknik anggaran dengan melatih pekerja sedia ada untuk mengecam bau. Kaedah manual menggunakan kepakaran manusia tidak banyak membantu kerana manusia mempunyai sensitiviti hidung yang berbeza dan tidak ada piawaian yang standard. e-Nose menggunakan kaedah saintifik berdasarkan data yang konsisten dan tidak bias di mana kaedah mengecam menggunakan e-Nose sangat efektif dan dapat mengurangkan kos operasi mengatasi masalah bau yang meruap.

Selain daripada masalah di atas, e-Nose juga boleh digunakan untuk mencari punca bau gas yang bertoksik di kawasan komuniti yang tidak dapat diatasi oleh manusia sepanjang masa. e-Nose yang mobile boleh direka bentuk yang boleh diletakkan di bangunan seperti bangunan institusi yang melibatkan ramai nyawa seperti di hospital dan sekolah untuk pemantauan 24 jam bagi mengesan pencemaran bau pada peringkat awal. Peranti seperti e-Nose boleh mengurangkan risiko pemantau untuk pergi secara langsung ke tempat pemcemaran bau tersebut. e-Nose adalah salah satu peranti yang sangat penting buat masa ini di samping kaedah-kaedah yang lain juga terutama apabila terdapat kes-kes pencemaran yang boleh mencederakan dan meragut nyawa manusia sebagai komplementeri kepada alat-alat yang lain.
 
Antara kelebihan manusia adalah diberi akal untuk berfikir dan pemikiran yang baik yang sepatutnya menjurus ke arah memberi manfaat dan meminimumkan mudarat. Ini adalah keistimewaan yang dimiliki oleh manusia di samping diamanahkan untuk mentadbir bumi termasuk mengurus alam sekitar sebagai salah satu ibadah umum untuk mentaati Allah. Pentadbiran, pengurusan, pengawalan dan pemantauan alam sekitar saintifik seperti menggunakan pelbagai kaedah moden perlu dikaji dari semasa ke semasa dan diberi perhatian yang khusus. Bencana yang berlaku di merata tempat tanpa pengurusan alam sekitar yang berkesan boleh menyebabkan terganggu proses rutin kehidupan manusia, fauna dan flora dan akhir sekali kerosakan alam sekitar memberi kesan bukan hanya kepada indovidu bahkan kepada semua umat manusia.
 
Adalah baik untuk kita bersama renung firman Allah SWT: “(Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi) dengan melakukan kemusyrikan dan perbuatan-perbuatan maksiat (sesudah Allah memperbaikinya) dengan cara mengutus rasul-rasul (dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut) terhadap seksaan-Nya (dan dengan penuh harap) terhadap rahmat-Nya. (Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik) yakni orang-orang yang taat) “.(al-Aaraf, ayat 56).

 Penulis ialah Profesor Madya di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, UMP.

Newsletter Image
BIL. 45 SEP 2019