Akademik dan Antarabangsa UMP terima pelajar perintis Program Teknologi KejuruteraanBuat pertama kalinya Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima pelajar yang bakal mengikuti pengajian Program Teknologi Kejuruteraan pada sesi kemasukan akademik 2019/2020. Universiti menawarkan tiga program baharu iaitu Sarjana Muda Sains Gunaan (Kepujian) Analitik Data, Sarjana Muda Teknologi Automotif dengan Kepujian dan Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Fasiliti Minyak dan Gas dengan Kepujian selaras dengan tumpuan (focus) terhadap bidang berkaitan Kejuruteraan Kimia, Kejuruteraan Automotif dan Teknologi Kejuruteraan. Sehingga kini, UMP menawarkan sebanyak 32 program pada sesi pengajian pada tahun ini. Program Sarjana Muda Teknologi yang ditawarkan di empat universiti teknikal (MTUN) ini merupakan program artikulasi untuk pelajar lepasan DVM/DKM/DLKM untuk menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda dengan penekanan komponen kemahiran hands on untuk mengiktiraf kemahiran aliran TVET sebagai agenda memperkasakan TVET aras tinggi. Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, seramai 1,880 mahasiswa hadir pada hari pendaftaran bagi mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda mulai Sesi 2019/2020 yang berlangsung serentak di kedua-dua kampus UMP Pekan dan Kampus Gambang. Daripada jumlah tersebut seramai 328 mengikuti pengajian Teknologi Kejuruteraan dan Kejuruteraan (825), Komputeran dan Sains Gunaan (518) dan program Pengurusan dan Kemanusiaan (209) di peringkat Ijazah Sarjana Muda. UMP turut menerima seramai 20 pelajar antarabangsa daripada Yaman, Jerman, Somalia, Sudan, China, Jordan, dan Indonesia yang mendaftar di UMP. Cakna terhadap kebajikan pelajar UMP hari ini, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar turut menyampaikan sebanyak RM 69 ribu sumbangan MyGift sebagai insentif bantuan pendidikan kepada seramai 69 mahasiswa baharu yang mendaftar di UMP kali ini. Selain itu, seramai 17 orang pelajar B40 menerima Skim Bantuan Insentif Pendidikan UMP berjumlah RM1,000. Inisiatif ini merupakan salah satu program di bawah MyGift UMP dalam meringankan beban pelajar untuk mendaftar masuk universiti. "UMP turut menyediakan pengangkutan, penginapan dan penyediaan makan dan minum kepada keluarga yang memerlukan,” katanya yang hadir bertemu ibu bapa dalam Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan UMP yang diadakan di Dewan Astaka UMP Kampus Gambang pada 2 September 2019 yang lalu. Hadir sama ahli Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Sri Sharif Shamsuddin dan Pengurus Serambi Ilmu Rakyat, Yayasan Bank Rakyat, Zatul Hasanah Mohamed Radzhuan. Dato’ Sri Sharif berkata, seramai 31 orang menerima Bantuan Awal Pendidikan Yayasan Bank Rakyat hasil kerjasama UMP dan Yayasan Bank Rakyat dengan jumlah RM1,000 setiap orang manakala seramai 21 pelajar menerima Insentif Kecemerlangan Matrikulasi - UMP daripada 15 matrikulasi seluruh negara yang cemerlang (3.67 dan ke atas) dan memilih UMP sebagai universiti pilihan utama sebagai suntikan semangat kecemerlangan berpanjangan. “Usaha ini adalah sebahagian daripada Inisiatif MyGift yang diperkenalkan UMP dalam usaha menjadi universiti komuniti dan sebagai satu usaha mengumpul sumbangan daripada mana-mana pihak bagi menyalurkan sumbangan endowmen bagi tujuan tajaan pelajaran, penyediaan kemudahan prasarana kepada pelajar mahupun membudayakan semangat membantu golongan yang memerlukan. “UMP akan menubuhkan Yayasan UMP bagi memperkemaskan operasi bagi membolehkan lebih ramai pelajar menerima manfaat. “Antara sumber kewangan yayasan adalah daripada keuntungan syarikat milik UMP, sumbangan pihak korporat, alumni dan orang luar,” katanya. Dalam pada itu, kehadiran dua pasangan pelajar kembar iaitu Muhammad Adham Jamal Akhbar dan Muhammad Akram Jamal Akhbar serta pasangan Safrizal Syazwan Zainal Hayat dan Syazwanie Zainal Hayat mencuri tumpuan.universiti. UMP juga menerima pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU), Muhammad Aliff Rozahimie yang mengalami masalah tulang belakang dan empat pelajar orang asli dari Jerantut Pekan, Temerloh dan Endau. Jalinan Kerjasama Kaloborasi UMP dan Haro Sports dalam bidang pembuatan kenderaan sukan pemotoranUniversiti Malaysia Pahang (UMP) dilihat sebagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pertama di Malaysia yang akan memiliki kepakaran dan menjadi pengeluar utama model kenderaan sukan pemotoran bagi Formula Comet melalui penawaran pembuatan kenderaan sukan pemotoran kepada umum yang berminat untuk terlibat dalam sukan pemotoran ini. Kerjasama dengan Haro Sports & Entertainment Sdn. Bhd. (Haro Sports) dalam teknologi kejuruteraan automotif yang dimilikinya ini bakal meneroka prospek pengembangan industri pemotoran dan perlumbaan bersama rakan sinergi sama ada dari sektor awam atau swasta. Ia membabitkan penyelidikan dan pemindahan teknologi pemotoran dan perlumbaan kepada para pengajar dan pelatih yang terdiri daripada pelajar dan staf UMP sendiri. Selain itu, membuka peluang kepada pelajar UMP yang terpilih untuk menceburkan diri dan meningkatkan kemahiran dalam pembangunan dan penyelidikan kenderaan sukan pemotoran Formula Comet serta pengurusan program dan acara perlumbaan. Ianya selaras dengan agenda UMP dalam memasyarakatkan teknologi dan menggalakkan kerjasama dua hala dengan pihak industri bagi memperkasa Pendidikan Teknikal & Vokasional (TVET) negara. Majlis menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani Ahli Lembaga Pengarah UMP (mewakili Senat), Dato’ Ts Dr. Rosli Mohd. Yunus dan Dekan Inovasi Industri, Profesor Madya Dr. Abdul Adam Abdullah. Manakala Pengarah Urusan Haro Sports, Fahrizal Hasan dan Pengurus Besar Haro Sports, Mohamad Yamin Ahmad Shafie hadir mewakili Haro Sports. Menurut Dato’ Ts Dr. Rosli, UMP berbangga dengan inisiatif Pusat Kejuruteraan Automotif (AEC) dalam berkaloborasi dengan pihak Haro Sports bagi meningkatkan pertukaran teknologi dalam bidang pembuatan kenderaan sukan pemotoran. “Sukan bermotor perlu dilihat sebagai satu ekosistem yang melibatkan pembangunan sebagai satu industri. Pembangunan bukan hanya untuk kenderaan, pemandu atau penunggang tetapi juga individu yang terlibat di belakang tabir. Mereka inilah merupakan tulang belakang pasukan unsung heroes,” katanya dalam majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet Canseleri Tun Abdul Razak, UMP Pekan pada 30 Ogos 2019 yang lalu. Ujar beliau, ia bersesuaian dengan pembentukan pelan pembangunan pendidikan berteraskan TVET, Learning Factory dan Teaching Factory kepada pelajar khasnya dan negara amnya yang wajar dilaksanakan dengan wujudnya penglibatan wakil industri secara berterusan. Manakala menurut Fahrizal, Formula Comet ini juga dilihat sangat berpotensi besar untuk berjaya memandangkan terdapat keperluan dan permintaan yang tinggi bagi membangunkan satu peringkat sukan pemotoran. “Potensi dalam mengembangkan pasaran terhadap kejohanan sukan pemotoran Formula Comet ini telah dikenal pasti akan lebih meluas yang menyasarkan kepada negara di rantau Asia Tenggara, Pasifik dan Asia Timur. “Hasil daripada usaha ini seterusnya dapat menyediakan peluang kerjaya dan latihan industri dalam bidang pemotoran dan perlumbaan secara global yang menjamin pendapatan yang tinggi kepada bakal graduan UMP dan seterusnya dapat meningkatkan kebolehpasaran dan melahirkan graduan yang berkualiti. “Selain itu, kerjasama ini juga membuka jaringan prospek yang lebih luas, terutamanya dengan rakan-rakan antarabangsa yang berkredibiliti lagi berpotensi,” katanya. Dalam majlis yang sama turut menyaksikan penyerahan kenderaan lumba Toyota 86 oleh pihak Haro Sports kepada UMP. Akademik dan Antarabangsa 2 pasang pasangan kembar sambung pengajian bersama di UMPDua pasang pasangan kembar mencuri tumpuan apabila mereka adalah antara 1,880 mahasiswa yang hadir mendaftar sempena hari pendaftaran mahasiswa baharu Univerisiti Malaysia Pahang (UMP) bagi Program Sarjana Muda Sesi Akademik 2019/2020 pada 2 September 2019 yang lalu. Pasangan kembar tersebut iaitu Muhammad Adham Jamal Akhbar dan adiknya Muhammad Akram Jamal Akhbar,19 serta Safrizal Syazwan Zainal Hayat dan Syazwanie Zainal Hayat, 19 yang tiba seawal jam 8.00 pagi bagi menghadiri sesi pendaftaran. Ibu kepada Adham dan Akram, Nor Khamsiah Mansor, 50 berkata, beliau sekeluarga bersyukur apabila kedua-dua anaknya dapat menyambung pengajian di UMP walaupun berlainan jurusan dan kampus memandangkan mereka berdua tidak pernah berpisah sejak dari kecil. “Pada mulanya saya amat risau sekiranya mereka menyambung pengajian di universiti yang berbeza kerana memikirkan bagaimana untuk menghantar mereka mendaftar serentak. “Namun, nasib menyebelahi mereka apabila keputusan diumumkan mereka ditempatkan di universiti yang sama,” katanya. Sungguhpun begitu, Adham ditempatkan di UMP Kampus Gambang bagi mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam manakala Akram pula ditempatkan di UMP Kampus Pekan dengan mengikuti Pengajian Kejuruteraan Mekanikal. Tambahnya ibunya lagi, beliau dan suami, Jamal Akbar Ahmad, 46 membuat perbandingan dengan beberapa universiti terlebih dahulu sebelum memilih UMP apabila mendapati universiti ini banyak mencapai kejayaan dalam bidang kejuruteraan. “Justeru, anak-anak memilih UMP sebagai pilihan pertama ketika mengemukakan permohonan UPU Online. “Sebagai ibu bapa, kami sentiasa memberi dorongan kepada anak-anak dan tidak pernah menghalang kedua-dua anaknya untuk memilih jurusan yang diminati malahan kedua-duanya mempunyai cita-cita yang sama untuk bergelar jurutera suatu hari nanti,” ujar beliau. Terdahulu, pasangan kembar yang berasal dari Terengganu ini merupakan bekas pelajar Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Pahang (KMKPh). Manakala anak pasangan kembar Zainal Hayat Abdullah,43 dan isterinya, Masjuliana Muslim,43 iaitu Safrizal Syazwan Zainal Hayat menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) dan adiknya Safrina Syazwanie Zainal Hayat pula mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia. Mereka juga turut tidak menyangka kedua-dua anaknya mendapat tawaran untuk menyambung pengajian di universiti yang sama. Akademik dan Antarabangsa Pelajar baharu UMP teruja terima bantuan UMPIbu mana yang tidak gembira apabila anak kesayangannya berjaya ditawarkan mengikuti pengajian ke menara gading. Namun, Rohana Rashid, 52, sedikit gusar apabila mengenangkan bayaran yuran pendaftaran dan kenderaan untuk menghantar anaknya bagi mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Projek di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini. Beliau yang merupakan seorang ibu tunggal dari Kampung Singkir Genting, Kedah langsung tidak dapat membayangkan keluarganya dipilih menerima bantuan daripada UMP yang tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mengurus kemasukan anaknya ke universiti. Pada awalnya, mereka sekeluarga bercadang meminta pertolongan bapa saudaranya bagi menghantar anaknya Amrina Rusyada Mat Kamal ke UMP Kampus Gambang. Namun beberapa hari sebelum hari pendaftaran, beliau mendapat panggilan telefon dari pihak UMP yang menawarkan bantuan menjemput mereka sekeluarga untuk dibawa ke UMP. Menurut Rohana, beliau seolah-olah tidak percaya ada universiti yang buat begini. “Kalau bantuan kewangan, kita biasa dengar tetapi apabila sebut ada yang nak tawarkan sediakan urusan kenderaan membawa ke universiti sememangnya luar biasa. “Saya bertanyakan pendapat dengan saudara mara dan jiran ternyata semua terkejut dan ragu-ragu dengan bantuan yang diberikan,” ujarnya Namun, menjelang hari pendaftaran pada hari Sabtu lalu, kehadiran pihak UMP ke rumahnya amat mengejutkan. Bermula dari situlah kebimbangan mereka bertukar terharu dengan bantuan yang diberikan ini. Tambah beliau lagi, UMP bukan sahaja menyediakan kemudahan pengangkutan, malah turut menyediakan kemudahan penginapan di rumah tamu universiti lengkap dengan makan dan minum sepanjang urusan pendaftaran. “Terima kasih kepada UMP atas bantuan yang diberikan dan mengakui anggaran kos pergi balik perjalanan dijangkakan lebih RM 500 dan baginya yang hanya berniaga nasi lemak, perbelanjaan ini sangatlah besar,” katanya. Nasihatnya buat Amrina, belajarlah bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan demi masa depan. Sementara itu, Amrina merasa terharu dengan keprihatinan dan bantuan yang diberikan oleh UMP kepadanya sekeluarga. Beliau turut menerima insentif MyGift UMP Bantuan Awal Pendidikan Yayasan Bank Rakyat berjumlah RM1,000 dan membakar semangatnya untuk terus belajar bersungguh-sungguh dan mengubah nasib keluarga pada masa depan. Selain Amrina, seramai 69 pelajar baharu turut menerima Inisiatif MyGift UMP sempena kemasukan pelajar Ijazah Sarjana Muda Sesi 2019/2020 pada 2 September 2019 yang lalu. Akademik dan Antarabangsa Kejuruteraan Perniagaan Jerman kini di MalaysiaOleh: TS. DR. LEE KHAI LOON, PENSYARAH KANAN, FAKULTI PENGURUSAN INDUSTRI UMP Kejuruteraan Perniagaan merupakan satu cabang baharu dalam bidang perniagaan yang ditawarkan Universiti Malaysia Pahang (UMP). Graduan daripada bidang ini bakal menjadi pemimpin dalam bidang kejuruteraan perniagaan melalui integrasi pengetahuan dan kemahiran kejuruteraan perniagaan dalam menginovasi amalan perniagaan. Mereka juga boleh menjadi pakar dalam bidang logistik, rantaian bekalan dan pengeluaran. Program yang ditawarkan ini juga adalah program premium di UMP. Pelajar yang mendaftar dalam program ini akan melengkapkan tahun pertama dan kedua mereka di UMP seterusnya bagi pelajar yang memenuhi kelayakan akademik, termasuk 14 mata ujian bahasa Jerman TestDaF (Test Deutsch als Fremdsprache) akan dibenarkan meneruskan pengajian pada tahun ketiga dan keempat di HsRT. Menariknya, bagi mana-mana pelajar yang berjaya menamatkan dua tahun pengajian di UMP dan dua tahun pengajian di HsRT akan dianugerahkan dua ijazah, iaitu Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perniagaan dengan Kepujian oleh UMP dan Ijazah Sarjana Sains Operasi dan Logistik Antarabangsa oleh HsRT. Program ini juga turut mendapat akreditasi penuh daripada Malaysian Qualifications Agency (MQA) dan The Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT), United Kingdom (UK). Selain itu, pelajar juga turut berpeluang mendapat maklumat terkini mengenai kerjaya melalui khidmat nasihat serta pembangunan profesional seperti bengkel dan latihan. Para pelajar akan dibimbing pada peringkat domestik dan antarabangsa malah bakal dinobatkan sebagai graduan yang holistik dan fleksibel yang dikehendaki dalam pasaran. Dengan cara ini, para pelajar bakal mengasimilasi pengetahuan dalam bidang Perniagaan dan Kejuruteraan. Ini membolehkan para graduan memperoleh kelebihan dalam persaingan untuk merebut jawatan perniagaan berorientasikan teknikal. UMP juga bakal menganugerahkan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perniagaan dengan Kepujian kepada 16 orang graduan Malaysia dan dwi Ijazah yang pertama bagi seorang pelajar UMP iaitu Syakiela Ahmad pada Majlis Konvokesyen ke-14 UMP pada tahun ini. |
- 459 views