Skip to main content
HEADER CREATE

Akademik dan Antarabangsa

Sinergi UMP dan MRSM mampu beri impak positif kepada pembentukan intelektual dan potensi pelajar

BIL. 53 OKT 2019

Oleh: MOHAMMAD HAKIMI KAMARUDIN, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT.

Menyedari bahawa realiti semasa dan cabaran masa depan terhadap pembangunan potensi diri pelajar, Universiti Malaysia Pahang (UMP) sentiasa terbuka menjalin kerjasama dengan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi tujuan pembangunan akademik.

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, keterbukaan UMP dalam konteks sebagai sebuah gedung pengetahuan yang berwibawa turut berperanan sebagai institusi yang merakyatkan dan mampu memberi impak positif kepada pembentukan intelektual anak-anak didik di MRSM.

BIL. 53 OKT 2019

“Pertambahan bilangan MRSM di seluruh negara dalam aspek kepelbagaian pendidikan telah melebarkan lagi akses anak tempatan yang berpotensi kepada peluang pendidikan menengah yang sempurna dan cemerlang.

UMP berbesar hati sekiranya MRSM turut serta merealisasikan aspirasi UMP ke arah sebuah Universiti Komuniti dan menjadi rakan sinergi UMP,” katanya yang hadir merasmikan Majlis Graduasi MRSM Ke-10 di Dewan Serai Utama MRSM Tun Abdul Razak Pekan pada 26 Oktober 2019 yang lalu. 

Sementara itu, Pengetua MRSM Tun Abdul Razak, Nik Jasmi Nik Yaacob berpuas hati dengan pencapaian 108 pelajar yang telah berjaya bergraduat dengan pencapaian 29 orang memperoleh Kelas Pertama, 48 orang memperoleh Kelas Kedua Atas dan 31 orang memperoleh Kelas Kedua Bawah.

BIL. 53 OKT 2019

Beliau juga berharap semangat yang ditunjukkan ini berterusan dan berusaha dengan lebih gigih bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal bermula pada 5 November depan.

Majlis turut menyaksikan Nurul Adlina Shamsul Kamal dianugerahkan Tokoh Pelajar 2019. 

Selain itu, pelajar ini juga merupakan penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik. Turut menerima anugerah  yang sama, Irfan Roslan.

Manakala Muhammad Afiq Danial Izi Arman dan Puteri Irdina Sofea Jazlan Arif masing–masing menerima Anugerah Sahsiah Terpuji.

Hadir sama Pengarah MARA Negeri Pahang, Raja Sarimah Raja Jamaluddin dan Yang di-Pertua Muafakat MRSM Tun Abdul Razak, Mohammad  Ismail.


Info Sekitar Kampus

Warga UMP santuni komuniti Rohingya dan luar bandar

BIL. 53 OKT 2019

Penganjuran program Jalinan Kasih Bersama Komuniti anjuran Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas (PPTI) Universiti Malaysia Pahang (UMP) bersama beberapa rakan strategik  pada 13 Oktober 2019 yang lalu memberi peluang buat warganya menyantuni golongan komuniti Rohingya terutamanya kaum wanita mempelajari ilmu kemahiran dan celik pendidikan dalam kalangan kanak-kanak  di sini.

Prihatin dengan nasib mereka yang tinggal di sekitar penempatan Balok ini telah mendorong pihak PPTI untuk menjalinkan kerjasama dengan komuniti setempat sebagai jambatan penghubung antara institusi pendidikan dan institusi masyarakat. 

Program ini merupakan satu inisiatif sokongan yang penting terhadap usaha pihak UMP bersama rakan-rakan kerjasama yang lain dalam konteks perkhidmatan kebajikan bagi tujuan peningkatan kesejahteraan dalam kalangan masyarakat setempat khususnya bagi mereka yang memerlukan. 

Beberapa aktiviti telah dirangka khusus untuk komuniti Rohingya dari pelbagai peringkat usia yang seperti Kelas Bahasa Inggeris, kelas Membaca, Mengira, Menulis (3M) dan kemahiran asas rumah tangga seperti kelas masakan, jahitan, dandanan, solekan, kelas penanaman hidroponik,  serta sumbangan kepada  asnaf.

Program ini mendapat kerjasama daripada Islamic Medical Association of Malaysia Response & Relief Team (IMARET), The UN Refugee Agency (UNHCR), Dentistry for the Needy, KEMAS, Giat MARA, Sekolah Kebangsaan Balok, sukarelawan Kelab Penyayang, pelajar Briged Siswa dan Pengurusan Majlis Kokurikulum UMP.

BIL. 53 OKT 2019

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dato’ Saifuddin Abdullah yang merupakan Ahli Parlimen Indera Mahkota merangkap Menteri Luar Negeri. 

Dalam ucapannya, beliau menghargai komitmen sukarelawan hasil gabungan antara universiti dan semua yang terlibat atas inisiatif menganjurkan program ini terutama mahasiswa UMP yang sama-sama menjayakan program bersama komuniti Rohingya. 

“Malaysia telah mula menerima kedatangan komuniti Rohingya sejak  tahun 1998, namun di Kuantan saya tidak pasti sejak bila kehadiran komuniti ini. 

“Seperti yang kita maklum, komuniti ini  terpaksa melarikan diri dari menjadi mangsa keganasan di Burma. 

“Sehingga kini, ada beberapa NGO yang membantu dalam keperluan dan pendidikan kepada golongan ini,” katanya yang hadir bersama isteri, Datin Norlin Shamsul Bahari.

Menurutnya lagi, kerajaan turut menggalakkan lebih banyak NGO untuk terlibat bagi membantu golongan ini. 

“Selain itu, kerajaan sedang mendapatkan tajaan antarabangsa untuk mendapatkan dana bagi membantu golongan ini terutama dalam pendidikan anak Rohingya.

“Persoalannya sekarang, sekiranya anak-anak ini cemerlang, bagaimana hala tuju mereka, justeru, kerajaan sedang meneliti perkara ini dan pada masa ini mereka menggunakan sebahagian kokurikulum Kerajaan Malaysia,” ujar beliau. 

Beliau turut mengharapkan masyarakat Malaysia dapat membantu dan berlapang dada untuk menerima kehadiran komuniti Rohingya ini.

Manakala Pengarah Program Jalinan Kasih Bersama Komuniti merangkap Presiden PPTI, Mohd Raizalhilmy Mohd Rais pula berkata, program ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial dalam menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat setempat, terutamanya dalam memupuk semangat ingin belajar dan menimba pengalaman baharu. 

Lebih 300 komuniti Rohingya menyertai program ini.  Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin,  Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Pahang (Sektor Pembelajaran), Haji Abdul Rahim  Haji Mohd Yunos dan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan, Tuan Haji Miftah Haji Surif serta Presiden Rohingya Society in Malaysia (RSM), Faisal Islam Muhamad Kassim. 


Rencana/Artikel Pilihan

Industri Nadir Bumi dari Sudut Pandang Pembangunan Lestari 
(Bahagian I)

BIL. 53 OKT 2019

Oleh: PROFESOR MADYA DR.-ING. MOHAMAD RIZZA OTHMAN
e-Mel: rizza@ump.edu.my

Artikel ini terbahagi kepada tiga bahagian. Bahagian pertama membincangkan konsep pembangunan lesteri secara umum diikuti dengan apa itu nadir bumi dan impaknya kepada ekonomi negara. Bahagian kedua artikel ini pula akan mengupas impak industri nadir bumi dari perspektif alam sekitar dan sosial. Dalam bahagian terakhir penulis akan kaitkan industri ini dengan konsep maqasid syariah.

Pembangunan Lestari

The Brundtland Commission mendefinisikan pembangunan lestari sebagai “… pembangunan yang memenuhi keperluan semasa tanpa mengabaikan keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi kehendak mereka.” Konsep Pembangunan Lestari atau Sustainable Development ini didirikan atas tiga tonggak utama iaitu ekonomi, alam sekitar dan sosial. Bagi memastikan projek pembangunan yang lestari, prospek ekonomi sahaja tidak cukup bahkan pembangunan tersebut mestilah mesra alam selain memenuhi tanggungjawab dan keperluan sosial. 

Dalam industri kimia misalnya, Institute of Chemical Engineers (IChemE) United Kingdom (UK) telah memperkenalkan satu garis panduan dikenali sebagai Sustainable Metrics bagi menilai kelestarian operasi loji kimia. Garis panduan serupa juga telah diperkenalkan oleh Amerian Institute of Chemical Engineers (AIChE) melalui kerjasama syarikat-syarikat ternama dunia seperti Air Products, Akzo Nobel, Ashland, BASF, Celanese, Dow Chemical, DuPont, Eastman Chemical, LyondellBasell, dan Praxair serta Rohm and Haas. Garis panduan ini diperkenalkan bagi memastikan kelestarian operasi loji kimia dari aspek ekonomi, alam sekitar dan sosial. 

Menilai prospek pembangunan secara multidimensi ini tidak mudah, apatah lagi jika terdapat percanggahan antara tiga tonggak utama tadi. Walau bagaimanapun, penilaian ini penting bagi memastikan pembangunan yang dirancang dilaksanakan dengan lebih bertanggungjawab dan memberi manfaat jangka masa panjang. Pemimpin dunia sama ada negara mahupun syarikat antarabangsa menyedari hakikat ini. Oleh itu, pelbagai polisi dan inisiatif dibangunkan kerana impak dari konsep ini meningkatkan produktiviti serta kepercayaan pemegang taruh. 

Apa Itu Nadir Bumi?    

Nadir bumi atau Rare Earth Elements (REE) merupakan gabungan 17 elemen dalam jadual berkala. 15 daripadanya dalam kumpulan lanthanides ditambah dengan scandium dan yttrium. Nombor atom 57 ke 61 dikategorikan sebagai Light Rare Earth Element (LREE) dan selebihnya bermula dari samarium adalah Heavy Rare Earth Element (HREE). Mineral ini sering dijumpai bersama-sama Naturally Occurring Radioactive Material (NORM) seperti thorium (Th) dan sedikit uranium (U). Perlu diketahui bahawa kedua-dua bahan ini mempunyai jangka separuh hayat yang sangat lama antara empat hingga 14 billion tahun. Kadar pereputan yang sangat lambat ini menyebabkan kuantitinya di dalam tanah hampir tidak berubah di samping penghasilan radioaktiviti yang sedikit dan lemah kerana tidak berupaya mengekalkan rantaian tindak balas radiasi. Unsur nadir bumi ini sebenarnya banyak terdapat di kerak bumi. Cerium (Ce) misalnya adalah mineral ke-25 paling banyak selepas kuprum. Sumber utama mineral nadir bumi datang daripada tiga jenis bijih mineral iaitu bastnaesite, monazite dan xenotime. Walaupun nadir bumi banyak terdapat di kerak bumi namun yang menjadikannya sukar dijumpai ialah lokasinya yang berselerak dan tidak tertumpu di kawasan-kawasan tertentu.

BIL. 53 OKT 2019

Kedudukan elemen nadir bumi dalam Jadual Berkala 
(sumber: http://www.rareelementresources.com)

Impak Ekonomi Industri Nadir Bumi

Sifat kimia dan fizikal nadir bumi yang unik menjadikanya banyak digunakan dalam teknologi masa kini. Cerium (Ce) dan lanthanum (La) misalnya, banyak digunakan dalam industri petrokimia dan permotoran. Neodymium (Nd) pula digunakan dalam penghasilan magnet manakala thulium (Tm), gadolinium (Gd) dan erbium (Er) banyak diguna pakai dalam industri elektronik seperti LCD, latar plasma, laser dan pengimejan perubatan. 59 peratus pasaran nadir bumi adalah untuk mangkin, pembuatan kaca, pencahayaan dan metalurgi, manakala selebihnya pula tertumpu kepada industri baharu seperti bateri, seramik dan magnet. Industri tenaga hijau juga banyak memanfaatkan unsur nadir bumi. Menurut sumber dari Pejabat Risikan Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2013, industri nadir bumi amat penting kepada teknologi awam dan ketenteraan terutama dalam ekonomi antarabangsa abad ke-21 ini. 

BIL. 53 OKT 2019

Kegunaan nadir bumi (sumber data: US Department of Interior. Mineral Commodities 2011)

Melihat kepada percambahan hiliran industri ini, permintaan dunia terhadap nadir bumi meningkat dari tahun ke tahun. Pada tahun 1997 hingga 2007 misalnya, pasaran nadir bumi meningkat sehingga lebih 20 kali ganda. Pada tahun 2008, sebanyak 129,000 metrik Tan Rare Earth Oxides (REO) diguna pakai. Dijangkakan 25 tahun akan datang, permintaan terhadap nadir bumi seperti neodynium akan meningkat melebihi 700 peratus berikutan berkembangnya industri tenaga hijau dan kereta elektrik. Begitu juga dengan dysprosium dijangkakan permintaannya meningkat sehingga 2600 peratus. 

Permintaan tinggi ini didokong oleh negara China yang merupakan pengeluar utama nadir bumi dunia. Tidak hairan jika China juga merupakan pengguna utama nadir bumi dunia diikuti oleh AS dan Jepun. Kebergantungan sepenuhnya kepada China untuk bekalan nadir bumi mengundang risiko kepada industri hiliran terutama jika berlakunya kekurangan bekalan di China atau perang ekonomi seperti yang berlaku sekarang di antara AS-China. Sebagai salah satu pembekal nadir bumi dunia, Malaysia boleh mengambil manfaat dari situasi ini. Negara-negara pengguna nadir bumi seperti AS dan Jepun mempunyai alternatif mendapatkannya dari Malaysia dan tidak berharap sepenuhnya kepada China. 

Peningkatan permintaan bahan komoditi ini secara tidak langsung memberi impak positif kepada ekonomi negara. Seperti mana industri kelapa sawit, getah, minyak dan gas, penguasaan terhadap asas rantaian bekalan ini penting untuk ekonomi negara. Pembentukan entiti seperti Felda, Petronas, MPOB dan lain-lain menjadi bukti keupayaan negara dalam menguruskan komoditi ini. Melalui entiti inilah pelbagai industri huluan dan hiliran wujud dan berkembang. Oleh itu, peluang ini harus diambil, bagi menyokong perkembangan industri perlombongan negara bahkan menggalakkan pertumbuhan industri berteknologi tinggi. Ini seterusnya dapat meningkatkan daya saing ekonomi negara di peringkat global dan paling penting membuka lebih banyak lagi ruang pekerjaan kepada rakyat.

Penulis ialah pensyarah kanan di  Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses, Universiti Malaysia Pahang (UMP)


Artikel/Rencana Pilihan

Mencorak Kepimpinan Masa Hadapan

BIL. 53 OKT 2019

Oleh : MUHAMAD TASYRIF GHAZALI
e-Mel: tasyrif@ump.edu.my

Pemimpin boleh datang dan pergi serta ada kalanya tergelincir dan tersasar, tetapi agenda perjuangan dan matlamat organisasi perlu digalas. Pemimpin dahulu kita sanjungi. Pemimpin semasa wajar dihormati dan pemimpin masa hadapan perlu dibangunkan berdasarkan kepada keperluan dan cabaran mendatang.

Transformasi kepimpinan yang dinamik dan semakin kompleks dalam revolusi industri terhasil daripada perubahan dalam konteks persaingan dan kreativiti dari sudut teknologi maklumat, inovasi dan persaingan ekonomi. Melihat dua dimensi yang membezakan antara pembangunan pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Pembangunan pemimpin merujuk kepada peningkatan keupayaan individu untuk memimpin dengan berkesan, manakala pembangunan kepimpinan merujuk kepada membina keupayaan organisasi untuk melaksanakan tugas kepimpinan yang diperlukan untuk mencapai misi organisasi. Asas ini perlu digabungkan bagi menghasilkan keperluan terhadap tenaga mahir dengan tahap penguasaan kompetensi kepimpinan yang tinggi dan berupaya mendepani cabaran pada masa akan datang.

Perubahan ini juga memberi kesan kepada ekosistem pendidikan pengajian tinggi. Teras kepimpinan menjadi salah satu tonggak utama institusi selain daripada tadbir urus, pengurusan akademik, pembelajaran dan pengajaran serta penyelidikan. Tunjang kepada kelestarian dalam Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tidak hanya terletak kepada pengiktirafan dan kesarjanaan akademik yang perlu dicapai, namun yang lebih penting adalah pemimpin perlu mempunyai dan memiliki nilai, keperibadian dan prinsip wawasan yang jelas serta daya kekuatan. Pemimpin yang mempunyai wawasan jelas memiliki kemampuan berfikir dalam pelbagai pendekatan dan dalam masa yang sama berupaya menerapkan sifat positif dalam diri.

BIL. 53 OKT 2019

Agenda kepimpinan ini merupakan satu usaha berterusan bagi melahirkan pemimpin bukan sahaja di peringkat institusi pendidikan malah di peringkat nasional. Membangunkan profil kompetensi kepimpinan bagi mencorakkan karakter pemimpin yang diaspirasikan pada masa akan datang. Kompetensi kepimpinan ini juga mengambil kira kepada perubahan masa kini yang menuntut kepada ciri-ciri pemimpin yang berfikiran keusahawanan, daya analitik yang tinggi, penguasaan teknologi dalam menghadapai cabaran generasi milenium yang dinamik dan fleksibel. 

Dalam perspektif Universiti Awam (UA), kepimpinan institusi perlu dibangunkan melalui satu perancangan yang tersusun dengan jangkaan bagi pembangunan kelompok bakat yang mempunyai standard kompetensi selari dengan arus global. Justeru, Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) sebagai agensi yang menerajui pembangunan bakat kepimpinan IPT sentiasa melihat mekanisme yang bersesuaian dan relevan dengan standard antarabangsa bagi memastikan instrumen dan metodologi yang efektif dalam pembangunan bakat kepimpinan UA.

Inisiatif pembangunan dan pemantapan kepemimpinan institusi merupakan usaha berterusan AKEPT bersama-sama rakan kolaborasi strategik dalam kalangan UA bagi memastikan pemimpin dan bakal pemimpin IPT negara dibentuk melalui latihan pembangunan, pendayupayaan dan pemerkasaan kepimpinan yang berstruktur dan dinamik di samping penekanan terhadap mutu, kualiti dan juga impak.

Kolaborasi ini perlu digemblengkan dengan menambah baik integrasi Sistem Pengurusan Sumber Manusia di universiti dalam memberikan penekanan kepada keberkesanan fungsi pengurusan sumber manusia bermula dari proses pengambilan, pemilihan, penempatan, latihan, penilaian prestasi, penghargaan serta urus tadbir yang baik.  Selain itu, universiti juga perlu memantapkan pelaksanaan inisiatif dan strategi dalam pembangunan bakat. Program latihan dan pembangunan yang terancang perlu dilaksanakan bagi memenuhi jurang kompetensi dalam menghasilkan kumpulan bakat yang berkemahiran tinggi dan produktif.

Usaha berterusan perlu dijalankan bagi mengenal pasti kompetensi yang bersesuaian bagi menghadapi perubahan pengurusan sumber manusia yang semakin mencabar. Dalam ruang lingkup yang lebih kompleks, cabaran pemimpin di IPT masa kini adalah berhadapan dengan landskap persekitaran budaya kerja di UA juga perlu mengalami transformasi agar aspirasi pembangunan dan perubahan ini dapat dicapai secara holistik. Keinginan permintaan dan keperluan pemegang taruh yang sentiasa ingin melihat institusi ini di tahap yang terbaik, berkualiti dan sentiasa berdaya saing menjadi ia satu institusi pilihan.

Walaupun tuntutan kepada kompetensi domain dalam IT dan teknologi, namun ciri kepimpinan sebenar tidak akan dapat dipisahkan dengan keaslian kompetensi perilaku termasuk komunikasi, nilai, etika dan integriti, kerja berpasukan. Kepimpinan memerlukan pengurusan hubungan manusia yang kukuh dan konsisten, membentuk satu pasukan kumpulan yang mampu bekerja sebagai sebuah entiti yang berupaya menyumbang kepada produktiviti dan matlamat organisasi dengan penggunaan sumber yang optimum.

Melangkah gagah pada masa hadapan, diharapkan AKEPT dan Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa menambah baik dari kerangkan dan falsafah dalam pemilihan pemimpin dan pembangunan bakat yang berpontensi diketengahkan sebagai tonggak masa depan negara. Penguasaan kompetensi kepimpinan diberi keutamaan untuk dibangunkan dengan menyediakan struktur intervensi dan pembangunan yang sistematik dengan pelbagai pendekatan sama ada latihan secara formal mahupun perkongsian bersama pihak berkepakaran, pemimpin organisasi dan kumpulan profesional.

Penulis ialah Eksekutif Kanan di Jabatan Pendaftar, Universiti Malaysia Pahang (UMP)

Newsletter Image
BIL. 53 OKT 2019