Skip to main content
HEADER CREATE

Akademik dan Antarabangsa

Penganugerahan Iwate University Global Fellow pengiktirafan buat UMP

BIL. 65 FEB 2020

Kolaborasi Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Iwate University (IU) Jepun sejak tahun 2009 menerusi perkongsian penyelidikan, program pengajaran dan pembelajaran, pertukaran budaya dan program mobiliti membabitkan pelajar dan pensyarah telah banyak memanfaatkan kedua-dua pihak.
 
Dalam usaha untuk memperkukuh hubungan bilateral kedua-dua institusi ini, pihak IU telah menganugerahkan 'Iwate University Global Fellow’ buat mantan pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Allahyarhamah Profesor Dato’ Dr. Mashitah Mohd Yusoff yang meninggal dunia pada 24 Januari 2020 yang lalu. 

Sepanjang perkhidmatan di universiti ini, Allahyarhamah pernah menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dan Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Korporat dan Kualiti) dan beberapa jawatan lain dalam pentadbiran serta banyak menyumbang terhadap pembangunan penyelidikan dan inovasi terutamanya dalam bidang Kejuruteraan Kimia dan Bioproses.

BIL. 65 FEB 2020

Majlis menyaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff hadir menerima sijil dan cenderamata daripada Presiden IU, Akira Iwabuchi bersempena kunjungan rasmi delegasi IU ke UMP pada 4 Februari 2020. 
 
Menurut Profesor Ir. Dr. Wan Azhar, sumbangan ini amat bermakna buat universiti dan seluruh warga universiti amat merasai pemergian Allahyarhamah Profesor Dato’ Dr. Mashitah yang banyak menyumbang bakti dan jasa terutamanya terhadap  pembangunan dan penyelidikan di universiti ini.
 
“UMP sebagai salah sebuah rangkaian universiti teknikal Malaysia amat berbangga dengan pengiktirafan ini yang  menyumbang terhadap kecemerlangan universiti dalam bidang akademik, penyelidikan dan inovasi serta hubungan sosial,” ujarnya.
 
Dalam pada itu, Akira Iwabuchi berkata, penganugerahan ini sebagai pengiktirafan universiti buat tenaga pengajar yang telah menyumbang dalam pengajaran dan pembelajaran serta bergiat aktif dalam bidang penyelidikan di peringkat antarabangsa. 

“Penganugerahan ini sepatutnya disampaikan pada Majlis Sambutan Iwate University’s 70th Anniversary pada bulan November 2019 namun pada masa itu,  Profesor Dato’ Dr. Mashitah tidak dapat hadir disebabkan masalah kesihatan,” ujarnya. 

BIL. 65 FEB 2020

Tambahnya, beliau merupakan penerima ke-9 daripada 10 penerima yang pernah dianugerahkan oleh pihak IU.

Selain itu, beliau mengharapkan lebih banyak peluang kolaborasi dapat diteroka hasil hubungan erat di antara UMP dan UI pada masa depan.
 
Hubungan erat ini dapat dilihat menerusi penganjuran bersama Asian Education and Research Consortium on Tool, Die and Mould Technology (2013) yang turut membabitkan gabungan empat universiti peneraju iaitu UMP, Iwate University (Jepun), Hanbat National University (Korea Selatan) dan Dalian University of Technology (China) bagi berkongsi kepakaran dalam bidang Kejuruteraan ini. 
 
Hadir sama dalam majlis yang berlangsung di UMP Pekan adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd. Rosli Hainin dan Pengarah Pusat Hubungan Antarabangsa, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Dr. Mohd Azmir Mohd. Azhari.  


Akademik dan Antarabangsa

Siswazah baharu UMP mula mendaftar

Oleh: NUR SA'ADATUL AFZAN JUSOH, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT 

BIL. 65 FEB 2020

Terserlah kegembiraan buat siswazah baharu Universiti Malaysia Pahang (UMP), Md. Nahidul Islam, 24, yang berasal dari negara Bangladesh tatkala hadir dalam sesi pendaftaran siswazah baharu dengan ditemani rakan senegaranya, Atik Faysal bagi mengikuti pengajian sarjana penyelidikan dalam bidang Elektronik dan Kejuruteraan Komputer.

Menurut Atik yang telahpun mengikuti pengajian di UMP Pekan, pengalamannya yang telah mengikuti pengajian di sini lebih awal memudahkannya membantu rakannya dan turut hadir sama menyambut rakannya sebaik sahaja tiba di Kuantan.

“Saya tidak sabar untuk membawa Md. Nahidul ke tempat-tempat menarik di sekitar Kuantan dan lokasi tempat makan yang sesuai dengan cita rasa kami. 

“Malahan kami juga tiada masalah mendapatkan makanan yang sesuai di kafe dalam kampus UMP,” ujarnya.

Begitu juga dengan dua rakan senegaranya Abdul Wahab, 27 dan Arshad Ali Khan, 29 yang berasal dari Pakistan juga bakal mengikuti pengajian kedoktoran (PhD) di universiti ini turut teruja untuk memulakan pengajian.

Manakala Vigneswaran Narayanamurthy, 23 dari India turut berkongsi kejayaan apabila dapat hadir pada sesi pendaftaran kali ini. 

BIL. 65 FEB 2020

Beliau bakal mengikuti pengajian Kejuruteraan Kimia. Baginya, UMP amat sinonim dengannya  memandangkan suaminya merupakan alumni di universiti ini.

Mereka ini adalah sebahagian daripada 72 orang siswazah baharu yang mendaftar bagi mengikuti pengajian peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) pada hari pendaftaran yang berlangsung di Dewan Astaka, UMP Kampus Gambang  pada 5 Februari 2020 yang lalu. 

Jumlah ini melibatkan seramai 22 siswazah mengikuti PhD, 23 siswazah Sarjana Sains (Penyelidikan) dan 27 siswazah kerja kursus dan campuran. 

Dalam pada itu, seramai lapan orang siswazah antarabangsa turut mendaftar dan jumlah ini dijangka akan terus meningkat.

Pendaftaran pelajar pascasiswazah itu dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Dekan Institut Pengajian Siswazah (IPS), Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim. 

Beliau turut mengambil peluang untuk memperkenalkan barisan staf IPS kepada siswazah baharu untuk memudahkan urusan berkenaan pengajian di masa hadapan.

“Kami berharap bilangan siswazah baharu akan bertambah, terutamanya siswazah antarabangsa. Malah, perancangan promosi akan lebih banyak dijalankan terutama kepada negara-negara yang sedang bergolak di Timur Tengah untuk menarik mereka meneruskan pengajian di UMP. 

“Lebih menarik lagi, UMP turut menyediakan biasiswa untuk mereka.

“Peluang ini juga digunakan untuk memperkenalkan siswazah baharu dengan senior dan secara tidak langsung, mereka didedahkan dengan proses pendaftaran dan pengurusan program,” katanya. 

Jelas beliau lagi, IPS turut menawarkan kursus elektif yang memberi 'tambah nilai' (value added) kepada siswazah yang mana menekankan kepada kompetensi dalam penulisan dan pembentangan tesis. 

“Ia dapat membantu siswazah menghasilkan tesis dan kajian yang lebih tepat, tetapi personal coaching ini dihadkan untuk 30 orang siswazah sahaja,” katanya.

Beliau berharap pihaknya dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada siswazah dari segi kebajikan, aktiviti dan program dan seterusnya merasai kehidupan kampus yang amat menyeronokkan.