Skip to main content
HEADER CREATE

Info Sekitar Kampus

Pemangku Raja Pahang lancar Jom Masuk IPT Zon 2 Pahang

BIL. 67 FEB 2020

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah  berangkat  menyempurnakan  program Jom Masuk IPT Zon 2 Pahang anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia yang menyaksikan Universiti Malaysia Pahang (UMP) sebagai tuan rumah pada kali ini yang berlangsung di Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang pada 22 Februari 2020 yang lalu. 
 
Program ini memberi peluang para pelajar sekolah menengah, lepasan diploma dan setaraf, ibu bapa, guru dan komuniti setempat merebut peluang menyambung pengajian tinggi di pelbagai institusi pendidikan tinggi negara.

BIL. 67 FEB 2020

Titah baginda, bakal mahasiswa perlu merebut peluang yang tersedia pada hari ini, untuk memilih kursus pengajian yang bersesuaian dengan minat dan pasaran kerja nanti. 

“Apabila peluang pendidikan tinggi itu berjaya diperoleh kelak, berusahalah bersungguh-sungguh, untuk mencapai kejayaan yang akan membanggakan keluarga.
 
“Elakkan sindrom 3k iaitu kuliah, kafeteria dan katil. Pencapaian akademik yang cemerlang sahaja, tidak lagi menjadi tiket dan jaminan untuk mendapat pekerjaan pada masa hadapan. 

“Justeru, semua pelajar perlu mencari peluang, meningkatkan kemahiran diri atau soft skills seperti kemahiran kepimpinan, pengucapan awam, kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif serta membina keyakinan diri, yang mana ianya amat diperlukan untuk memasuki alam pekerjaan kelak,” titah baginda.

BIL. 67 FEB 2020

Sementara itu, Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff berkata, dengan ruang dan peluang yang disediakan para pelajar dan lepasan sekolah yang menjadi kumpulan sasaran utama program ini akan dapat membuat keputusan yang tepat mengenai pilihan IPT serta kursus bersesuaian untuk melanjutkan pengajian dan seterusnya merealisasikan cita-cita kerjaya mereka pada masa hadapan.
 
“Sesuai dengan objektif utamanya sebagai medium penghubung sektor pendidikan tinggi dengan komuniti, program ini menyaksikan penyertaan lebih 100 pempamer dari pelbagai institusi dan agensi penyedia pendidikan tinggi untuk manfaat lebih 25,000 pelajar, lepasan sekolah, guru, ibu bapa dan orang ramai yang disasarkan sebagai pengunjung,” katanya.
 
Dalam program ini, pelajar dan ibu bapa berpeluang bertemu terus dengan wakil-wakil dari universiti dan kolej semasa pameran untuk mendapatkan maklumat melanjutkan pengajian, pembiayaan pendidikan yang sedia ada, dasar dan prosedur permohonan kemasukan melalui aplikasi dalam talian dan syarat-syarat kelayakan yang diperlukan.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA JPT, Wahi Nordin berkata, program Jom Masuk IPT mula dianjurkan pada tahun 2004 dan merupakan signature programme KPM. 

Pada tahun lalu, lebih 199,000 permohonan ke IPTA dan ILKA diterima dengan 138,000 daripadanya ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan ILKA bagi pelajar lepasan SPM.

BIL. 67 FEB 2020

“Tahun ini kita menganjurkan karnival seumpama ini di lapan Zon lagi dan ini merupakan Zon ke 2. Kita jangka akan ada pertambahan lagi dari segi permohonan kerana setiap karnival dianggarkan sekitar 20,000 hingga 25,000 pengunjung akan hadir,” katanya ketika ditemui selepas acara.

Beliau menyarankan agar semua calon dapat melayari e-Panduan di laman web upu.moe.gov.my sebelum memohon kursus melalui UPUOnline agar mereka dapat melihat program-program yang ditawarkan oleh 20 universiti awam, kolej matrikulasi, Institut Pendidikan Guru (IPG), politeknik, kolej komuniti dan empat buah Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

Selain pameran pendidikan dan penajaan, turut diadakan pameran dan demonstrasi Sains dan Teknologi termasuklah Lego Mindstorm Robot, Augmented Reality (AI) Educational Book, Social Robot (Facial Emotion Recognition) dan Kit STEM Bot.   
 
Program turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Pro-Canselor UMP, Tan Sri Dato’ Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor,  Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah, Kementerian Pendidikan Malaysia, Profesor Dr. Cairul Iqbal Mohd Amin dan Pengerusi Jom Masuk IPT Zon 2, Profesor Ts. Dr. Mohd. Rosli Hainin.
 
Sebagai salah sebuah universiti dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (RTUM), program kali ini turut memberi peluang ibu bapa dan pelajar mengetahui tentang pengajian program teknologi kejuruteraan yang ditawarkan UMP serta bidang berkaitan program pendidikan teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi yang mampu menyediakan peluang pekerjaan dalam pasaran menjelang era Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0). 

Mulai Sesi Akademik 2020/2021, UMP menawarkan enam program diploma dan 36 program sarjana muda termasuk program Ijazah Sarjana Muda Teknologi bagi menyediakan pelajar yang kompeten dan mahir dalam bidang teknikal dan memenuhi keperluan industri. 


Info Sekitar Kampus

UMP sasar 4 Objektif Strategik ke arah Universiti Teknologi Terunggul  menjelang 2050

BIL. 67 FEB 2020

Universiti Malaysia Pahang (UMP) meletakkan asas bagi mencapai kegemilangan bagi Pelan Strategik UMP 2021-2025 dengan menyasarkan empat objektif iaitu pertama menghasilkan graduan holistik yang dipacu bersama komuniti melalui program pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi, kedua mengupayakan kebolehan teknologi komuniti, ketiga menjana teknologi termaju (baharu) melalui inisiatif penyelidikan dan keempat menuju kelestarian kewangan dan amalan terbaik.

Seiring dengan Wawasan UMP menjadi universiti teknologi terunggul menjelang 2050, Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff menegaskan bahawa universiti ini perlu mempunyai ciri-ciri universiti world class dan yang paling utama adalah mempunyai sumber kewangan yang mampan juga pengurusan universiti berautonomi. 

“Dengan itu, kita mampu menghimpun bakat bukan sahaja pelajar malahan pensyarah sebagai pakar teknologi pertama di dunia. 

“Sekali gus menjadikan UMP menjadi sebutan dan bandar Pekan akan menjadi ternama suatu hari nanti.

“Pada ketika itu, UMP mampu mengeluarkan graduan bereputasi tinggi, menjadi orang-orang yang merubah dan sumber rujukan teknologi peringkat global serta penyelesaian masalah dunia, inilah gambaran universiti terunggul,” ujar Naib Canselor UMP yang memberikan bayangan universiti masa depan.

Selain itu, katanya, sistem pengurusan universiti juga dihormati, cekap, efektif dan meningkatkan maruah sebagai sebuah universiti terunggul. 

BIL. 67 FEB 2020

“Justeru, kita perlu bijak mencari jalan bagi memantapkan kelestarian kewangan dengan bebas menerusi sasaran RM5 billion untuk bergerak sendiri.

“UMP meletakkan sasaran yang lebih jauh apabila dilihat bakal menjadi universiti teknologi terunggul menjelang tahun 2050 dengan sasaran 90 peratus pensyarahnya mempunyai latar belakang akademik ijazah kedoktoran (PhD). 

“Ia dapat digambarkan dengan graduan yang dihasilkan bereputasi tinggi, relevan dan memberi khidmat kepada komuniti global seluruh dunia,” katanya. 

Jelas beliau lagi, pada masa ini, UMP mempunyai lebih 86 peratus dalam kalangan pensyarah yang memiliki PhD dan dalam usaha merealisasikan hasrat ini menjelang 2050 nanti, universiti perlu membangunkan bakat (pakar bidang) pensyarah untuk penghasilan teknologi baharu dan membangunkan sistem pengurusan yang mengoptimumkan bakat yang efektif, cekap serta dihormati dalam meningkatkan nama universiti. 

“Kepakaran inilah yang akan dirujuk dan program bagi melahirkan kepakaran ini akan dibina,” katanya. 

Berucap menyampaikan Amanat Tahunan Naib Canselor 2020 pada 15 Februari 2020 baru-baru ini, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar berkata, berdasarkan rekod Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pencapaian UMP dalam kebolehpasaran graduan kini adalah tertinggi apabila mencapai 96 peratus graduan bekerja dalam tempoh enam bulan selepas bergraduasi. 

“Sasaran ini perlu dikekalkan pada tahun 2025 dengan minimum pencapaian kepada tahap 90 peratus ke atas, namun universiti akan memperhalusi peratusan yang mendapat tawaran bekerja sebelum bergraduasi.

“Pelajar bukan sahaja dinilai terhadap pencapaian akademik sahaja malahan UMP menyasarkan peratusan pencapaian 80 peratus i-CGPA pelajar mempunyai kebolehan menyeluruh yang dibina daripada kemahiran lain.

“Ini termasuklah soft skills seperti komunikasi dan berbahasa (bilingual) serta bahasa ketiga. Selain itu, universiti turut menyasarkan pencapaian peratusan terhadap pengetahuan kesukarelawanan, kelestarian dan penjagaan alam (sustainability) dan lain-lain yang ditetapkan dalam X-CGPA,” katanya.

Tambah beliau, kita juga akan mengukur kebolehan pelajar melalui konsep major-minor.

“Misalnya, pelajar Kejuruteraan dibenarkan mengambil kursus dalam bidang lain seperti Pengurusan Perniagaan, Penyelesaian Masalah (Problem Solving), Perakauanan, Psychology, Qiraat al-Quran dan lain-lain memandangkan UMP mempunyai pensyarah yang berkepakaran dalam bidang-bidang ini.

“Bidang minor ini akan membolehkan pelajar teknikal bercerita tentang ekonomi, kewangan dan yang boleh melengkapi bagi memperkasa dengan menggunakan kepakaran pensyarah UMP ini berkongsi dan memperkembangkan bakat semua pelajar dalam menghasilkan graduan holistik dan celik dunia. 

“Dalam pada itu, UMP bakal membuka peluang kepada masyarakat untuk mengikuti program kepada industri serta program melibatkan akademia dengan masyarakat,” katanya.

Bagi perkembangan peningkatan bilangan program kerjasama dengan universiti luar terutamanya Jerman dan China dalam program premier Dual Degree Award di setiap fakulti, beliau berkata, selain kerjasama dengan pihak Karlsruhe University of Applied Science (HsKA) Jerman, hasil kerjasama UMP dengan SIASUN Robot & Automation Co.Ltd. di Shenyang, China serta institusi pendidikan di China membolehkan pelajar mengikuti dua tahun pengajian di UMP, satu tahun belajar di institusi pendidikan di China dan satu tahun menjalani latihan industri di SIASUN yang akan memberi tanda aras bertaraf dunia. 

Menurut Profesor Ir. Dr. Wan Azhar, UMP diklusterkan dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (RUTM) bagi mengupayakan keupayaan teknikal negara melalui program TVET aras tinggi. 

“Bagi mengupayakan kebolehan teknologi komuniti berteraskan kemampanan kerjasama universiti-komuniti, UMP hendaklah menjadi pakar dalam teknologi sedia ada. 

“Misalannya, kewujudan UMP memudahkan masyarakat memahami reka bentuk bangunan, sistem kawalan, reka bentuk sistem robotik, sistem telekomunikasi elektronik, Teknologi AI dan lain-lain. 

“Dengan adanya program di bawah Pusat Kecemerlangan UMP ia akan menggunakan teknologi yang lebih tinggi untuk memberikan satu value creation kepada masyarakat,” ujar beliau. 

Dalam bidang penyelidikan pula, katanya, UMP juga akan meningkatkan nisbah penyelidikan bagi meningkatkan keupayaan teknologi UMP melalui skim PDG (mengikut jabatan) dan bilangan produk buatan UMP (Technology Made in UMP) –TM @UMP.

“Dalam pada itu, universiti ini juga akan terus menjana teknologi termaju melalui inisiatif penyelidikan yang berimpak tinggi dengan melihat bilangan harta intelek (intellectual property) yang dilesenkan serta bilangan penghasilan teknologi baharu yang dimanfaat juga digunakan oleh komuniti (First technology in the World). 

“Menuju kelestarian kewangan dan amalan terbaik, UMP juga bakal meningkatkan peratusan peningkatan rizab (TDI) serta meningkatkan kecekapan operasi yang munasabah menggunakan kaedah terbaik dalam mengurus universiti.

“Dengan slogan bertemakan ‘Universiti Teknologi Untuk Masyarakat’, UMP komited menyediakan pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan bagi teknologi aras tinggi yang dipacu bersama komuniti melalui ekosistem keusahawanan sosial (social enterprise),” katanya. 


MyGift

Insentif Kecemerlangan (Platinum) Yayasan UMP buat mahasiswa cemerlang

BIL. 67 FEB 2020

Oleh: NUR SA'ADATUL AFZAN JUSOH, PEJABAT NAIB CANSELOR 

Terpilih menerima Insentif Kecemerlangan (Platinum) Yayasan UMP, mahasiswa akhir Universiti Malaysia Pahang (UMP) daripada Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Nurnajjah Ashuha Adipso tidak menyangka beliau adalah di antara 30 mahasiswa bertuah yang menerima insentif kecemerlangan bernilai RM500 apabila mendapat keputusan cemerlang pada semester ini.

Menurut Nurnajjah, pemberian insentif ini sangat membantu terutamanya untuk kelangsungan hidup pada semester baharu pengkuliahan. 

“Ia memberikan semangat untuk saya mengekalkan kecemerlangan dengan keputusan yang lebih baik sehingga tamat pengajian nanti,” katanya yang hadir sempena Majlis Penyerahan Insentif Kecemerlangan (Platinum) Yayasan UMP yang berlangsung di Dewan Bankuet Canseleri, UMP Kampus Gambang pada 22 Februari 2020 yang lalu. 

Begitu juga dengan mahasiswa Kolej Kejuruteraan, Yeoh Yuan Xin yang amat gembira dan tidak menyangka menerima insentif ini daripada Yayasan UMP. 

Ujarnya, penyerahan insentif ini menunjukkan UMP prihatin dalam menjaga kebajikan penerima biasiswa dan sangat menghargai usaha murni ini. 

“Saya berharap akan terus mencapai keputusan cemerlang dalam akademik dan kokurikulum di sepanjang pengajian di UMP ini,” katanya. 

Mereka berdua adalah di antara 250 penerima manfaat insentif pendidikan Yayasan UMP sejak diperkenalkan pada tahun 2016 lalu. 

Lebih bertuah, pada kali ini Yayasan UMP memperkenalkan Insentif Kecemerlangan (Platinum) Yayasan UMP bagi penerima manfaat yang meraih keputusan cemerlang dengan nilai gred 3.5 dan ke atas bagi setiap semester.   

BIL. 67 FEB 2020

Hadir menyampaikan sumbangan adalah Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad yang turut dihadiri Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, ahli-ahli Lembaga Pengarah UMP (LPU) yang terdiri daripada Datuk Aishah Shaikh Ahmad, Shaiful Suliman, Dato’ Sri Md. Sharif Shamsuddin dan Profesor Madya Dr. Wan Zuhainis Saad dengan diiringi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin.

Menurut Dato’ Sri Ibrahim, berdasarkan data sehingga tahun 2025, dijangkakan sebanyak 70 peratus mahasiswa UMP merupakan mereka yang berlatar belakang keluarga dalam kelompok B40.

“Insentif Kecemerlangan (Platinum) ini adalah inisiatif di bawah Yayasan UMP bagi menambah suntikan semangat kepada mahasiswa untuk terus mengekalkan kecemerlangan dalam pencapaian akademik sehingga tamat pengajian. 

“Mahasiswa yang terpilih adalah terdiri daripada mereka pernah menerima bantuan awal pendidikan daripada Yayasan UMP sebelum ini,” katanya.  

Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan sumbangan  bantuan zakat kepada 30 orang penerima yang disumbangkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk meringankan beban kewangan dalam urusan pembelajaran di UMP.  

Pihak Yayasan UMP dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) sentiasa mengangkat isu-isu kebajikan mahasiswa dan hal ehwal pendidikan mahasiswa menerusi penajaan biasiswa, pengagihan bantuan zakat dan sara hidup mahasiswa, inisiatif Campus Pantry serta bantuan pendidikan bagi mahasiswa baharu.

BIL. 67 FEB 2020

Selain itu, Yayasan UMP sentiasa mengumpul dana daripada pihak syarikat, institusi dan orang ramai bagi kegunaan kebajikan mahasiswa UMP serta membiayai program pendidikan, kemasyarakatan dan menyediakan kemudahan pembelajaran tambahan untuk dimanfaatkan mahasiswa universiti. 

Dalam pada itu, UMP turut giat menjalankan Kempen Jom Berwakaf Bersama bagi mengumpul dana bagi Wakaf Kolej Kediaman Mawaddah UMP. 

Sumbangan boleh dibuat dengan memuat turun aplikasi SnapNPay, Portal (FPX) atau potongan gaji bagi warga UMP. Orang ramai boleh melayari portal mygift.ump.edu.my. untuk maklumat lanjut.


Penyelidikan dan Inovasi

Penyelidikan UMP raih 10 pingat dan anugerah khas The Best Award for Consumer Electronics

BIL. 67 FEB 2020

Oleh: DINA DIYANA RASTAM TAN, JABATAN PENYELIDKAN DAN INOVASI 

Sistem Lampu Diod Pemancar Cahaya (LED) bercekapan tinggi yang dikenali sebagai UMP-Rediac LED Stick dianugerahkan pingat emas dan anugerah khas The Best Award for Consumer Electronics  dalam Malaysia Technology Expo (MTE) 2020 yang diadakan selama tiga hari bermula 20 Februari 2020 baru-baru ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. 

Dihasilkan pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Ts. Ikram Mohd Rashid bersama Hisaji Noda, produk ini mempunyai keistimewaan tersendiri melalui ciptaan inovasi Sistem LED ini tidak mengeluarkan haba atau suhu yang tinggi berbanding produk yangada di pasaran semasa juga tanpa memerlukan sirip penyejuk (heat sink).

“Kecekapan untuk sistem LED UMP Rediac ini adalah tinggi iaitu sebanyak 157 lm/w malahan sistem LED yang dicipta ini bukan sahaja boleh diaplikasikan untuk produk LED, malah ia juga boleh diaplikasi dalam lampu taman, lampu limpah, lampu jalan dan lain-lain aplikasi LED. 

“Selain itu, produk ini juga mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh peniaga pasar malam, pengembara, mekanik dan pengguna untuk mendapatkan sumber cahaya pada waktu malam. 

“Malahan alat ini senang untuk dibawa ke mana sahaja dan tidak memerlukan sumber tenaga dari utiliti,” katanya. 

Tiga lagi pingat emas UMP dimenangi oleh  pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam, Ir. Dr. Chin Siew Choo dengan kajian yang bertajuk OHE-CRETE: Sustainable Building Materials, Dr. Waheb Jabar dengan produk penyelidikan NB-IoT-FMWS dan Nor Azhar Ahmad daripada Fakulti Komputeran dengan produknya HeDoo Space, Teach & Learn - An Environmental IoT Analysis Modules & Generic Circuit Board.

Manakala enam pingat perak pula dimenangi oleh pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Industri, Profesor Madya Dr. Agus Geter Edy Sutjipto dengan produk penyelidikan Development of Inert Ceramic for Industrial Application, Dr. Mohd Shaiful Zaidi Mat Desa daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses dengan produk penyelidikan bertajuk Development of Improved Durability and Low Cost Solid Ankle-Cushion Heel (SACH) Prosthetic Foot dan Dr. Nadzirah Mohd Mokhtar daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam dengan hasil kajian MD Solution: MD Compact Unit for Industrial Wastewater Treatment.

Lain-lain Profesor Madya Dr. Noraziah Ahmad (Fakulti Komputeran) dengan tajuk Efficient Distributed Database Replication Systems for Online Selling Website, Dr. Wan Isni Sofiah Wan Din, Enhancement of Single Path to Multi Path Clustering in Wireless Sensor Network for Energy Conservation dan Dr. Ahmad Firdaus Zainal Abidin dengan projek penyelidikan Rex-Chain: Root Exploit Detection and Blockchain. 

Hadir sama berkunjung melawat pameran adalah Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad diiringi Dekan Penyelidikan UMP, Profesor Dr. Md. Mustafizur Rahman dan Pengurus Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Hazmin Aris bertemu para penyelidik UMP. 

Menurut Dato’ Sri Ibrahim, pameran ini merupakan medan buat para penyelidik mempamerkan dan mempertandingkan hasil kajian produk mereka kepada khalayak umum dan industri.

“UMP sangat bertuah mempunyai para penyelidik yang muda dan bermotivasi tinggi bagi menghasilkan produk penyelidikan dan inovasi. 

“Pihak universiti sentiasa memainkan peranan dalam merangka strategi dan pelaksanaan inisiatif strategik untuk melonjakkan prestasi penyelidikan dan inovasi UMP melalui sokongan penyediaan geran universiti, nasional, industri dan swasta juga antarabangsa,” katanya.

Penyertaan dan kejayaan yang diperoleh oleh UMP adalah satu petanda positif dan membanggakan apabila penyelidikan mereka diiktiraf.

Bukan itu sahaja, malahan penyertaan para penyelidik UMP ke pertandingan ini sedikit sebanyak membuka peluang kolaborasi bersama pihak industri, pihak industri kecil dan sederhana (SME) atau pihak yang berkaitan yang mana manfaat akhirnya bakal dinikmati oleh kumpulan sasar iaitu masyarakat umum bersesuaian dengan slogan UMP iaitu 'Teknologi untuk Masyarakat'.


Info Sekitar Kampus

Program Advokasi Kepenggunaan  beri pendedahan kepada golongan B40

BIL. 67 FEB 2020

Oleh: SITI NURFARMY IBRAHIM, UNIT PERHUBUNGAN AWAM, PEJABAT NAIB CANSELOR.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA) dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan program Advokasi Kepenggunaan membabitkan penyertaan daripada Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan komuniti setempat dalam program yang berlangsung di Auditorium Perpustakaan, UMP Kampus Gambang pada 20 Februari 2020 yang lalu. 

Program yang menyasarkan pengguna dalam kalangan keluarga B40 diadakan bagi memberi pendedahan dan kesedaran mengenai inisiatif sedang dilaksanakan pihak KPDNHEP terutamanya Program Bank Makanan (Food Bank) dan penipuan di atas talian (Online Cheating). 

Program ini juga dapat membantu golongan B40 dan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dalam menangani cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat dewasa ini.

Hadir merasmikan program Dekan Perkhidmatan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA), Profesor Madya. Dr. Mansor Sulaiman. 

Turut hadir Pengarah Pusat Jaringan Industri & Masyarakat, Profesor Madya. Dr. Nurul Hazlina Noordin, Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP, Wan Isa Wan Harun dan Dr. Irwan Syah Mohd Yusoff yang mewakil MACFEA.

Menurut Profesor Madya Dr. Mansor, penganjuran program ini dilihat suatu usaha positif dalam memastikan ilmu pengetahuan yang disampaikan menerusi ceramah dapat digunakan dengan penuh manfaat bagi menangani isu-isu yang berkaitan di samping memberi kesedaran dalam meneruskan kehidupan dalam suasana selamat, aman, sejahtera dan harmoni.

“Kita harap pendedahan ini dapat membantu golongan B40 supaya dapat menjadi pengguna yang bijak yang mampu melakukan perlindungan kendiri di samping tidak menambahkan beban masing-masing baik dari segi ekonomi ekoran mudah terpengaruh dengan kandungan iklan yang dipaparkan melalui media sosial.

“Selain itu, inisiatif kerajaan melalui Program Bank Makanan dilihat dapat meringankan kos sara hidup rakyat yang mana lebihan makanan yang diterima akan disalurkan kepada kumpulan-kumpulan sasar dan rumah kebajikan yang berdaftar. 

“Setakat ini difahamkan seramai 186,354 ketua isi rumah yang berada di bawah paras garis kemiskinan di seluruh negara,” ujarnya.

Melalui Campus Pantry ini seramai 1,400 orang pelajar B40 telah menerima manfaat yang melibatkan 8,500 unit makanan diagihkan melalui rakan penaja.

Antara rakan-rakan penaja ialah Tunas Manja Group, 99 Speedmart Sdn. Bhd., Adabi Kuantan Distribution Sdn. Bhd., Palma Unggul Enterprise, Hock Ho Hiap Kee Oil Mill Sdn. Bhd., Nurfirman Sdn. Bhd., Nirwana Group,  Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd., Legasi Z Sufi Marketing dan Syarikat Gean Ming Sdn. Bhd.

Dalam pada itu, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak berkuasa dalam mengekang jenayah seumpama ini termasuk meningkatkan penguatkuasaan undang-undang, pengoperasian, tangkapan dan pendakwaan ke atas mereka yang terbabit terlibat dalam aktiviti penipuan. 

Turut berlangsung majlis penyampaian hadiah bagi Pertandingan Video Kreatif sempena Program Advokasi Kepenggunaan ini. 

Dengan tema Food Bank, Wong Shu Jie dinobatkan juara yang berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM500.  

Manakala Noor Maizatul Masliza Norman dan Nurain Solehah Mohd Zulkifli telah memenangi tempat kedua yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM400. 

Tempat ketiga dengan tema Beware Of Online Cheating telah dimenangi oleh Nor Najiatul Munirah Mazlan dan Nur Alia Mohd Jamil.

Newsletter Image
67