Bil. 1 Okt 2018
Aktiviti Pelajar Norazlin terima Anugerah Penghargaan Khas Tokoh SiswaOleh: SITI NURFARMY IBRAHIM Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Tenaga & Alam Sekitar) yang menuntut di Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTeK), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Norazlin Hassan terpilih menerima Penghargaan Khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi yang disampaikan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir dalam Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2017 yang telah berlangsung di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Arau Perlis pada 25 September 2018 yang lalu. Hadir sama menyaksikan penganugerahan ini adalah Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Ts. Daing Nasir Ibrahim. Kejayaan Norazlin yang pernah meraih kecemerlangan dalam bidang penyelidikan termasuk memenangi ‘Double Gold Award’ dalam pertandingan Novel Research & Innovation Competition (NRIC) 2017 dan Special Award: Sustainable & Green Technology Award menjadikannya terpilih menjuarai kategori khas ini. Bagi Norazlin yang berkongsi penyelidikannya dalam `Hybrid Energy For Highway Lighting System’ mengatakan teknologi yang dihasilkan ini dapat memanfaatkan pengguna lebuh raya. “Projek ini merupakan salah satu inovasi yang diwujudkan bagi menghasilkan tenaga elektrik dari tenaga solar dan tenaga angin yang terhasil dari daya aerodinamik kenderaan. “Tujuan penghasilannya dapat membangunkan sistem pencahayaan lampu di lebuh raya dengan menggunakan tenaga yang boleh diperbaharui. “Teknologi ini membantu dalam menyelesaikan masalah pengguna yang menggunakan lebuh raya pada waktu malam dan dalam masa yang sama tidak mencemarkan alam sekitar,” katanya. Jelas beliau lagi, sistem ini juga sesuai digunakan dengan iklim di Malaysia yang menerima pancaran matahari sepanjang tahun dan sesuai untuk lebuh raya di mana kenderaan bergerak pada kelajuan 70 km/jam seperti di Malaysia. “Malahan teknologi ini juga boleh menangkap angin dari mana-mana arah dan pada masa yang sama boleh dipasang pada lampu lebuh raya yang sedia ada,” ujarnya. Mahasiswa yang bakal bergraduasi pada November ini berkata, kejayaan pada hari ini tidak bermakna tanpa sokongan dan doa daripada insan-insan tersayang. Beliau juga melahirkan rasa syukur atas segala tunjuk ajar yang telah diberikan oleh para pensyarah dan rakan-rakan yang banyak membantunya mencapai kejayaan sehingga ke tahap ini. Dalam pada itu berharap agar sentiasa dikuatkan semangat untuk menempuh cabaran dan rintangan pada masa hadapan serta membanggakan ibu bapa dan ahli keluarga yang lain. Buat mahasiswa yang masih menuntut ini juga mengharapkan lebih banyak penglibatan dalam bidang penyelidikan dan inovasi di samping dapat mengharumkan dan membanggakan nama UMP. Info Sekitar Kampus UMP lancar Portal Komuniti ADAM sebagai wadah penyatuan masyarakatUniversiti Malaysia Pahang (UMP) melancarkan Portal Komuniti A.D.A.M yang bertujuan sebagai wadah menyatukan masyarakat merentasi generasi dan geografi menerusi teknologi selari dengan slogan Pelan Strategik UMP 2016-2020 iaitu `Memasyarakatkan Teknologi’ pada 21 September 2018 yang lalu. Keunikan portal ini adalah sebagai hub perpaduan da peradaban sejagat bagi menyantuni dan menyatukan komuniti global berteraskan sumbangan umat terhadap keharmonian dunia terutamanya melalui pengurusan kepelbagaian serta Sains dan teknologi. Dengan mendapat kerjasama pihak Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN), ianya mengandungi 40 modul berkaitan perpaduan dan peradaban yang boleh dimanfaatkan dalam pendidikan awal pelajar sekolah. Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim, wibawa universiti sebagai gedung ilmu pengetahuan dan iklim kesarjanaannya menuntut warga UMP melihat patriotisme tersebut dari dimensi yang tersendiri. “Maka harus sekali ada mesej penting daripada penganjuran Festival Aku Darah Anak Malaysia (A.D.A.M) ini kepada para anak didik di universiti yang dapat dioptimumkan peranannya sebagai semaian subur patriotisme dalam kalangan warga kerja dan mahasiswa. “Penganjuran A.D.A.M sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2018 peringkat UMP menyaksikan kemeriahan warga universiti ini dalam menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September yang diselangi urusan kemasukan mahasiswa baharu pada 2 September yang lalu. “Dimensi patriotisme ini ialah keupayaan untuk mendakap standard pemikiran kelas pertama dan budaya tinggi (high culture) yang disertai kesedaran sivik dan penghayatan nilai etika. “Dimensi inilah yang sekian lama menjadi cabaran kepada kita warga Malaysia untuk direalisasikan. Menuju aspirasi menjadi negara maju, soal pemikiran, budaya, sivik dan etika begitu kritikal sebagaimana yang telah berjaya dibuktikan oleh rakan-rakan kita di negara Jepun,” katanya dalam Majlis Penutup Festival ADAM sempena Sambutan Hari Kebangsaan di Dewan Astaka UMP Kampus Gambang. Dalam pada itu UMP mengadakan beberapa aktiviti seperti Pertandingan Fotografi “Lensa Merdeka 61” dan Video Pendek “Lensa Bakti” bagi menyemarakkan semangat jati diri dan meningkatkan kesedaran tentang sejarah kemerdekaan serta menanamkan perasaan sayang kepada negara bersempena Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Universiti tahun ini. Antara pengisian termasuklah Pameran Kemerdekaan 2018 yang diadakan di Perpustakaan UMP, Classroom to Global Community bertemakan Ekspressi Bakti, Promosi dan Penghargaan melalui Teknologi (e-bP2@T), Aspirasi Merdeka dan Cendekia Bicara yang menampilkan aktivis kemanusiaan/jurufoto profesional iaitu Stefano Romano, Pengarah Pusat Bahasa Mandarin dan Kebudayaan, Yong Ying Mei dan penerima Pearson ELT Teacher Award an Global Teacher Prize Varkey Foundation–Malaysia iaitu Noorjahan Sultan bersama moderator yang merupakan pensyarah UMP, Dr. Youventharan Duraisamy. Turut berlangsung penyampaian hadiah Pertandingan Foto Lensa Merdeka 61 yang dimenangi oleh Siti Nuraishah Kamaruddin daripada Jabatan Penyelidikan dan Inovasi. Manakala bagi Pertandingan Video Pendek (Staf) dimenangi Syafikah Abd Aziz dari Jabatan Pendaftar manakala Video Pendek (Pelajar) dimenangi oleh Mohamad Amin Mohamad Mokhtar dan kategori Terbuka dimenangi oleh Airuz Fazli Zaharuddin. Penyelidikan dan Inovasi Projek i-E.R.A.T DIVo NAVi : ADAM diikirafOleh: MOHD. SHAHRI MOHD. AKHIR Projek i-E.R.A.T DIVo NAVi: ADAM yang diketuai pensyarah Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan (PBMSK), Dr. Munira Abdul Razak diiktiraf apabila meraih emas dalam International University Carnival on E-Learning (IUCEL) 2018 pada 13 September 2018 yang lalu. Universiti Malaysia Pahang (UMP) meraih dua pingat emas, tiga perak dan empat gangsa dalam iUCEL 2018 yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan tema Humanising Technology. Menurut Dr. Munira, bagi produk penyelidikan Pengurusan Kepelbagaian (Diversity Management) ini ia berbentuk Teknologi Disruptif dan ADAM adalah singkatan kepada Autentik, Dinamik, Altruistik dan Manusia yang mana kajian dilakukan sejak 2017. “Keistimewaan produk ialah gabungan, dua elemen utama iaitu Autentik dan Altruistik dalam menjamin kualiti produk servis berorientasikan aplikasi akademik, e-latihan serta gamifikasi yang bertepatan dengan aspirasi UMP iaitu ‘Memasyarakatkan Teknologi’ serta kehendak Industri dan Pendidikan 4.0,” katanya. Turut raih pingat emas, projek ‘Learning Space Quality Monitoring: Sensing the Unseen Factor’ oleh pensyarah dari Fakulti Sains Komputer & Kejuruteraan Perisian (FSKKP), Nor Azhar Ahmad. Sementara itu, projek ‘Flipping Bahasa Jepun’ yang diketuai oleh Syahrina Ahmad dan projek ‘Enhancing Learning Experience of German as Foreign Language Inst@gogy’ diketuai oleh Khairul Bahri Abdul Samad menerima pingat perak. Manakala projek ‘Digital Grammer Board (DiGraB) for Students Learning Engagement’ yang diketuai oleh Mohd Shafeirul Zaman Abdul Majid dari PBMSK juga membawa pulang pingat perak. Selain itu, pingat gangsa pula disumbangkan oleh Profesor Madya Dr. Zuraina Ali dan Jamilah Bebe Mohamad yang masing-masing dengan projek ‘VOC@AWL for Learning Vocabulary & Hayaa Nadrus Bahasa Melayu’ dan Ts. Dr. Awanis Romli serta Ts. Aziman Abdullah dari FSKKP dengan projek ‘ePALApps: Enhancing Parenting Literacy in a Smart Society 5.0 & myOBE’. Kejayaan ini sekaligus memberikan suntikan semangat yang lebih baik dalam memperhebatkan lagi penghasilan projek-projek yang berteraskan pembelajaran di atas talian. Sebanyak 210 projek yang dipertandingkan merangkumi institusi pendidikan awam dan swasta dari seluruh negara. Aktiviti Pelajar |
- 122 views