Skip to main content
UMP E-Newsletter

Info Sekitar Kampus

Forum Iklim Kebangsaan Monsun Timur Laut, peduli cuaca persiapan hadapi bencana

Forum Iklim Kebangsaan Monsun Timur Laut, peduli cuaca persiapan hadapi bencana

Forum Iklim Kebangsaan Monsun Timur Laut (FIK MTL) bertemakan ‘Siap Siaga Tengkujuh, Peduli Cuaca’ yang dijalankan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MMD) dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada 11 Oktober 2018 yang lalu merupakan platform untuk menyalurkan maklumat kepada agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana, pihak media dan orang awam mengenai peranan dan perkhidmatan cuaca dan iklim, khususnya persiapan menghadapi Monsun Timur Laut pada penghujung tahun ini.

Penganjuran bersama ini dilihat sebagai medium terbaik dalam usaha untuk menerapkan kesedaran tentang cuaca dan iklim kepada agensi setempat, para siswazah serta pelajar dari institusi pengajian tinggi. 

Pertubuhan bukan kerajaan, universiti dan pelbagai sektor yang peka dan sensitif terhadap isu cuaca dan iklim berkumpul bagi membincangkan kesiapsiagaan menghadapi bencana serta langkah-langkah persediaan bagi menghadapi musim tengkujuh.

Forum Iklim Kebangsaan Monsun Timur Laut, peduli cuaca persiapan hadapi bencana

Selain itu, forum ini turut memberi ruang dan peluang kepada para peserta untuk berkongsi pengalaman dan hasil kajian terutama di dalam bidang berkaitan cuaca, iklim dan pengurusan bencana. 

Antara agensi yang terlibat adalah agensi pengurusan bencana pusat, negeri dan daerah, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), para akademik, dan pelajar institusi pengajian tinggi.

Hadir merasmikan program Timbalan Ketua Setiausaha (Sains, Teknologi dan Inovasi), Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Profesor Madya Dr. Ramzah Dambul, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dato’ Dr. Mashitah Mohd. Yusoff, Ketua Pengarah, Jabatan Meteorologi Malaysia, Alui Bahari, Pengarah Pusat Iklim Nasional, Dr. Fariza Yunus dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam (FKASA), Dr. Mohamad Idris Ali.

Dalam ucapannya, Profesor Madya Dr. Ramzah memuji kolaborasi kedua-dua pihak ini dalam usaha mempelbagaikan disiplin kepakaran. 

Beliau percaya kerjasama dalam penerapan kesedaran tentang cuaca dan iklim melalui sumber kepakaran UMP dan kajian-kajian saintifik boleh diguna pakai bagi membantu meningkatkan kecekapan operasi cuaca MMD. 

“Ini sekaligus membolehkan tindak balas bantuan yang lebih pantas dan berkesan oleh agensi-agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana,” katanya. 

Sementara itu, menurut Profesor Dato’ Dr. Mashitah, kedudukan Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang menghadap Laut China Selatan mendedahkan negeri-negeri di zon ini kepada impak cuaca dan bencana yang dibawa oleh Monsun Timur Laut saban tahun.

Forum Iklim Kebangsaan Monsun Timur Laut, peduli cuaca persiapan hadapi bencana

“Musibah banjir besar yang pernah melanda negeri-negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu pada tahun 1926, 1970, 2007 dan 2014 misalnya memerlukan penelitian saintifik secara mendalam mengenai impak Monsun Timur Laut terhadap aspek kawalan dan pengurusan bencana, keselamatan dan kesihatan serta sosioekonomi setempat.

“Sejak tahun 2007, UMP sentiasa proaktif berperanan dalam memberikan khidmat sokongan sukarelawan, logistik, teknikal dan saintifik kepada pelbagai agensi kerajaan, badan swasta dan pertubuhan sukarela semasa bencana banjir, khasnya di negeri Pahang,” ujarnya yang membacakan teks ucapan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim di Dewan Astaka UMP Kampus Gambang.

Selain itu, pada masa yang sama, UMP juga terpanggil untuk mengembangkan potensi dan kapasiti penyelidikannya khususnya yang melibatkan penelitian terhadap perubahan iklim, risiko cuaca, impak geoteknikal, kawalan bencana, dan pengurusan bencana bagi meningkatkan keupayaan negara kita bagi menghadapi bencana alam.

Dalam majlis yang sama turut berlangsung pelancaran buku ‘Disaster in Malaysia-Tomorrow is a Mystery’ yang mengandungi kajian dan senario banjir besar yang berlaku antara tahun 2000 hingga 2015 oleh sekumpulan penyelidik dari FKASA.

Turut berlangsung pembentangan kertas kerja dan forum yang membincangkan Tinjauan Monsun Timur Laut 2018/2019 yang disampaikan Dr. Ahmad Fairudz Jamaluddin (MMD) dan Pengaruh Iklim Monsun Timur Laut Terhadap Reka Bentuk Bangunan dan Kejuruteraan Awam oleh Timbalan Dekan (Akademik & Hal Ehwal Pelajar) FKASA,Noram Irwam Ramli.

Manakala Ir. Rajaselvam a/l Govindaraju (JPS) pula berkongsi pengalaman tentang ‘Sistem Amaran Banjir’ dan Dato’ Ir. Rohaizi Mohd Jusoh (NADMA) mengenai ‘Kesiapsiagaan Menghadapi Monsun Timur Laut 2018/2019’.

Lebih 500 orang hadir dan berpeluang menyaksikan pameran terbuka melibatkan pelbagai agensi berkaitan.

 


Jejak Alumni

Usia bukan penghalang buat Ir. Khairul Azmi untuk memperoleh gelaran Ir.

Usia bukan penghalang buat Ir. Khairul Azmi untuk memperoleh gelaran Ir.

Oleh: ALIN BASTANI

Minat yang mendalam dalam bidang Kejuruteraan membuatkan Ir. Khairul Azmi Mohd Yusoff, 30 bercita-cita tinggi memperoleh Professional Engineer daripada Board of Engineers Malaysia (BEM) pada tahun 2017 bagi menambah gelaran ‘Ir.’ dalam profil kerjayanya. 

Bukan itu sahaja, oleh sebab pengajiannya yang diambilnya sebelum ini sedikit berbeza dengan kerjayanya sekarang, beliau telah mengambil kursus tambahan di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) berkaitan dengan elektrik.

Pada tahun 2011, beliau memperoleh Ijazah Sarjana Kejuruteraan Elektrik (Elektronik) daripada Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE) dan kini bekerja sepenuhnya dalam bidang jangka kuasa elektrik  (Electrical Power) sebagai Resident Engineer di Perunding Eagles Consulting Engineer. 

Usia bukan penghalang buat Ir. Khairul Azmi untuk memperoleh gelaran Ir.

Menurut Ir. Azmi Yusoff, beliau kini sedang mengusahakan Projek Ikano Toppen Shopping Mall di Tebrau, Johor Bahru. Ia merupakan projek di bawah jenama terkenal IKEA. 

Beliau bertanggungjawab untuk mereka bentuk, mengawasi dan menyelia pemasangan elektrik serta pembinaan pusat membeli belah untuk menepati piawaian yang ditetapkan.

“Projek yang dijangka siap pada April 2019 ini berpotensi untuk menarik minat ribuan pengunjung dari Singapura untuk berbelanja di IKEA Johor dan Toppen Shopping Mall sekaligus dapat meningkat dan menjana pertumbuhan ekonomi negeri Johor dan Malaysia umumnya.

“Projek besar sebegini lazimnya mempunyai risiko yang tinggi dari segi keselamatan di tapak projek. 

“Oleh itu, segala peraturan keselamatan wajib dipatuhi dan semua pekerja perlulah sentiasa berwaspada supaya risiko kemalangan dapat dikurangkan,” ujarnya. 

Mengimbas kembali zaman kanak-kanaknya, Ir. Azmi Yusoff  menyimpan hasrat untuk menjadi seorang pensyarah, namun mula jatuh cinta dalam bidang Kejuruteraan sewaktu menuntut di Kolej Matrikulasi. 

Beliau juga tidak pernah melupakan jasa pensyarah FKEE, Fairuz Rizal Mohamad Rashidi kerana menyampaikan ilmu dengan kaedah yang menarik dan mudah difahami.

Usia bukan penghalang buat Ir. Khairul Azmi untuk memperoleh gelaran Ir.

Beliau berpuas hati dan gembira apabila berjaya menyiapkan sesuatu projek. Ini kerana beliau berpeluang menggunakan segala pengetahuan dan ilmu yang diterima sewaktu menuntut dahulu. Semua itu digunakan sepenuhnya dalam semua projek-projek yang dikendalinya supaya hasil dapat dinikmati oleh orang awam. 

Selain itu, beliau sentiasa mendapat sokongan penuh daripada ibu bapa dan isteri yang menjadi pemangkin untuk terus berjaya dalam bidang Kejuruteraan serta berjaya memperoleh gelaran ‘Ir.’ pada usia muda. 

Baginya, gelaran Ir. yang dipegang itu merupakan suatu pencapaian yang amat membanggakan. 

Ujarnya sebelum mengakhiri wawancara, beliau berpesan kepada semua pelajar Kejuruteraan di UMP untuk sentiasa menambah baik kemahiran insaniah, menjaga tingkah laku dan jati diri setelah memasuki alam pekerjaan. 

“Ini kerana seorang graduan bukan membawa nama diri sendiri sahaja, malah keluarga, masyarakat, universiti, dan syarikat,” katanya. 


Artikel/Rencana Pilihan

Sudah tiba masanya pendidikan integriti diperkenalkan di sekolah

Sudah tiba masanya pendidikan integriti diperkenalkan di sekolah

Oleh: DR HASNAH HUSSIIN
          e-mel: hasnah@ump.edu.my

Dalam kesibukan negara kita memfokuskan kepada pembangunan sains, teknologi dan perindustrian, tanpa disedari nilai-nilai integriti telah dipandang sepi dan dilihat tidak mempunyai tempat dalam usaha pembangunan modal insan. Melihat kepada timbulnya kes yang melibatkan  rasuah yang semakin tinggi tanpa mengira pangkat dan darjat, sudah sampai masanya kita memandang ke bawah dan melihat kembali di manakah kesilapan dalam mendidik generasi yang bakal mewarisi pemerintahan dan pembangunan negara sebelum ini. Integriti tidak boleh dijadikan isu politik atau isu sensitif di negara ini. Ia merupakan isu yang perlu ditangani agar tidak terus menjadi barah kepada masyarakat Malaysia sehingga boleh menghancurkan tamadun bangsa Malaysia pada masa hadapan.
 
Berdasarkan statistik tangkapan rasuah oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) bermula Januari hingga Ogos 2018 sudah jelas memperlihatkan bahawa masyarakat Malaysia semakin longgar integritinya. Berdasarkan statistik tersebut, paling banyak tangkapan adalah berlaku dalam kalangan sektor perkhidmatan awam dan orang awam. Bagi sektor perkhidmatan awam kebanyakan mereka yang terlibat adalah dalam kalangan golongan pengurusan dan profesional. Manakala bagi sektor awam pula, golongan yang paling banyak tertangkap adalah dalam kalangan orang awam berbanding dengan pekerja swasta. Secara kasarnya, jika dilihat pada statistik tangkapan yang dibuat pada bulan Mei sahaja sebanyak 70 peratus penjawat awam yang ditangkap berbanding dengan 30 peratus tangkapan dalam kalangan orang awam. Manakala bagi bulan Ogos pula memperlihatkan sebanyak 55.65 peratus tangkapan telah dibuat dalam kalangan penjawat awam berbanding 44.35 peratus tangkapan bagi orang awam. Secara umumnya, terdapat kenaikan dan penurunan peratus tangkapan bagi kedua-dua sektor tersebut, walau bagaimanapun, golongan pengurusan dan profesional serta orang awam banyak yang terlibat dengan isu yang melibatkan integriti ini iaitu rasuah.
 
Persoalannya bagaimanakah untuk mengatasi dan mengurangkan masalah integriti ini dari terus menular dalam kalangan masyarakat Malaysia pada hari ini dan pada masa akan datang? Dalam hal ini, kita perlu berbalik semula kepada sistem pendidikan di negara ini. Tidak dinafikan negara ini sedaya upaya mahu agar rakyatnya celik teknologi agar tidak ketinggalan dalam arus globalisasi yang melanda dunia hari ini. Walau bagaimanapun, pendidikan integriti seharusnya diperkemaskan dan dinilai semula agar ia menjadi nilai penting yang perlu dimasukkan dalam kurikulum pendidikan di negara ini. Justeru, nilai bersih dan amanah perlu dinilai semula agar ia menjadi sebahagian dari pendidikan memupuk sikap integriti dalam kalangan generasi muda.
 
Pemupukan nilai-nilai murni seperti ini sebenarnya telah dilancarkan pada pertengahan April 1982, oleh Y.A.B. Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memfokuskan kempen Bersih, Cekap dan Amanah sebagai satu dasar yang menjadi amalan kepada semua masyarakat di negara ini khususnya kakitangan awam. Konsep ini adalah selaras dan sebagai asas kepada Kempen Kepimpinan Melalui Teladan pada 19 Mac1983. Jika dahulu nilai seperti Bersih, Cekap dan Amanah telah dijadikan sebagai wadah atau asas dalam membangunkan integriti sektor awam di negara ini, maka ia perlu diperhalusi semula sesuai dengan keperluan negara pada masa kini. Di sini diterangkan semula apakah yang dimaksudkan dengan nilai Bersih, Cekap dan Amanah tersebut.
 
Nilai Bersih
 
Jika berdasarkan kepada teras nilai Bersih yang diutarakan oleh YAB Tun Dr. Mahathir Mohamed, Bersih itu bermakna mempunyai nilai moral yang tinggi, bertatatertib dan berdisiplin, tidak menyeleweng dan tidak rasuah. Secara amnya, ada tiga perkara yang ditekankan iaitu berkecuali dan tidak memihak ke mana-mana atau berat sebelah, tidak mementingkan diri sendiri dan tidak khianat, hasad dan dengki.
 
Penerapan nilai Bersih dalam diri pelajar ini bukan sahaja membawa maksud bersih dari segi penampilan dan pakaian, malahan bersih dari pelbagai elemen negatif yang boleh merosakkan diri, agama, bangsa dan negara. Para pelajar harus disedarkan tentang pengamalan nilai bersih semasa menjadi mahasiswa lagi. Pelajar perlu didisiplinkan dengan penampilan yang sentiasa kemas semasa menghadiri kuliah atau kelas, pengamalan kebersihan di bilik asrama, kampus dan juga kelas. Itu penerapan nilai bersih secara fizikal. Manakala penerapan nilai bersih dari aspek rohani pula adalah pelajar perlu didisiplinkan dari aspek tidak mengamalkan budaya ‘copy paste’ iaitu menciplak hak orang lain tanpa kebenaran, tetapi mempraktikkan hasil kerja original dan membentuk paten sendiri dalam penghasilan sesuatu kerja. Selain itu, pelajar juga tidak boleh terpengaruh dengan budaya negatif yang boleh merosakkan akhlak dan sahsiah seperti perjudian, lepak, dadah, gangster, pergaulan bebas, seks bebas, vandalism, berpuak-puak, dan memihak kepada pihak tertentu. Pelajar juga tidak boleh mementingkan diri sendiri justeru itu diperkenalkan gerak kerja secara berkumpulan, serta mengikis sikap iri hati dan dengki sesama sendiri.
 
Nilai Cekap
 
Remaja masa kini perlu mempunyai semangat berani dalam membuat sesuatu keputusan. Justeru, penerapan nilai cekap adalah tepat sekali. Berdasarkan kepada nilai yang dikemukakan melalui Cekap adalah membawa maksud berani dan cepat membuat keputusan dalam beberapa perkara seperti:
a. Menghadapi krisis dengan tenang
b. Bersikap tegas kepada prinsip.
c. Mempunyai produktiviti yang tinggi dan kualiti dalam kerja.
d. Mempunyai keyakinan diri.
e. Berpandangan jauh - proaktif dan bukan reaktif.
f.  Berpengetahuan, berpengalaman dan mahir dalam bidang-bidang tertentu.
 
Kesemua elemen di atas dilihat kurang dipraktikkan oleh generasi muda hari ini. Disebabkan pengaruh digital dan teknologi dapat dilihat generasi kini kurang berdaya saing, berkeyakinan,kurang jatidiri dan sebagainya. Diharap apa yang dinyatakan tidak hanya tercatat di atas kertas dan ia perlu dijelmakan melalui perbuatan. Justeru, pengamalan di dalam dan luar kelas adalah perlu. Dalam hal ini, pendidik harus memainkan peranan bagi memastikan elemen-elemen tersebut dipraktikkan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran.
 
Amanah

Manakala nilai Amanah membawa maksud rela dan cuba menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dalam batas kuasa yang ditentukan dengan penuh gigih dan ikhlas bagi mencapai objektif yang ditetapkan. Mempunyai sifat luhur dan murni, jujur kepada diri sendiri, rakan dan organisasi. Oleh itu dalam menggapai hasrat ini, pihak kerajaan telah mempraktikkan nilai-nilai tersebut bagi memperbaiki perkhidmatan awam melalui langkah-langkah tertentu seperti menggunakan kad perakam waktu, fail meja, dan sebagainya. Pelaksanaan nilai Amanah dalam kalangan pelajar IPT pula adalah pada kehadiran ke kelas, menggalakkan pelajar menghasilkan karya asli yang bermutu dan terbaik sama ada di kampus dan luar kampus.
 
Walaupun pada hakikatnya, penerapan nilai-nilai integriti dilihat memfokuskan kepada pembentukan peribadi secara total, namun secara halusnya, ia cuba mendidik pelajar atau generasi baru akan pentingnya nilai amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dalam apa jua tindakan yang dilakukan termasuklah tidak mengamalkan rasuah.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang. 


 
Newsletter Image
Bil.2 Okt 2018