Skip to main content
UMP E-Newsletter

Akademik dan Antarabangsa

UMP melonjak kedudukan ke-188 Universiti Terbaik Asia

UMP melonjak kedudukan ke-188 Universiti Terbaik Asia

Oleh: HAZLINA FAIZAL, JABATAN HAL KORPORAT & KUALITI

Universiti Malaysia Pahang (UMP) melakar sejarah membanggakan apabila mencatatkan pencapaian terbaik dalam QS University Ranking Asia: 2019 dengan memperbaiki kedudukan dari 251-300 kedudukan 188 terbaik di Asia. 

Lebih membanggakan lagi pencapaian ini diperoleh sebaik sahaja UMP dianugerahkan Penarafan 5 Bintang oleh Quacquarelli Symonds pada 17 Julai 2018 lalu.

UMP melonjak kedudukan ke-188 Universiti Terbaik Asia
 
Bukan itu sahaja malahan sepanjang tahun ini, UMP mencapai kecemerlangan apabila meraih cemerlang lima bintang dalam semua penarafan pencapaian termasuklah Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA),  Sistem Penarafan Universiti dan Kolej Universiti (SETARA), Penarafan Pengumpulan Data Kementerian Pendidikan Tinggi (MyMohes) dan Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan berdasarkan Indeks Akauntabiliti Jabatan Audit Negara. 
 
Dengan keputusan QS Asian University Rankings 2019 yang telah diumumkan baru-baru ini, UMP merupakan universiti pertama dalam kalangan universiti teknikal (MTUN) yang berjaya berada pada tahap kedudukan terbaik Asia. 

Pencapaian ini mengambil kira 11 kriteria penilaian iaitu reputasi akademik, reputasi majikan, nisbah fakulti dan pelajar, jumlah sitasi bagi penerbitan, jumlah penerbitan saintifik per fakulti, jaringan penyelidikan antarabangsa, staf akademik antarabangsa, pelajar antarabangsa, pertukaran pelajar ke luar negara, pertukaran pelajar antarabangsa ke dalam negara. 
 
Selain itu, UMP mencatatkan perkembangan positif bagi dua kriteria utama iaitu reputasi akademik dan reputasi majikan yang perlihatkan bahawa asas dan halatuju universiti yang semakin kukuh dan matang.
 
Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato' Sri Ts. Dr. Daing Nasir Ibrahim, penarafan ini merupakan satu instrumen penanda aras yang membolehkan UMP mengkaji dan memperbaiki pencapaian universiti dari pelbagai perspektif. 
 

UMP melonjak kedudukan ke-188 Universiti Terbaik Asia

Ujarnya, menjadi antara universiti yang agak muda di Malaysia juga merupakan cabaran terutamanya dalam menjalin kerjasama penyelidikan dengan pihak industri dan ahli akademik dan universiti terkemuka. 
 
“Walau bagaimanapun, UMP mampu bersaing dan menempatkan diri antara universiti terbaik Asia dengan hasil usaha berterusan selari dengan Pelan Strategik UMP 2016-2020. 
 
“Bertepatan dengan tema menjana kegemilangan UMP akan terus memfokuskan lima lonjakan strategik  iaitu Keunggulan Akademik, Kelestarian Kewangan, Keunggulan Penyelidikan dan Inovasi, Keunggulan Jenama dan Kemampanan Sosioekonomi dan Persekitaran,” katanya. 

UMP akan terus memperkasa bidang pendidikan, Penyelidikan dan perkhidmatan yang bertaraf dunia dalam ekosistem kejuruteraan dan teknologi dengan lebih kreatif juga inovatif yang dapat memanfaatkan masyarakat di negara ini.
 


Jalinan Kerjasama

UMP dan Asahitechno Co. Ltd bangunkan teknologi Super Well Point tangani banjir

UMP dan Asahitechno Co. Ltd bangunkan teknologi Super Well Point tangani banjir

Oleh: MOHD IRWAN MUSA DAN AHMAD AMIRUL FAIZ AHMAD TAJUDIN DARI ERAS

Universiti Malaysia Pahang (UMP) jalin kerjasama dengan Asahitechno Co. Ltd Japan dalam perkongsian teknologi bagi mengaplikasikan kaedah menguatkan struktur tanah (ground improvement) dan mengurangkan aras air dalam tanah (ground water level reduction) menggunakan Teknologi Super Well Point bagi menangani masalah banjir di negeri ini.

Majlis menyaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Ts. Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Presiden Asahitechno Co. Ltd Japan, Shigeyoshi Takahashi menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dalam majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet Canseleri Tun Abdul Razak Pekan pada 17 Oktober 2018 yang lalu. 

Menurut Profesor Dato’ Sri Ts. Dr. Daing Nasir, negeri Pahang sering terdedah kepada risiko banjir yang disebabkan oleh Monsun Timur Laut yang biasanya berlaku pada setiap hujung tahun. 

UMP dan Asahitechno Co. Ltd bangunkan teknologi Super Well Point tangani banjir

“Usaha secara kolektif ini tidak mungkin dilakukan tanpa sokongan pelbagai pihak termasuk bantuan teknikal dan sokongan kewangan dari pihak berkepentingan yang berkaitan. 

“UMP komited dalam menjalankan penyelidikan berimpak tinggi melibatkan kerjasama strategik agensi kerajaan, universiti, institusi penyelidikan dan industri selari dengan Pelan Strategik UMP 2016-2020 bertemakan `Memasyarakatkan Teknologi’,” katanya.

UMP dan Asahitechno Co. Ltd bangunkan teknologi Super Well Point tangani banjir

Dalam pada itu Pusat Kelestarian Sumber Bumi (ERAS) juga akan menjalankan penyelidikan bersama dengan pihak syarikat Asahitechno Co. Ltd, Yamaguchi University,  Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Pahang dan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pahang dalam  membantu mengurangkan masalah banjir yang dihadapi oleh penduduk setempat.

Turut berlangsung penyerahan Geran Antarabangsa Japan International Coorperation Agency (JICA) berjumlah RM130 ribu bagi menjalankan penyelidikan bertajuk 'Feasibility Survey for Utilizing Super Well Point Method for Soft Ground Improvement & Flood Prevention, Malaysia' yang akan diketuai Pengarah ERAS, Profesor Madya Dr. Muzamir Hasan.  

Turut sama hadir Pengarah JPS Negeri Pahang, Ir. Jamil Shaari, Profesor Emiritus Dr. Masayuki Hyodo dari Yamaguchi University Japan, Pengurus Kanan (Operasi dan Kawalselia) Lembaga pelabuhan Kuantan, Dato’ Asmawi Nordin dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dato’ Dr. Mashitah Mohd Yusoff.


Penyelidikan dan Inovasi

Produk Umpan Anai-anai Pisoptera tembusi pasaran antarabangsa

Produk Umpan Anai-anai Pisoptera tembusi pasaran antarabangsa

Oleh: FIKRI ABDUL GANI, UMP ECOPEST

UMP Ecopest yang merupakan anak syarikat Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya menembusi pasaran antarabangsa bagi produk Pisoptera iaitu umpan anai-anai mesra alam yang diperbuat daripada tandan kelapa sawit kosong (EFB) bagi kerja pembasmian anai-anai di ladang pokok gaharu milik Syarikat Ajmal Perfumes di Assam, India pada 22 September 2018. 

Ajmal Perfumes merupakan sebuah syarikat pengeluar minyak gaharu terbesar di India dan mempunyai kilang di Dubai. 

Hasil kerjasama ini, pihak Ajmal Perfumes seluas satu ekar kawasan ladang pokok gaharu ini dijadikan ujian untuk menguji keberkesanan produk Pisoptera ini.

Menurut Pengarah Urusan UMP Ecopest, Syukor Abd.Razak, berdasarkan pemerhatian dan lawatan tapak yang dijalankan pihak UMP Ecopest mendapati 99 peratus kawasan ujian tersebut diserang anai-anai. 

“Serangan anai-anai ini telah memberi implikasi yang buruk terhadap tumbesaran pokok gaharu dan menyebabkan mutu pengeluaran produk berasaskan pokok gaharu semakin merudum. 

Produk Umpan Anai-anai Pisoptera tembusi pasaran antarabangsa

“Produk Pisoptera ini dihasilkan daripada tandan kosong buah sawit yang dibasuh dan dikeringkan sebelum dilarutkan bersama Archive 18.3 yang mengandungi bahan aktif Imidachloprid. 

“Pihak UMP Ecopest memberikan jaminan selama dua tahun bagi produk Pisoptera dan dalam tempoh dua tahun jaminan tersebut, rawatan susulan akan dijalankan setiap enam bulan,” katanya yang juga merupakan ketua penyelidik produk ini. 

Turut sama menyertai delegasi Pengurus Besar UMP Ecopest, Fikri Abdul Gani telah berlepas ke Assam, India bagi mengadakan perbincangan dengan pihak Ajmal Perfumes.

Selain itu, rawatan susulan pertama dijangka akan dijalankan pada Februari 2019. Sekiranya pihak Ajmal Perfumes berpuas hati dengan penggunaan Pisoptera, mereka akan memberikan kawasan pokok gaharu yang diserang anai-anai yang lebih luas kepada UMP Ecopest untuk dirawat menggunakan produk Pisoptera.

Beliau mengharapkan projek ini berjaya membantu menyelesaikan masalah berkaitan anak-anak dan lebih banyak produk Pisoptera mendapat pasaran yang lebih luas di persada antarabangsa.    


Info Sekitar Kampus

PIMPIN anjur Kursus Perkahwinan bina keluarga harmoni

PIMPIN anjur Kursus Perkahwinan bina keluarga harmoni

Oleh: MOHAMAD HASNUR ABDUL HAMID

Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIMPIN), Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan Kursus Perkahwinan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sebagai meneruskan usaha mendidik mahasiswa terhadap kepentingan membina institusi kekeluargaan yang harmoni pada 22 Oktober 2018 yang lalu. 

Program yang dihadiri seramai 250 mahasiswa ini turut memberi pendedahan awal tentang alam perkahwinan kepada para peserta yang bakal berumah tangga selain memberi panduan kepada para peserta berkaitan cara menguruskan proses perkahwinan bermula dengan permohonan pernikahan hingga ke hari pernikahan.

Kursus ini juga memberi panduan bagi menghadapi konflik dalam rumahtangga dan cara mengatasinya dengan berkesan.

Pengarah PIMPIN, Dr. Mahyuddin Ismail berkata, program yang dibarisi sembilan orang penceramah pakar yang dilantik pihak JAIP ini merupakan mereka yang berpengalaman dalam bidang kesihatan, pengurusan rumah tangga, komunikasi dan perundangan.

“Selama dua hari ini peserta berpeluang meningkatkan kefahaman dalam membina gerbang perkahwinan, mengetahui hak dan tanggungjawab dalam memastikan gerbang rumah tangga yang dibina kekal serta bahagia,” katanya.

Program diadakan bersempena penganjuran Karnival Mahabbah UMP yang dapat memperkasakan budaya ilmu pengetahuan seiring dengan perkembangan pembangunan insan dalam kalangan warga kampus. 

Sebanyak 17 program disajikan sepanjang dua minggu karnival yang mendapat kerjasama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), UMP Holdings (UMPH), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Pejabat Agama Islam (PAID) Daerah Pekan.

Karnival pada kali ini juga mengambil pendekatan dengan mengupas mengenai isu-isu semasa yang sentiasa dekat di hati mahasiswa. 

Program yang berunsur kerohanian dan pembudayaan ilmu seperti ini diharapkan dapat terus subur di UMP sejajar dengan matlamat melahirkan warga universiti yang bertakwa.


Info Sekitar Kampus

PIMPIN anjur Seminar Halalan Tayyiba Bincang Isu Halal Kontemporari

PIMPIN anjur Seminar Halalan Tayyiba Bincang Isu Halal Kontemporari

Oleh: USTAZ MOHAMAD HASNUR ABDUL HAMID, PUSAT ISLAM DAN PEMBANGUNAN INSAN (PIMPIN) 

Seminar Halalan Tayyiba yang dianjurkan bersama oleh Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIMPIN) dan Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan merungkai isu berkaitan teknologi makanan, fiqh dan berkaitan kepenggunaan yang melatari konsumerisme.membabitkan perkongsian kepakaran pensyarah Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan pakar dari luar pada 21 Oktober 2018.

Tampil menjayakan program adalah Prof. Madya Dr. Hasan Ahmad, Ustaz Tuan Sidek Tuan Muda, Dr. Azizan Ramli dan Prof. Ir. Ts. Dr. Rosli Mohd. Yunus membentangkan projek Gelatin Halal UMP-MARA. Manakala Ustaz Samir Sulaiman yang merupakan Penolong Pengarah Kanan Hab Halal JAKIM membentangkan tajuk `Isu dan Cabaran Pensijilan Halal’ disusuli Ustaz Fahrur Rozi dari IRHAM Centre yang mengupas topik ‘Sertu Dalam Industri’. Menurut Pengarah PIMPIN, Dr. Mahyuddin Ismail, objektif yang ingin dicapai dari penganjuran program ini adalah untuk menerangkan tentang kepentingan halalan tayyiba kepada pengguna dan pengusaha industri barangan kepenggunaan. “Ianya mendedahkan kepada pengguna dan pengusaha tentang pensijilan halal Malaysia. Perkongsian pengalaman ini memperkenalkan kepakaran yang ada di UMP selain membantu pembangunan halal negara khususnya di Pantai Timur melalui platform Pusat Latihan dan Konsultansi Halal UMP,” katanya. Program yang mendapat kerjasama UMP Consultancy Sdn. Bhd., Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli dan turut mendapat sokongan penuh oleh Bahagian Halal, Jabatan Agama Islam Pahang serta Majlis Ugama Islam Pahang dan Perunding Latihan Halal Bertauliah dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). 

Turut berlangsung sesi Forum Khas Halal yang dibarisi Pengurus Besar Bahagian Halal & Pematuhan Syariah QSR Brands (M) Holdings Bhd, Roslan Saludin,  Presiden Persatuan Muslim Profesional Jepun, Akmal Abu Hassan dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIP, Ustaz Noridzuan Abdul Manan. Turut hadir dalam program ialah Timbalan Pengarah MARA Negeri Pahang, Haji Zulbahari Hamzah.


Newsletter Image
Bil.3 Okt 2018