Koperasi UMPSA Berhad Umum Agihan Dividen 8 Peratus
PEKAN, 19 Januari 2026 – Koperasi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah Berhad (Koperasi UMPSA Berhad) menunjukkan prestasi kewangan yang positif apabila mengumumkan agihan dividen sebanyak lapan peratus kepada anggotanya bagi tahun kewangan semasa.
Pencapaian ini mencerminkan pengurusan kewangan yang berdisiplin serta pertumbuhan konsisten koperasi sepanjang lima tahun kebelakangan ini, selari dengan usaha memperkukuh tadbir urus, mengoptimumkan kos operasi dan mempelbagaikan sumber pendapatan secara strategik.
Menurut Pengerusi Koperasi UMPSA Berhad, Mejar Dr. Imaduddin Abidin, koperasi telah memulakan agihan dividen sebanyak lima peratus pada tahun 2023.
“Seterusnya, peningkatan kepada tujuh peratus pada tahun 2024, sebelum mencatatkan agihan tertinggi setakat ini iaitu lapan peratus pada tahun 2025 dan prestasi ini membuktikan keupayaan koperasi untuk mengekalkan pertumbuhan lebihan yang stabil dan mampan.
“Agihan dividen lapan peratus ini mencerminkan kestabilan kewangan koperasi hasil perancangan strategik dan komitmen berterusan semua pihak.
“Kepercayaan anggota menjadi pemangkin utama kepada pencapaian ini,” katanya.
Tambahnya, koperasi kini sedang melaksanakan penyusunan semula strategi perniagaan dengan memberi tumpuan kepada penerokaan peluang pelaburan baharu di luar ekosistem sedia ada, termasuk penglibatan dalam sektor berpotensi tinggi dan berdaya tahan.
“Langkah ini bertujuan untuk mempelbagaikan risiko, meningkatkan pulangan jangka sederhana dan panjang serta memperkukuhkan lagi asas kewangan koperasi.
“Koperasi juga menyasarkan agihan dividen sehingga sembilan peratus pada tahun hadapan, tertakluk kepada prestasi kewangan semasa dan persekitaran ekonomi,” katanya.
Kebajikan anggota kekal menjadi keutamaan koperasi melalui pelaksanaan inisiatif berteraskan konsep menang-menang, termasuk perkongsian keuntungan dalam projek khas yang melibatkan penyertaan langsung anggota.
Koperasi UMPSA Berhad komited untuk memastikan pertumbuhan yang seimbang antara pulangan kewangan, pengurusan risiko dan kesejahteraan anggota demi kelangsungan koperasi pada masa hadapan.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 133 views
Reports by: