Skip to main content

Seminar Pengurusan Keselamatan Bahan Kimia dan Sisa Kimia UMPSA tarik lebih 70 pembantu makmal dan guru di Pahang

KUANTAN, 9 November 2024 - Seminar Pengurusan Keselamatan Bahan Kimia dan Sisa Kimia anjuran Fakulti Sains Teknologi dan Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) baru-baru ini telah berjaya menarik lebih dari 70 orang peserta dalam kalangan pembantu-pembantu makmal dan guru-guru dari pelbagai sekolah di serata daerah Pahang termasuk Kuantan, Temerloh, Kuala Lipis, Rompin dan lain-lain. 

Program anjuran kumpulan penyelidik OSERa dari Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP), FSTI itu diadakan dengan kerjasama Cenviro Services Sdn. Bhd. di Kompleks Dagangan Makmur, Kuantan. 

Program sehari itu bertujuan untuk pemindahan ilmu dan peningkatan kesedaran dalam pengurusan selamat bahan kimia dan sisa kimia di makmal-makmal sekolah. 

Ia juga bertujuan untuk menjayakan program pemindahan ilmu dari universiti dan industri kepada komuniti menerusi Projek Geran Inovasi Sosial dan Pemindahan Ilmu Komuniti. 

Di samping pemindahan ilmu dalam tatacara amalan baik pengurusan bahan dan sisa kimia, ia juga merupakan platform terbaik untuk meningkatkan pengetahuan kepada kawalan risiko di tempat kerja yang melibatkan penggunaan bahan kimia yang bahaya. 

Justeru, program ini juga dapat meningkatkan tahap kesedaran kepada pengurusan bahan dan sisa kimia yang lebih selamat bagi mengurangkan risiko keselamatan dan kesihatan pekerja akibat terdedah kepada bahaya tersebut.

Dua sesi taklimat utama telah disampaikan oleh wakil UMPSA iaitu Ts. Dr. Hanida Abdul Aziz dan wakil Cenviro Services iaitu Muhammad Lutfi Mohd Ramli. 

Program turut dijalankan dengan beberapa aktiviti interaktif bersama peserta yang dibantu oleh pensyarah-pensyarah, pegawai sains dan pelajar sarjana muda dari Program KKP FSTI, serta wakil Cenviro Services. 

Salah satu komponen penting yang ditekankan adalah pengetahuan berkenaan pengasingan bahan kimia khususnya semasa proses penyimpanan, ini kerana kebanyakan makmal-makmal di sekolah tidak mempunyai sistem penyimpanan bahan kimia dan sisa kimia yang praktik dan selamat. 

Peserta juga turut diberi pendedahan kepada pematuhan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, 1994 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 bagi mengurangkan risiko bahaya bahan dan sisa kimia ini kepada pekerja seterusnya kesan kepada masyarakat setempat dan juga alam sekitar.

Program ini telah mendapat sambutan positif daripada Persatuan Pembantu Makmal di Pahang, yang mengakui bahawa kursus atau peluang pembelajaran berkenaan pengurusan selamat makmal amat terhad. 

Seminar Pengurusan Keselamatan Bahan Kimia dan Sisa Kimia UMPSA tarik lebih 70 pembantu makmal dan guru di Pahang

Mereka berharap agar program ini dapat diperluaskan dan disampaikan kepada semua sekolah bagi menyediakan tempat kerja yang lebih selamat dan sihat, khususnya kepada pembantu makmal. 

Ini wajar diberi perhatian memandangkan bahan dan sisa kimia yang terdapat di sekolah-sekolah yang telah lama beroperasi tanpa penyelenggaraan yang efektik dan sistematik. 

Malah, berpotensi memberi risiko kepada kemalangan yang tidak diingini seperti risiko keracunan gas atau kebakaran akibat proses pemeruapan dan tindakbalas bahan kimia berbahaya kepada pelajar-pelajar yang mana merupakan pengguna makmal di sekolah.

Respon positif yang diterima oleh rata-rata peserta ini dapat menggambarkan kepentingan seminar seperti ini untuk terus diamalkan dalam pemantapan pengurusan keselamatan yang lebih baik di makmal-makmal sekolah. 

Sekali gus inisiatif ini diharapkan dapat juga mengurangkan risiko kemalangan dan meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya pengurusan selamat bahan kimia dan sisa kimia khususnya dalam kalangan warga sekolah.

Disediakan Oleh: Dr. Wan Norlinda Roshana Mohd Nawi, Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI)
 

Reports by:
Admin UMP News