Skip to main content

UMPSA anjur Bengkel Pemantapan Juruaudit Dalaman EKSA 2026

PEKAN, 13 Januari 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus menzahirkan komitmen dalam memperkukuh tadbir urus berkualiti dan mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif apabila menganjurkan Bengkel Pemantapan Juru Audit Dalaman Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) UMPSA Tahun 2026 pada 13 dan 14 Januari 2026. 

Bengkel anjuran Pusat Pengurusan Strategik & Kualiti (PPSK) itu telah berlangsung di Dewan Latihan 1, Bangunan Pusat Digital (DiTec), UMPSA Pekan.

Penganjuran bengkel itu bertujuan untuk meningkatkan kefahaman, kemahiran dan kompetensi juruaudit dalaman dalam melaksanakan audit EKSA secara berkesan, sistematik serta berintegriti, selaras dengan garis panduan yang ditetapkan bagi mencapai persekitaran tempat kerja yang kondusif.  

Selain itu, bengkel itu turut menjadi platform penting dalam menyelaras pemahaman warga universiti terhadap keperluan penarafan EKSA sebagai persediaan menghadapi audit tahun 2026 dan menjelang penganjuran Hari Kualiti dan Inovasi (HKI) 2026 yang dijadualkan pada bulan Mei akan datang.

Bengkel selama dua hari ini menampilkan Hasbullah Wahab, Champion EKSA 2024 dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang sebagai penceramah jemputan. 

Beliau turut berkongsi pengalaman luas, amalan terbaik dan strategi penambahbaikan berterusan dalam pengurusan EKSA di organisasi awam. 

Menurut beliau, bengkel seumpama ini amat penting bagi memastikan juruaudit bukan sahaja memahami kriteria penilaian, malah mampu menilai secara objektif dan berimpak tinggi dalam menyokong kecemerlangan organisasi.

Hari pertama bengkel memberi penekanan kepada sesi teori yang merangkumi dasar dan hala tuju EKSA, kriteria penilaian, peranan serta tanggungjawab juruaudit dalaman, selain perbincangan strategik ke arah penambahbaikan berterusan bagi mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif, selamat serta berdaya saing.
 
Manakala pada hari kedua, bengkel diteruskan dengan sesi amali yang memfokuskan kepada pelaksanaan audit dalaman EKSA secara praktikal. 
Para peserta didedahkan dengan simulasi penilaian zon, kaedah mengenal pasti ketidakpatuhan dan teknik penyediaan laporan audit yang berkesan. 

Pendekatan hands-on ini memberi pengalaman pembelajaran yang lebih mendalam dan kontekstual kepada para peserta. 

Sebanyak empat zon telah dijadikan lokasi latihan audit iaitu Zon Canseleri Tun Abd Razak (CTAR Kiri, Zon CTAR Kanan, Zon Pusat Teknologi Maklumat (DITEC) dan Zon Pusat Bahasa Moden).

Menurut salah seorang peserta, Guru Bahasa Kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM), Rosnani Ismail, bengkel ini amat bermanfaat kerana memberi pendedahan sebenar terhadap situasi audit di lapangan dan meningkatkan keyakinan dalam melaksanakan tugasan audit secara lebih profesional serta  berstruktur. 

“Ini merupakan bengkel ketiga yang saya hadiri, dan setiap kali bengkel dianjurkan, saya sentiasa memperoleh ilmu baharu hasil perkongsian penceramah yang berbeza-beza setiap tahun, masing-masing dengan kepakaran dan kelebihan tersendiri,” ujarnya. 

Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen berterusan UMPSA dalam memperkasa budaya kerja cemerlang, memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan dan menyokong aspirasi sektor awam, selaras dengan agenda penarafan EKSA universiti bagi tahun 2026.

Oleh: Jamrah Mahat, Muhammad Amirul Fahmi  Mohd Faizol, Pusat Pengurusan Strategik &  Kualiti (PPSK) dan Jamilah Bebe Mohamad, Pusat Bahasa Moden (PBM)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri