100 Pokok Hutan Ditanam di Rimba Komuniti UMPSA Pekan
PEKAN 29 Disember 2025 - Sebanyak 100 batang pokok hutan telah berjaya ditanam di Rimba Komuniti, UMPSA Pekan menerusi program penanaman pokok yang melibatkan seramai 50 orang sukarelawan pelajar dan staf.
Program anjuran Pusat Pembangunan Kelestarian, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama Kelab Eco Nexus ini bertujuan menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga universiti dan komuniti setempat terhadap kepentingan penjagaan ekosistem hutan.
Lima spesies pokok tempatan telah dipilih untuk ditanam iaitu keladan, kulim, keranji, kembang semangkuk dan keruin, yang berperanan penting dalam memelihara biodiversiti serta keseimbangan ekologi kawasan hutan.
Menurut Pengarah Pusat Pembangunan Kelestarian, Dr. Suhaidah Hussain, program penanaman ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan universiti dalam memperkukuh agenda kelestarian dan tanggungjawab sosial terhadap alam sekitar.

“Rimba Komuniti bukan sahaja berfungsi sebagai kawasan hijau, malah menjadi ruang pendidikan alam sekitar yang penting bagi memupuk kesedaran dan nilai cintakan alam dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda,” katanya.

Sementara itu, menurut salah seorang sukarelawan, pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Diryutesh Karan a/l Karunakaran, program ini memberi pengalaman bermakna dalam memahami peranan terhadap kelestarian alam sekitar.
“Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk menyumbang secara langsung kepada pemuliharaan alam sekitar, malah meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar serta memupuk semangat sukarelawan dan kerjasama dalam kalangan pelajar.
“Semoga lebih banyak program berimpak tinggi seperti ini dapat dianjurkan pada masa hadapan bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah prihatin terhadap kelestarian alam,” katanya.
Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Pembangunan Lestari (SDG)
- 16 views