12 sukarelawan UMPSA perkasa jaringan global di Turkiye terokai pendidikan, budaya dan khidmat komuniti
FATIH, ISTANBUL, 4 September 2025 – Seramai 12 sukarelawan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang terdiri daripada staf dan pelajar menyertai Program Kembara Mobiliti Antarabangsa 2025 di Fatih, Istanbul, Turkiye, sebagai usaha memperkasa pengalaman pembelajaran global melalui pendidikan rentas budaya dan khidmat komuniti antarabangsa.
Program yang berlangsung selama lapan hari itu memberi peluang kepada peserta meneroka amalan akademik luar negara, selain menyertai aktiviti pembangunan komuniti bersama penduduk setempat.
Inisiatif ini turut menyokong agenda UMPSA dalam memupuk pelajar berdaya saing di peringkat global dan berjiwa sukarelawan.
Sebagai sebahagian pengisian akademik, kumpulan sukarelawan UMPSA berpeluang melawat Fatih Sultan Mehmet Vakif University (FSMVU), sebuah universiti berprestij di Istanbul yang terkenal dengan gabungan tradisi Islam dan pendidikan moden dalam bidang kejuruteraan, seni bina dan sains sosial.
Lawatan akademik itu membuka ruang kerjasama dua hala melalui sesi perkongsian ilmu bersama pelajar dan pensyarah FSMVU, selain memberi pendedahan kepada peserta mengenai pendekatan inovatif dalam penyelidikan dan pengajaran di Turkiye.

Delegasi UMPSA turut dibawa meninjau kemudahan pembelajaran dan pusat penyelidikan universiti berkenaan.
Dalam usaha menyemai semangat kesukarelawanan dan kepedulian sosial, sukarelawan UMPSA turut melaksanakan aktiviti pendidikan komuniti di Nakhba Middle School melalui program pembelajaran interaktif seperti Fun English, modul pembinaan Solar Car, selain menyampaikan sumbangan kelengkapan persekolahan kepada pelajar sekolah tersebut.
Aktiviti berkenaan bukan sahaja memupuk minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), malah mengeratkan hubungan antara masyarakat Turkiye dan Malaysia melalui pendidikan rentas budaya.
Program mobiliti itu turut membawa peserta menelusuri warisan tamadun dunia melalui lawatan ilmiah ke lokasi ikonik seperti Salt Galata, Turkish İş Bank Museum dan Hagia Sophia Mosque yang sarat dengan nilai sejarah dan identiti peradaban Turkiye.
Menurut Pengurus Program, Nurin Izzatie Rahamdan, program tersebut bukan sekadar lawatan akademik, malah mengukuhkan pembentukan sahsiah pelajar sebagai duta kecil universiti dan negara.
“Pengalaman ini membuka perspektif baharu kepada semua peserta mengenai nilai ilmu, empati sosial dan kepelbagaian budaya.
“Ia bukan sahaja memberi peluang menyumbang kepada komuniti antarabangsa, malah mematangkan cara berfikir serta meningkatkan keyakinan diri peserta sebagai sukarelawan global,” katanya.
Program Kembara Mobiliti Antarabangsa 2025 ini berjaya mencapai objektif melahirkan graduan holistik yang seimbang daripada aspek akhlak, kepimpinan, ilmu dan kemahiran insaniah, selari dengan aspirasi UMPSA dan juga Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi).
Disediakan Oleh: ‘Ein Noor Arisya Riza Shukri, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP)
- 138 views
Reports by: