Skip to main content

120 sukarelawan jayakan program Penanaman 400 Pokok Rhu di Pantai Lagenda

PEKAN 12 Oktober 2026  -  Seramai 120 sukarelawan, termasuk 60 warga Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), menyertai Program Penghijauan melalui Penanaman Pokok Rhu Pantai di Pantai Lagenda, Pekan, baru-baru ini.

Program anjuran Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dengan kerjasama UMPSA dan DRB-HICOM University of Automotive Malaysia itu merupakan usaha menyokong agenda nasional Program Penghijauan Malaysia 2026, selain meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Program berkenaan turut menyaksikan penanaman sebanyak 400 anak Pokok Rhu Pantai (Casuarina Equisetifolia) bagi membantu memulihara ekosistem pesisiran pantai serta memperkukuh perlindungan semula jadi daripada ancaman hakisan dan pukulan ombak.

Timbalan Pengarah Perhutanan (Pembangunan), JPNP, Tuan Harry Yong, dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Penolong Pengarah Kanan (Bahagian Silvikultur) Zon Pahang Timur, JPNP, Mohd Saman  Mohd Sanget berkata, hutan pesisiran pantai merupakan khazanah alam yang amat bernilai dan perlu dipelihara bagi memastikan kelangsungan fungsi ekologinya.

“Kawasan hutan pesisiran pantai berperanan sebagai zon penampan semula jadi yang dapat mengurangkan kesan ombak, hakisan tanah dan kemusnahan akibat bencana alam, selain menyumbang kepada keselamatan makanan serta sosioekonomi masyarakat setempat.

“Usaha pemuliharaan pesisiran pantai tidak dapat dijayakan oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, agensi berkaitan, institusi pengajian tinggi dan masyarakat setempat.

“Penglibatan semua pihak amat penting bagi memastikan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah hutan negara dapat diteruskan secara bersepadu dan mampan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, sejak tahun 2005, JPNP menerima peruntukan berjumlah RM3.816 juta dan berjaya menanam kira-kira 127,830 anak pokok pelbagai spesies di kawasan pesisiran pantai seluas 253.02 hektar.

“Penyertaan warga UMPSA dalam program ini mencerminkan komitmen universiti terhadap agenda kelestarian dan pemeliharaan biodiversiti, selaras dengan usaha memperkukuh budaya hijau dalam kalangan warga kampus serta masyarakat.

“Kerjasama strategik antara JPNP, UMPSA dan DRB-HICOM University of Automotive Malaysia diharap dapat diteruskan melalui pelbagai inisiatif pemuliharaan alam sekitar bagi memastikan kawasan pesisiran pantai terus terpelihara untuk generasi akan datang,” katanya. 

Hadir sama, Pengarah Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC) UMPSA, Dr. Suhaidah Hussain,  Ketua Pustakawan UMPSA, Kamariah Gono, dan Timbalan Dekan, Fakulti Perniagaan, DRB-HICOM University of Automotive Malaysia.

Menurut Dr. Suhaidah, pihak universiti merakamkan penghargaan kepada JPNP yang sentiasa menjadikan UMPSA sebagai rakan kerjasama dalam menjayakan pelbagai inisiatif pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

“Kerjasama erat ini diharapkan dapat diteruskan dan diperkukuh pada masa akan datang melalui pelaksanaan lebih banyak program kelestarian yang memberi manfaat kepada alam sekitar serta masyarakat.

“Bagi warga UMPSA, penyertaan dalam program ini bukan sekadar untuk melengkapkan sasaran kerja atau memenuhi komitmen universiti, tetapi juga sebagai platform untuk mendidik dan membentuk kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar.

“Diharapkan pengalaman turun padang seperti ini dapat menyemai rasa tanggungjawab dalam diri setiap warga UMPSA untuk mengamalkan gaya hidup lestari, menghargai biodiversiti serta menjadi ejen perubahan dalam memelihara alam sekitar,” ujarnya. 

Katanya lagi, usaha menanam pokok hari ini mungkin kelihatan kecil, namun impaknya amat besar untuk jangka panjang, khususnya dalam memastikan kawasan pesisiran pantai terus terlindung dan dapat diwarisi oleh generasi akan datang. 

Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC)
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim