Skip to main content

200 Sukarelawan KILAU UMPSA jayakan program Gotong-royong Pascabanjir di UniPSAS

KUANTAN, 20 Disember 2025 - Seramai kira-kira 200 orang Sukarelawan KILAU Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah digerakkan bagi menjayakan Program Gotong-royong Pascbanjir di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) hari ini. 

Misi berkenaan turut disertai oleh Sukarelawan Belia Pahang, Sukarelawan YADIM, Sukarelawan Majlis Belia Malaysia Pahang, staf dan pelajar UnIPSAS.

Sebanyak 15 lokasi pembersihan telah dikenal pasti melibatkan bilik kuliah, asrama, pejabat pentadbiran, kompleks sukan, auditorium serta kediaman staf yang terjejas akibat banjir. 

Kerja-kerja pembersihan bermula seawal jam 9.00 pagi dengan Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sebagai lokasi berkumpul utama para sukarelawan.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias yang hadir bersama-sama sukarelawan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga UMPSA yang terlibat dalam misi kemanusiaan ini. 

“Penglibatan aktif mahasiswa dan staf universiti bukan sahaja membantu meringankan beban pihak terjejas, malah mencerminkan nilai kemanusiaan, kesukarelawanan dan semangat Malaysia MADANI yang sentiasa diterapkan dalam ekosistem UMPSA,” ujarnya. 

Turut hadir Pendaftar UMPSA, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim yang bersama-sama menzahirkan sokongan penuh pengurusan universiti terhadap usaha kesukarelawan ini serta mengiringi pelepasan pasukan sukarelawan ke lokasi program.

Sementara itu, Pendaftar Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS), Haji Mohd Faizul Haji Abdul Hadi Nor turut menzahirkan rasa amat berbesar hati dan penghargaan yang tidak terhingga kepada UMPSA serta semua agensi dan sukarelawan yang tampil membantu kerja-kerja pembersihan di kampus UniPSAS. 

“Kehadiran sukarelawan daripada pelbagai institusi dan organisasi bukan sahaja mempercepatkan proses pemulihan fasiliti kampus, malah menyerlahkan semangat kebersamaan dan solidariti antara institusi pendidikan tinggi.

“Semoga jalinan kerjasama strategik ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai manifestasi hubungan erat dan sokongan berterusan antara institusi pendidikan tinggi dalam mendepani sebarang cabaran, khususnya ketika berlakunya bencana alam," ujarnya.

200 Sukarelawan KILAU UMPSA jayakan program Gotong-royong Pascabanjir di UniPSAS

Program sukarelawan ini melibatkan penglibatan Sekretariat Kesukarelawan Mahasiswa (SKM) dan Sukarelawan Yayasan UMPSA yang diselaraskan oleh Pegawai Majlis Kesukarelawan Universiti Awam (MASKUM) UMPSA. 

Kehadiran pelbagai pihak ini mencerminkan kerjasama erat antara institusi pendidikan tinggi dan komuniti setempat dalam mempercepatkan usaha pemulihan pascabencana.

Selain di UnIPSAS, UMPSA turut menggerakkan seramai 40 orang pelajar ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Mat Kilau bagi membantu kerja-kerja kesukarelawan di sana, selaras dengan permintaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat.

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri