Skip to main content

Festival Rakyat memeriahkan Kembara Prihatin UMPSA santuni komuniti orang asli

CAMERON HIGHLANDS, 27 Julai 2024 - Lebih 500 orang hadir menyertai Festival Rakyat dan Program Gotong-Royong bersempena Kembara Prihatin@Pos Telanok bagi menyantuni masyarakat dengan membawa kepakaran dan teknologi dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kepada komuniti orang asli di Cameron Highlands baru-baru ini. 

Program itu berjaya mengeratkan hubungan antara komuniti dengan menyediakan platform bagi penduduk untuk berkumpul, berkongsi cerita, merayakan kebudayaan, kesukanan dan memperkuat semangat kerjasama serta membina komuniti yang lebih bersatu padu. 

Seramai 52 sukarelawan Kilau UMPSA yang melibatkan 27 orang pelajar dan 25 staf telah berkampung di Sekolah Kebangsaan Telonok selama empat hari tiga malam bagi merasai suasana dan budaya masyarakat di situ. 

Perasmian disempurnakan oleh Yang di-Pertua, Persatuan Amal Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Pahang Darul Makmur (TERATAI), Datin Sri Dato’ Hajah Burhah Mohammed.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar dan Naib Canselor, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin.

Turut sama hadir isteri Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datin Dr. Rozana Binti Kamal dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMPSA, Dato’ Ir. Ts. Izwan Hasli Mohd Ibrahim, Datin Nur Sharmila Shaheen dan Bendahari, Dato’ Zainudin Othman. 

Menurut Dato’ Seri Abdul Razak, dengan kepakaran yang ada di UMPSA, program ini berjaya memindahkan teknologi kepada komuniti.

Festival Rakyat memeriahkan Kembara Prihatin UMPSA santuni komuniti orang asli

“Melalui kluster berfokus seperti teknologi, khidmat komuniti, pendidikan, kerohanian, kelestarian, dan bantuan, program ini memberikan impak yang signifikan kepada kehidupan penduduk setempat. 

“Penduduk juga menerima manfaat daripada program penyelenggaraan motosikal, taklimat baja kompos dan pendawaian eletrik,” ujarnya. 

Pelbagai program seperti sukaneka, program STEM, pertandingan mewarna kanak-kanak dan lain-lain turut diadakan bagi memeriahkan suasana.

Pihaknya menghargai kerjasama dengan Persatuan TERATAI, Persatuan Wanita UMPSA (Matahari), Yayasan PEKEMA, Parlimen Cameron Highlands, Rainbow Girl, Jabatan Kebajikan Orang Asli (JAKOA), Majlis Daerah Cameron Highlands, Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands, Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) dan khasnya kepada komuniti Sekolah Kebangsaan Telanok. 

Dalam pada itu, Datin Sri Dato’ Hajah Burhah turut sama turun padang menyantuni golongan yang berkeperluan dalam program Ziarah bersama ahli Persatuan Amal Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Pahang Darul Makmur (TERATAI), Persatuan Wanita UMPSA serta Yayasan UMPSA di perkampungan orang asli berhampiran.  

Festival Rakyat memeriahkan Kembara Prihatin UMPSA santuni komuniti orang asli

Lain-lain aktiviti Kembara Prihatin termasuklah program Pemeriksaan dan Pendawaian Elektrik Kampung Susu, Water Gutter di SK Telanok dan Program Pendidikan merangkumi Taklimat Baja Bokoso (Komuniti), Kursus Asas Multimedia (Guru SK Telanok) dan Inspire bersama pelajar sekolah.  

Program Kembara Prihatin ini turut seiring dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam pelbagai aspek kehidupan manusia dan alam sekitar menjelang tahun 2030.

Antaranya mencapai matlamat SDGs seperti tiada kemiskinan, kelaparan sifar, peningkatan pendidikan, kebersihan dan kesihatan, serta tindakan iklim.  

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Koprporat

Reports by:
Nur Hartini binti Mohd Hatta