Skip to main content

Kembara Lestari UMPSA santuni komuniti dan sebar luas pendidikan anak-anak Taun Gusi

KOTA BELUD, 3 Mei 2025 - Kembara Lestari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA@Negeri di bawah Bayu 3.0) berjaya menyantuni pembangunan komuniti setempat di samping menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada golongan yang memerlukan melalui pelbagai aktiviti mengikut kluster seperti teknologi, khidmat komuniti, pendidikan, kelestarian, kerohanian, kebudayaan serta sumbangan buat komuniti.

Seramai 43 sukarelawan Kilau UMPSA yang terdiri daripada Skuad Yayasan UMPSA dan sepuluh orang staf UMPSA telah berkampung dan tinggal bersama keluarga di sekitar Kota Belud bermula pada 28 April hingga 3 Mei 2025.

Program turut disertai pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) bagi merasai sendiri denyut nadi kehidupan komuniti Kota Belud bagi memahami nilai serta menjiwai semangat kekeluargaan setempat.

Hadir merasmikan program adalah Timbalan Menteri, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Ts. Mustapha Sakmud. 

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar dan Naib Canselor, Profesor Dr. Yatimah Alias.

Turut sama ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMPSA, Dato’ Ir. Ts. Izwan Hasli Mohd Ibrahim, Farah Ain Madzlan, Bendahari UMPSA, Dato’ Zainuddin Othman dan Pendaftar, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim.

Menurut Dato’ Seri Abdul Razak, melalui kluster Teknologi, UMPSA telah memanfaatkan kepakaran teknikalnya dengan menyalurkan inovasi terus ke lapangan dengan menyentuh kehidupan dan membina masa depan.

“Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk pemasangan sistem solar di lima buah rumah bagi membekalkan tenaga mampan dan kerja-kerja pendawaian semula di sepuluh buah rumah bagi memastikan keselamatan serta kecekapan sistem elektrik penduduk
.
“Di bidang pertanian pula, sebanyak 100 botol baja prebiotik hasil inovasi penyelidik UMPSA telah diagihkan kepada petani tempatan bagi meningkatkan kesuburan tanah dan hasil tuaian,” ujarnya. 

Manakala sebanyak 1,000 bongkah cendawan nanas diedarkan kepada komuniti Taun Gusi untuk menghasilkan cendawan menggunakan sisa industri nanas sebagai satu pendekatan lestari yang bukan sahaja memelihara alam sekitar, malah membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat.

Seramai lebih 50 orang penduduk sekitar mengikuti bengkel itu bagi menghasilkan cendawan nanas hasil penyelidikan pensyarah UMPSA.

Kembara Lestari UMPSA santuni komuniti dan sebar luas pendidikan anak-anak Taun Gusi

Selain itu, pelbagai aktiviti turut dijalankan dalam usaha kepada pembentukan generasi yang berilmu dan berdaya saing di Sekolah Kebangsaan Taun Gusi dan Sekolah Menengah Kebangsaan Taun Gusi untuk menanam minat belajar sejak usia muda, agar mereka beraspirasi bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Dengan penyertaan seramai 300 pelajar melalui Program Inspire, diperhebatkan dengan pendedahan kepada Projek STEM dan pendekatan inovatif Street Science, ia membentuk asas kukuh bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga berdaya inovasi tinggi dan berupaya memimpin perubahan di peringkat nasional dan global.

Dalam pada itu, sebuah bilik persediaan belajar turut diubah suai di SMK Taun Gusi dan dinamakan ‘Study@ UMPSA’ bagi memberi semangat pelajar untuk melangkah masuk ke menara gading sejak di bangku sekolah.

Kembara Lestari UMPSA santuni komuniti dan sebar luas pendidikan anak-anak Taun Gusi

Turut berlangsung Ceramah Perdana bertajuk ‘Perpaduan Asas Kemakmuran’ bersama Pegawai Hal Ehwal Islam UMPSA, Al-Fadhil Ustaz Md Abdu Sahak di Masjid Nurul Ehsan, Kampung Taun Gusi Padang sempena Program Kembara Lestari@Kota Belud, Sabah hasil kerjasama dengan Yayasan UMPSA, Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) dan Rakan Siswa YADIM UMPSA.

Lebih 1,000 pelajar dan komuniti setempat hadir bagi menjayakan Festival Rakyat sempena Kembara Lestari UMPSA 3.0 @Negeri di bawah Bayu. 

Program itu mendapat kerjasama daripada Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, Yayasan MR.DIY, Muslim Care Global (MCG), Rainbow Girl, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPIEM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIEM), SazaRice, TastyTuck dan Raudhah Ridz, Minuman Coklat VICO, Hospital Kota Belud serta Klinik Pergigian Kota Belud.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohamad Idris, Pusat Komunikasi Korporat

Foto: Khairu Aidilnishah Rizan Jalil, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris