Ketuk-ketuk Sahur sukarelawan UMP santuni komuniti setempat
KUANTAN, 25 April 2022 – Prihatin terhadap barisan hadapan yang bertugas syif malam dan gelandangan telah mendorong seramai 20 sukarelawan pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengadakan program Ketuk-ketuk Sahur@Kuantan, Pahang.
Menurut Pengetua Residen Pelajar 4, Nasrul Salim Pakheri, setelah hampir dua tahun negara dilanda wabak COVID-19, Alhamdulillah pada tahun ini kita dapat menyantuni golongan petugas shif malam dan gelandangan.
“Program bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan barisan hadapan yang menjaga keamanan serta dapat merapatkan ukhuwah antara UMP dengan komuniti setempat.
“Selain itu ia diadakan sebagai menyahut saranan UMP dalam memperkasa agenda kesukarelawanan.
“Program ini merupakan inisiaitif dari pengurusan Residen Pelajar 4 dengan kerjasama Perwakilan Mahasiswa Residen Pelajar (PEKA 4) bagi menggembirakan petugas yang berkhidmat demi negara,” katanya.
Pada kali ini, sebanyak 100 bungkus juadah sahur ini telah disediakan oleh pelajar untuk diagihkan kepada para petugas yang berkhidmat pada syif malam.
Antara lokasi kunjungan Ketuk-ketuk Sahur adalah di Balai Polis Kuantan, Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Sekolah Kebangsaan (P) Methodist Kuantan, Sekolah Menengah (P) Methodist Kuantan dan Pahang Medical Centre (PMC).
Pada masa yang sama, katanya, para sukarelawan turut mengedarkan juadah sahur kepada golongan gelandangan terpilih sekitar Kuantan.
Nasrul turut melahirkan penghargaan kepada semua sukarelawan yang bersunggguh-sungguh dalam menjayakan program ini.
Sementara itu, pelajar Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) dan selaku Pengarah Program, Mohamad Aiman Sabran, 19 berkata, program ini wajar dilakukan serta memberi suakrelawan pendedahan mengenai realiti sebagai barisan hadapan dan kehidupan golongan gelandangan
“Secara tidak langsung ia dapat menyelami kehidupan seorang selaras dengan slogan UMP iaitu ‘Teknologi untuk Masyarakat’.
“Semoga program ini dapat menerapkan semangat kesukarelawanan dalam diri mahasiswa dan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 99 views