MATAHARI UMPSA ceriakan 20 pelajar menerusi Program ‘Back to School’ 2026
Kuantan, 19 Januari 2026 – Persatuan Wanita Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (MATAHARI) terus komited dalam menyantuni golongan yang memerlukan menerusi penganjuran Program Bantuan Persekolahan atau Back to School (BTS) bagi sesi persekolahan tahun 2026.
Program tahunan persatuan ini bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak, khususnya bagi keluarga asnaf, fakir miskin, dan ibu tunggal.
Menurut Presiden MATAHARI, Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim, inisiatif ini bukan sahaja untuk membantu dari segi kewangan, malah bertujuan menyuntik semangat baharu kepada para pelajar.
“Objektif pelaksanaan program ini adalah untuk meringankan beban keluarga asnaf serta ahli MATAHARI yang berstatus ibu tunggal yang mempunyai anak yang telah memulakan sesi persekolahan tahun 2026.
“Kita mahu menyuntik kembali semangat anak-anak ini untuk memulakan sesi persekolahan dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga meraih kejayaan cemerlang suatu hari nanti,” ujar beliau ketika menyampaikan ucapan aluan pada majlis tersebut.
Bagi sesi tahun 2026, seramai 20 orang pelajar telah terpilih menerima sumbangan tersebut.
Penerima terdiri daripada 10 orang anak ahli MATAHARI, manakala baki penerima adalah pelajar terpilih dari sekitar Kuantan (lima orang) dan Pekan (lima orang).
Menurut salah seorang penerima yang juga Penolong Pegawai Latihan Vokasional UMPSA serta ahli MATAHARI, Siti Murzalina SH Murad, sumbangan yang diterima ini amat bermakna buat beliau sekeluarga, terutamanya dalam melengkapkan keperluan persekolahan anak-anak bagi sesi tahun ini.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada barisan kepimpinan MATAHARI atas keprihatinan yang ditunjukkan terhadap kebajikan ahli.
“Inisiatif sebegini bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan ibu bapa, malah menyuntik semangat baharu buat anak-anak untuk melangkah ke sekolah dengan lebih ceria dan bermotivasi,” katanya.
Majlis penyerahan sumbangan tersebut turut dihadiri barisan Ahli Jawatankuasa MATAHARI.
Turut hadir memeriahkan majlis adalah Timbalan Pengerusi Ahli Jemaah Pengurus (AJP) Sekolah Agama Rakyat (SAR) KAFA Jaya Gading, Khairuddin Hasan.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Hj. Mohammad Idris, Pusat Pembangunan Kelestarian
- 41 views
Reports by: