Pelajar sebak dan terharu sukarelawan UMP turun padang bersihkan rumah
TEMERLOH, 31 Disember 2021- Terkejut dan terharu. Itulah perasaan apabila melihat sekumpulan sukarelawan Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang terdiri daripada staf dan pelajar tiba-tiba muncul di hadapan rumah pelajar UMP untuk membantu membersihkan rumah beliau akibat terjejas banjir baru-baru ini.
Menurut pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Projek UMP, Natasyabillah Afzainizam, pada waktu itu beliau hampir menitiskan air mata.
“Tatkala saya diuji, Allah SWT turunkan bantuan untuk membantu saya sekeluarga membersihkan rumah akibat banjir,” ujar
“Tiada apa yang saya mampu luahkan selain ucapan jutaan terima kasih.
“Dengan kehadiran hampir 40 sukarelawan ini dapat membersihkan keseluruhan rumah.
“Bukan bantuan itu sahaja malah turut membawa sumbangan makanan dan keperluan lain seperti selimut dan bantal,” katanya dengan nada sebak.
Beliau yang tinggal di Kampung Tebal Seberang Temerloh menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada UMP.
Pastinya dengan pertolongan ini dapat mengurangkan beban yang ditanggung terutamanya kerosakan barang keperluan di rumah.
Tambahnya, jika tiada sukarelawan ini, pastinya tempoh dua minggu selepas air surut belum tentu keluarganya dapat membersihkan rumah.
Sejujurnya beliau amat berbangga menjadi pelajar UMP.
Baginya UMP bukan sahaja institusi pendidikan tinggi yang dibanggakan malah sangat cakna kebajikan kepada warganya.
Beliau turut menceritakan saat cemas apabila rumahnya dimasuki air hingga ke paras pinggang bukan saja menjejaskan peralatan dalam rumah malah buku-bukunya juga turut tidak dapat diselamatkan.
Katanya, kejadian air naik itu berlaku pada waktu malam dengan cepat sekali.
“Lantas saya dan keluarga segera keluar meninggalkan rumah untuk menyelamatkan diri.
“Kami bersyukur pada waktu itu masih ada laluan di belakang rumahnya yang masih boleh dilalui menuju jalan keluar dari kawasan tersebut.
“Sememangnya kampung ini hampir setiap tahun banjir, namun tidak menyangka sama sekali akan berdepan dengan banjir yang agak teruk pada kali ini,” katanya.
Manakala bagi pelajar Diploma Sains Industri, Muhammad Rasul Roslan, 19, juga amat gembira apabila menerima kunjungan sekumpulan sukarelawan UMP yang turut membantu membersihkan rumah akibat banjir di situ.
“Pada awalnya saya bersama ayahnya sahaja membersihkan rumah itu kerana ibu perlu menjaga adik-adik yang masih kecil, tetapi tidak lama kemudian saya menerima panggilan daripada pihak UMP yang bertanya khabar dan menyatakan hasrat membantu membersihkan rumah mereka.
“Saya sangat berterima kasih kepada pihak UMP yang terlalu prihatin dengan masalah pelajar.
“Banjir kali ini sedikit sebanyak mengganggu pembelajaran dengan buku-buku yang ditenggelami air.
“Walau bagaimanapun, saya perlu bangkit dan tabah dengan ujian yang diberikan ini,” katanya.
Seramai 1,230 sukarelawan UMP yang terdiri daripada staf dan pelajar turun padang menabur bakti membantu membersihkan rumah staf dan pelajar yang terjejas banjir.
UMP merekodkan seramai 406 pelajar dan 275 staf terjejas banjir dalam bencana yang melanda sejak 17 Disember lalu.
Jawatankuasa Bertindak Bencana UMP telah menggerakkan operasi kesukarelawanan sejak 21 hingga 31 Disember lalu melibatkan 22 lokasi sekitar Kuantan, Temerloh dan Mentakab.
Dalam pada itu, Yayasan UMP turut mengagihkan bantuan makanan dan keperluan kepada seramai 700 mangsa banjir kepada pelajar, staf dan komuniti setempat bagi meringankan beban keluarga.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd. Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 164 views