Skip to main content

Pelajar UMPSA dan UPM santuni komuniti Orang Asli di Gerik

GERIK, 9 Ogos 2026 – Bersempena dengan sambutan Hari Orang Asli Sedunia yang diraikan pada 9 Ogos setiap tahun, seramai 65 pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) turun padang menyantuni komuniti Orang Asli di Kampung Tebang Baru, Tasik Banding, Royal Belum, Gerik, Perak menerusi Program Kembara Kampung Orang Asli: Kem Houseboat YOSH UMPSA yang berlangsung dari 7 hingga 9 Ogos 2026.

Lebih bermakna, pengisian program yang berlangsung bersempena Hari Orang Asli Sedunia itu memberikan peluang kepada mahasiswa untuk meraikan hari tersebut bukan sekadar melalui sambutan, tetapi dengan turun padang, mendekati masyarakat dan menyumbang secara langsung kepada komuniti Orang Asli. 

Program yang menghimpunkan pelajar daripada dua universiti awam (UA) itu merupakan hasil kolaborasi Kelab YOSH UMPSA, Graduate Engineering & Technological Business School (GET-BS) di bawah Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Kelab Huffaz UPM dan MyFundAction Malaysia, dengan pengisian yang menggabungkan elemen kesukarelawanan, pendidikan, perkongsian ilmu serta interaksi secara langsung bersama komuniti.

Menariknya, program ini digerakkan dan dikendalikan oleh pelajar yang masih muda, namun mempunyai semangat kesukarelawanan dan jiwa yang besar dalam menyumbang kepada masyarakat. 

Penglibatan mereka bukan sahaja sebagai peserta, malah turut merangkumi aspek perancangan, pengurusan dan pelaksanaan program secara bersama, sekali gus memberi pengalaman bermakna dalam membentuk kemahiran kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan.

Sepanjang tiga hari program, para pelajar terlibat dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan antaranya sesi santuni masyarakat Orang Asli, aktiviti Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM) bersama kanak-kanak, pengagihan kit kebersihan, sesi perkongsian bersama wakil MyFundAction serta aktiviti rekreasi air.

Pelajar UMPSA dan UPM santuni komuniti Orang Asli di Gerik

Bagi sukarelawan dari UPM, Rabiah Rusdin, pengalaman menyertai program tersebut merupakan antara pengalaman yang paling bermakna apabila setiap aktiviti yang dijalankan turut diselitkan dengan perkongsian ilmu dan peringatan berteraskan nilai keagamaan.

“Setiap aktiviti sentiasa diselitkan dengan perkongsian ilmu dan hadis serta diserapkan dengan ayat al-Quran. 

“Seperti dalam Surah al-Dzariyat, ayat 55 yang bermaksud, ‘Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.’ 

“Program seperti ini perlu dicontohi kerana kita tidak pernah lupa untuk saling memberi peringatan antara satu sama lain,” ujarnya. 

Sementara itu, sukarelawan UMPSA, Nur Damia Qistina Muhammad Fadhil yang turut terlibat sebagai Ahli Jawatankuasa Media, menyifatkan program tersebut sebagai satu pengalaman yang memberikan peluang kepadanya memperoleh ilmu baharu, khususnya dalam bidang media, di samping mengenali cara hidup masyarakat Orang Asli secara lebih dekat.

“Program ini sangat best kerana saya dapat ilmu baharu walaupun dalam bidang media. 

“Pada masa yang sama, saya dapat merasai sendiri pengalaman dan cara hidup masyarakat Orang Asli. 

“Saya sangat menyarankan orang di luar sana untuk menyertai program seperti ini kerana pengalaman sebegini bukan sesuatu yang kita boleh dapat di luar. 

“Kita perlu mengalaminya sendiri untuk benar-benar memahami kehidupan mereka,” katanya. 

Turut hadir Penasihat Kelab Huffaz UPM, Profesor Ir. Dr. Ahmad Shukri  Muhammad Noor, wakil GET-BS, Profesor Madya Dr. Puteri Fadzline Muhamad Tamyez, wakil MyFundAction;, Amzar Khalili Khalil, dan Ketua Kampung Tebang Baru, Zaki Sabri.

Kerjasama rentas institusi antara UMPSA dan UPM bersama pihak NGO turut membuka ruang kepada pelajar untuk membina jaringan, berkongsi pengalaman dan memperkukuh semangat kesukarelawanan. 

Pada masa yang sama, komuniti setempat turut mendapat manfaat melalui aktiviti pendidikan, sumbangan keperluan asas serta interaksi bersama mahasiswa.

Program ini membuktikan bahawa usia muda bukan penghalang untuk mahasiswa memainkan peranan dalam masyarakat. 

Sebaliknya, dengan semangat, keberanian dan kesungguhan, mahasiswa mampu menjadi penggerak kepada inisiatif kemasyarakatan yang memberi impak, sekali gus menjadikan sambutan Hari Orang Asli Sedunia lebih bermakna melalui tindakan dan sumbangan secara langsung kepada komuniti.

Disediakan Oleh: Puteri Fadzline Muhamad Tamyez, Fakulti Pengurusan Industri

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri