Pelajar UMPSA jayakan ibadah korban dan sambutan Aidiladha bersama komuniti di Wonosobo, Indonesia
WONOSOBO, INDONESIA, 27 Mei 2026 – Semangat kebersamaan dan nilai pengorbanan sempena Hari Raya Aidiladha diterjemahkan dengan penuh bermakna menerusi Sambutan Hari Raya Aidiladha yang melibatkan 25 orang mahasiswa daripada Kelab Sukarelawan Yayasan UMPSA, Universitas Teknik Yogyakarta (UTY) dan Universitas Gadjah Mada (UGM) di Jawa Tengah, Wonosobo, Indonesia.
Kembara Mobiliti UMPSA@Wonosobo, Indonesia 2026 ini menjadi platform untuk mengukuhkan hubungan silaturahim antara peserta mobiliti dengan masyarakat setempat melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan kebudayaan.
Antara pengisian utama program ialah pelaksanaan ibadah korban melibatkan dua ekor kambing hasil sumbangan orang awam sebagai simbol semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap komuniti setempat.
Program turut menyaksikan ribuan umat Islam dari sekitar Wonosobo membanjiri Alun-alun Wonosobo bagi menunaikan solat sunat Aidiladha dalam suasana penuh kesyukuran dan ukhuwah.
Sukarelawan juga berpeluang menyertai lawatan komuniti yang membuka ruang kepada mereka untuk menyelami sendiri keunikan sambutan Aidiladha dalam kalangan masyarakat Indonesia, sekali gus memperkukuh kefahaman terhadap budaya, nilai kemasyarakatan dan semangat perpaduan rentas negara.

Daging korban turut diagihkan oleh pelajar di sekitar Desa Klilin, Sindupaten dan Kertek, Wonosobo dengan bantuan komuniti setempat.
Program ini juga terus memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Yayasan UMPSA dan Universitas Gadjah Mada (UGM).
Kerjasama strategik ini juga membuka ruang kepada pelaksanaan program mobiliti pelajar, penyelidikan, inovasi dan kesukarelawanan pada masa hadapan.
Selain menghadiri sesi perkongsian bersama mahasiswa sukarelawan, delegasi UMPSA turut mengadakan lawatan akademik ke kampus UGM dan UTY.
Menurut Pengurus Projek, Zaharatul Ajmal, penganjuran program ini bertujuan menyemai nilai pengorbanan, keikhlasan dan semangat bekerjasama dalam kalangan mahasiswa di samping memperkukuh hubungan persahabatan antara komuniti Malaysia dan Indonesia.
“Komitmen Sukarelawan UMPSA dalam memperkasa pendidikan komuniti turut diterjemahkan melalui penganjuran slot pendidikan seperti Street Science dan STEM di SMP Negeri 1 Wonosobo dengan kerjasama FASTLab daripada UTY.
“Program berbentuk pembelajaran interaktif ini memberi pendedahan kepada pelajar sekolah terhadap konsep sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) melalui demonstrasi eksperimen, dan aktiviti hands-on,” ujarnya.
Menurut Presiden FastLab, R. Imam Budi Prasetya, kolaborasi bersama FASTLab dan UMPSA bukan sahaja memperkayakan kandungan program, malah memperlihatkan sinergi antara institusi pengajian tinggi dalam melahirkan generasi muda yang lebih kreatif, inovatif dan berminat untuk meneroka bidang STEM di peringkat global.
Selain pengisian akademik dan kesukarelawanan, peserta turut didedahkan dengan keunikan warisan budaya Wonosobo melalui lawatan ke Dinas Pariwisata dan Kebudayaan Kabupaten Wonosobo.
Malah, para sukarelawan berpeluang mempelajari Tarian Lengger, Gamelan Jawa, dan merasa hidangan tradisional Mi Ongklok dan Tempe Kemul yang menjadi identiti masyarakat setempat.
Program ini juga selari dengan aspirasi UMPSA dalam melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah mempunyai nilai kemanusiaan, empati dan tanggungjawab sosial melalui penglibatan aktif dalam program mobiliti antarabangsa.
Melalui pengalaman bermakna ini, pelajar bukan sahaja membawa pulang kenangan indah menyambut Aidiladha bersama komuniti desa, bahkan turut memperoleh pengajaran berharga mengenai erti pengorbanan, perpaduan dan semangat kebersamaan yang merentasi sempadan negara.
Sambutan ini diharapkan dapat terus memperkukuh jaringan kerjasama antara UMPSA dan komuniti antarabangsa serta menjadi pemangkin kepada lebih banyak program mobiliti berimpak tinggi pada masa hadapan.
Disediakan Oleh: Nurin Izzatie Rahamdan, Sukarelawan Yayasan UMPSA
- 64 views
Reports by: