Profesor UMPSA turun padang untuk Projek Nanas MD2 pacu pendapatan komuniti Orang Asli
BERA, 19 September 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh Agenda Pembangunan Komuniti melalui pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Profesor Turun Padang: Projek Penanaman Nanas MD2 Bersama Komuniti Orang Asli baru-baru ini.
Program itu adalah anjuran bersama Fakulti Pengurusan Industri (FPI) dan Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM) yang dilaksanakan di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat -Basmi Miskin Tegar (IPR-BMT) 2025.

Seramai 25 peserta yang terdiri daripada Ketua Isi Rumah (KIR), wakil Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Bera serta Penghulu Mukim bersama-sama berganding bahu dalam aktiviti gotong-royong penanaman nanas yang berlangsung dalam suasana penuh kerjasama dan semangat komuniti.
Sementara itu, menurut Dr. Noraine Bahari, sebanyak 10,000 sulur nanas berjaya dibersihkan manakala baki sulur akan diteruskan penanamannya secara berperingkat oleh KIR secara berfasa.
“Program ini juga turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik penanaman nanas MD2.
“Proses penanaman nanas bermula dengan membersihkan kawasan dan mengawal rumpai serta serangga.
“Biasanya, tanaman ini akan mengeluarkan hasil dalam tempoh sekitar 12 hingga 14 bulan, dan selepas buah dituai, pokok akan mengeluarkan sulur baharu yang boleh dijadikan bahan tanaman seterusnya atau dijual,” ujarnya.

Program ini turut dihadiri Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Siswazah) FPI, Profesor Madya Ts. Dr. Lee Chia Kuang bersama Ketua Program Keusahawanan FPI, Dr. Rusnifaezah Musa dengan sokongan pasukan PJIM, pensyarah FPI dan juga pelajar UMPSA.
UMPSA komited untuk terus melaksanakan pelbagai program berimpak tinggi yang berbentuk CSR dan pemindahan ilmu seiring aspirasi negara dalam membina masyarakat sejahtera, inklusif dan mampan.
Disediakan Oleh: Dr. Noraine Bahari, Fakulti Pengurusan Industri (FPI)
- 229 views