Skip to main content

Program Community Outreach di 3 daerah Pahang perkasakan pendidikan berasaskan teknologi dengan komuniti

MARAN, 10 Oktober 2024 – Pusat Bahasa Moden (PBM) dengan kerjasama Institut Pengajian Siswazah (IPS), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) baru-baru ini telah mengadakan program Community Outreach @PPD di tiga daerah negeri Pahang iaitu Maran, Temerloh dan Bera. 

Inisiatif ini melibatkan kerjasama erat antara UMPSA dan komuniti pendidikan di Pantai Timur iaitu Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Objektif utama program ini adalah untuk mendedahkan dan mengetengahkan pelajar pascasiswazah PBM kepada komuniti setempat. 

Pelajar pascasiswazah mod penyelidikan yang sedang menjalankan kajian terutamanya yang berkaitan pengajaran dan pembelajaran (PdP) bahasa dapat membuat pemerhatian dan memahami isu-isu semasa yang dihadapi oleh para guru. 

Dengan penyertaan aktif guru-guru dari komuniti setempat, pelajar akan mendapat data sebenar dari konteks pendidikan sekolah negeri Pahang. 

Ini memberi peluang kepada pelajar pascasiswazah untuk membantu mencari dan memberikan penyelesaian yang lebih relevan dan berkesan. 

Dalam era teknologi tanpa sempadan ini, penggunaan teknologi dalam pendidikan menjadi satu keperluan yang mendesak bagi menghadapi cabaran PdP abad ke-21. 

Program Community Outreach di 3 daerah Pahang perkasakan pendidikan berasaskan teknologi dengan komuniti

Program ini juga bertujuan untuk meningkatkan kemahiran penggunaan teknologi terutamanya penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan guru bagi menyokong objektif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam usaha mentransformasi pendidikan negara. 

Sejajar dengan itu, program ini membawa tema ‘TechTools for Educators’. 

Beberapa alat dan platform PdP berasaskan teknologi dan AI turut diperkenalkan serta diketengahkan kepada para guru seperti ChatGPT, Perplexity, Padlet dan ClassPoint melalui sesi berbentuk praktikal dan interaktif. 

Program ini juga secara tidak langsung menyokong Matlamat Pembangunan Lestari Ke-4 (SDG4 Quality Education) yang menekankan pendidikan berkualiti untuk semua.

Program ini berjaya mengumpulkan seramai 110 orang guru-guru bahasa terutamanya guru bahasa Inggeris dari sekolah-sekolah menengah dan rendah dari tiga daerah ini. 

Program diadakan bersama seramai 38 orang guru dari daerah Maran di Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka Pusat, Jengka, 35 orang guru dari daerah Temerloh di PPD Temerloh dan 37 orang guru dari daerah Bera di PPD Bera. 

Sekalung terima kasih dan penghargaan kepada Penolong Pengarah Kanan Unit Bahasa JPNP, Jalilah Salim dan Pegawai Pendidikan SISC+ Bahasa di ketiga-tiga daerah, Mohd Asri Salleh dari PPD Maran, Wee Poh Chin dari PPD Temerloh, dan PPD Bera, Cheah Yet Thang yang sudi menerima delegasi PBM dan mengumpulkan tenaga pengajar di bawah pusat tanggungjawab masing-masing untuk program ini. 

Program ini ternyata mendapat maklum balas positif kolektif dari pegawai-pegawai PPD dan guru-guru yang terlibat.

Program sebegini wajar diadakan untuk meningkatkan profesionalisme guru sekali gus menekankan keperluan penambahbaikan sistem sokongan dan infrasktruktur sekolah-sekolah sedia ada di Pahang dalam mengintegrasikan teknologi dalam PdP.  

Delegasi PBM diketuai oleh Profesor Madya Dr. Hafizoah Kassim, Dr. Fatimah Ali, Dr. Azwin Arif Abdul Rahim, Dr. Mohammad Musab Azmat Ali dan Dr .Nor Yazi Khamis. 

Tiga pelajar pascasiswazah PBM yang turut serta adalah Aisyah Khaleeda Rosli, Mohd Khirulnizam Musa dan Mohd Khairi Razali. 

PBM berharap program seumpama ini dapat diteruskan ke semua daerah-daerah di Pahang demi mengoptimumkan libat sama PBM dengan masyarakat setempat. 

Disediakan Oleh: Profesor Madya Dr. Hafizoah Kassim, Dr. Azwin Arif Abdul Rahim dan Dr. Nor Yazi Khamis, Pusat Bahasa Moden (PBM)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News