Program Komuniti ALAM UMPSA Fasa 2 berjaya tanam 300 pokok di Rimba Lestari
PEKAN, 21 Jun 2024 – Dalam meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup selain usaha untuk menambah baik ekosistem dan biodiversiti, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan Program Komuniti ALAM UMPSA Fasa 2 bagi memupuk semangat cintakan alam semula jadi.
Program yang dikendalikan Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM) itu dihadiri lebih kurang 60 orang peserta, termasuk pelajar pascasiswazah dari Institut Pengajian Siswazah (PGA), staf Perpustakaan UMPSA, serta staf Bahagian Keselamatan dan Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH).
Menurut Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim, program ini bertujuan untuk meningkatkan penglibatan komuniti universiti dalam aktiviti pemeliharaan alam sekitar.
“Dengan penglibatan pelajar dan staf dalam aktiviti menanam pokok, program ini dapat memperkukuh hubungan antara mereka serta membina semangat kerjasama dalam menjaga alam sekitar.
“Program dimulakan dengan aktiviti senamrobik sebelum diteruskan dengan acara utama iaitu penanaman pokok.
“Sebanyak 300 pokok telah berjaya ditanam menerusi program ini,” ujarnya.
Katanya lagi, tujuan utama program ini adalah untuk memupuk kesedaran mengenai kepentingan kelestarian alam sekitar dalam kalangan warga universiti dan komuniti setempat.
“Selain itu, program ini juga turut menyediakan platform pendidikan praktikal mengenai alam sekitar.
“Melalui aktiviti ini, peserta dapat mempelajari secara langsung tentang proses penanaman pokok dan manfaatnya kepada ekosistem.
“Program ini diharapkan dapat memberi kesedaran untuk terus memulihara dan memelihara alam sekitar,” katanya.
Beliau mengharapkan dengan pengalaman hands-on ini ia dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan peserta mengenai pentingnya menjaga kelestarian alam sekitar.
Hadir sama Pengarah Komuniti PJIM, Zainuddin Mat Husin.
Disediakan Oleh: Nurul Farhanah Mohd Idres, Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM)
- 117 views