Program Plogging sempena Hari Bumi 2025 himpun 564 kg sampah di Pantai Tanjung Gosong
PEKAN, 25 April 2025 – Pusat Pembangunan Kelestarian SDG/ESG (SDC), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama Open University Malaysia (OUM) Kuantan dan Pahang Skills Development Centre (PSDC) telah menganjurkan program Plogging di Pantai Tanjung Gosong, Pekan, Pahang sebagai inisiatif menyokong sambutan Hari Bumi Sedunia 2025.
Bertemakan ‘Our Power, Our Planet’, program itu menekankan kepentingan tanggungjawab bersama dalam melestarikan alam sekitar melalui aktiviti pembersihan pantai dan audit sisa buangan.
Program ini turut mendapat sokongan daripada pihak SWCorp Pekan dan Alam Flora yang turut membantu dalam proses pengumpulan serta pengurusan sisa.
Inisiatif itu juga adalah selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti SDG 13: Tindakan Terhadap Perubahan Iklim, SDG 14: Hidupan Laut, dan SDG 15: Kehidupan di Darat, yang kesemuanya menekankan perlunya tindakan kolektif untuk melindungi ekosistem dan biodiversiti.
Selain itu, kolaborasi antara pelbagai agensi dan institusi dalam program ini juga mencerminkan semangat SDG 17: Perkongsian untuk Mencapai Matlamat.
Pengarah SDC, Dr. Suhaidah Hussain, dalam ucapannya turut menyeru para peserta agar terus menghayati semangat Hari Bumi dan bersatu hati dalam menjaga kelestarian alam.
“Kita semua memikul amanah menjaga bumi ini.
“Setiap tindakan kecil, seperti memungut sampah, memberi impak besar untuk masa depan yang lestari,” ujarnya.
Sebanyak 564 kilogram sampah berjaya dikumpulkan dalam jarak kurang 500 meter sepanjang pantai.
Ia merupakan satu pencapaian yang membuktikan komitmen tinggi para peserta terhadap penjagaan alam sekitar.
SDC turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas dedikasi dan keprihatinan dalam menjayakan program ini.
Syabas dan tahniah atas semangat yang ditunjukkan demi bumi yang lebih bersih dan hijau!
Disediakan Oleh: Norul Fadilah Abdullah, Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC)
- 123 views