Projek CSR UMP Lighting Up The Community diperluas bantu komuniti
BATU PAHAT, 19 Januari 2022 - Projek Khidmat Komuniti (CSR) UMP Lighting Up The Community pada kali ini menyaksikan pemasangan sistem lampu tumpu berkuasa suria bagi kemudahan komuniti di sini dengan menambah pencahayaan di wakaf dan parkir kenderaan di Masjid Pekan Sri Medan serta rumah pelajar di Kampung Parit Singgahan Dalam di Batu Pahat, Johor.
Pemasangan solar ini selari dengan program UMP yang bertunjangkan kepada Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG) yang menjadi agenda global seiring dengan 17 matlamat yang perlu dicapai seperti yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk semua negara menjelang 2030.
Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP, pemasangan solar yang dapat menjimatkan bil elektrik lebih 75 peratus ini telah dilaksanakan di beberapa tempat termasuklah di Kampung Tekek Tioman, Kampung Perkampungan Orang Asli Rening, Cameron Highlands, Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SEMSAS), Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Soi, Sekolah Kebangsaan Chini dan Sekolah Kebangsaan Runchang, Pekan.
“Universiti mengambil inisiatif dengan mengaplikasikan kemahiran dan kepakaran ke lapangan yang dapat dimanfaatkan komuniti setempat.
“Penglibatan UMP ini membolehkan universiti berperanan secara lebih konstruktif dalam merealisasikan Pelan Strategik UMP 2021-2025 dengan bertemakan `Teknologi untuk Masyarakat’.
“Peranan universiti amat besar dalam membantu negara mencapai SDG untuk kelestarian masyarakat,” ujarnya.
Katanya, ia juga merangkumi usaha memastikan akses kepada tenaga yang mampu dimiliki boleh dipercayai, lestari dan mampan untuk semua terutamanya buat warga kampus.
“UMP turut membabitkan bukan sahaja warga kampus malahan komuniti setempat untuk sama-sama mencapai SDG dengan mengadakan pelbagai program lestari serta menyedarkan masyarakat berhubung kepentingan hutan dalam usaha menangani isu perubahan iklim.
“Menjadi hasrat UMP untuk merakyatkan kewujudannya sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada penawaran program-program akademik arus perdana tetapi juga mampu berperanan sebagai sebuah institusi sosial yang menjadi pemangkin peningkatan literasi pengetahuan dan kemahiran untuk komuniti lain,” tambahnya.
Beliau hadir menyaksikan pemasangan solar di masjid yang dijalankan sukarelawan daripada Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH).
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Masjid Pekan Sri Medan, Mohamed Zainal Buang berkata, kedudukan Masjid Pekan Sri Medan yang terletak di tengah-tengah bandar Sri Medan ini menjadi tumpuan orang ramai untuk singgah menggunakan fasiliti masjid ini.
“Kami berbangga apabila masjid ini dipilih dalam menyokong usaha yang menyumbang terhadap kelestarian dan penjimatan tenaga.
“Bukan itu sahaja setelah sekian lama wakaf dan parkir yang menempatkan kenderaan van jenazah ini bergelap, kini telah terang disirami cahaya,” katanya yang amat menghargai sumbangan UMP ini.
Lebih bermakna Projek Khidmat Komuniti UMP Lighting Up The Community ini merupakan sebahagian daripada aktiviti bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-20 UMP.
Bersempena dengan itu juga, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie turut berpeluang berkunjung ke rumah pelajar dalam Program Ziarah Prihatin UMP untuk menyampaikan sumbangan zakat dan bantuan Yayasan UMP buat keluarga.
Terpancar kegembiraan pada wajah mereka memandangkan kunjungan ini turut memberikan semangat buat pelajar memandangkan terdapat antara mereka yang masih mengikuti pengajian secara dalam talian dan belum pernah melangkah masuk ke kampus berikutan pandemik akibat penularan Covid-19 yang melanda negara sejak dua tahun lalu.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 189 views