‘Secangkir Budi, Sedekad Berkongsi’: Sukarelawan dan Alumni UMPSA Terus Menabur Bakti
KUALA LUMPUR, 23 Mac 2025 – Menyambut ulang tahun kesepuluh, Projek Secangkir Budi sekali lagi membuktikan keprihatinannya terhadap masyarakat yang memerlukan melalui inisiatif kebajikan yang penuh makna.
Seramai 19 sukarelawan Yayasan UMPSA bersama dengan 40 orang alumni berganding bahu menjayakan program ini dengan menyantuni komuniti kurang bernasib baik di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Sejak diperkenalkan sedekad lalu, Projek Secangkir Budi telah menjadi platform berterusan untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
Pada tahun ini, program tertumpu kepada pengagihan sumbangan hasil kutipan orang ramai kepada anak-anak yatim, pesakit kronik, warga emas, dan individu kurang berkemampuan.
Antara lokasi yang dikunjungi ialah Pusat Jagaan Al Fikrah Malaysia, yang menempatkan seramai 60 pesakit kronik dan warga emas terdampar tanpa waris, Rumah Bakti Al Kausar iaitu tempat perlindungan kepada 30 anak yatim, serta kawasan Lorong Haji Taib 1 dan 2.
Menurut Pengurus Projek yang juga alumni UMPSA, Muhammad Izuddin Ismail, program ini dimulakan dengan lawatan ke Pusat Jagaan Al Fikrah.
“Di sana, para sukarelawan bukan sahaja beramah mesra, malah turut membantu membersihkan kawasan kediaman, merewang menyediakan juadah berbuka puasa, memasak bubur lambuk, dan mengecat semula surau bagi menceriakan suasana untuk penghuni pusat jagaan tersebut.
“Walaupun keletihan, semangat untuk membantu golongan yang memerlukan tetap utuh.
“Sukarelawan menggalas amanah ini dengan penuh keikhlasan, dan kami bersyukur dapat terus menjalankan inisiatif ini setelah satu dekad berlangsung,” katanya.
Para sukarelawan turut berbuka puasa bersama penghuni Pusat Jagaan Al Fikrah dan menjadikan pengalaman ini lebih bermakna dengan terjalinnya hubungan silaturahim antara mereka.
Selain itu, agihan makanan sahur turut dilaksanakan di beberapa lokasi strategik, antaranya Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Balai Polis Chow Kit, Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, dan Pusat Rawatan Kecemasan Hospital Kajang.
Menandakan kejayaan sedekad program ini, Projek Secangkir Budi 10.0 berjaya mengumpul dana sebanyak RM29,542.77 hasil sumbangan orang ramai yang disalurkan melalui hebahan pihak alumni UMPSA dan sukarelawan Yayasan UMPSA sejak Januari 2025.
Sumbangan tersebut membolehkan pelbagai bantuan diagihkan, termasuk kit bantuan makanan, baju raya, kit penjagaan diri, hamper, set mewarna dan pelbagai lagi bentuk sumbangan yang memberi manfaat kepada para penerima.
Dalam tempoh sepuluh tahun, Projek Secangkir Budi telah berkembang daripada inisiatif kecil kepada gerakan kebajikan yang berjaya menyentuh kehidupan ratusan penerima manfaat setiap tahun.
Diharapkan usaha ini dapat diteruskan dan diperkasakan, agar lebih ramai yang mendapat manfaat daripada keprihatinan sukarelawan dan alumni UMPSA pada masa akan datang.
Disediakan Oleh: Nur Iqliema Abdul Hadi, Sukarelawan Yayasan UMPSA
- 96 views