Skip to main content

Skuad Sukarelawan UMPSA Kilau hulur bantuan buat mangsa kebakaran paip gas Putra Heights

KUALA LUMPUR, 4 April 2025 - Skuad sukarelawan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Kilau baru-baru ini turut turun padang di Masjid Putra Heights yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Putra Heights buat mangsa kebakaran insiden kebocoran gas.

Skuad Kilau hadir untuk memberikan sokongan moral dan juga untuk memberikan barang-barang keperluan kepada mangsa yang terjejas, para petugas dan juga sukarelawan di PPS tersebut. 

Misi bantuan itu bertujuan untuk meringankan beban keluarga terjejas dengan menyampaikan barangan keperluan asas serta kata-kata semangat. Program ini adalah sebahagian daripada komitmen UMPSA dalam membantu masyarakat yang memerlukan. 

Mangsa kebakaran menzahirkan rasa syukur dan terharu atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh skuad sukarelawan tersebut.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) telah mengenal pasti empat pelajar UMPSA yang beralamat di Putra Heights, namun hasil semakan mendapati tiada seorang pun terlibat dalam kawasan bencana.

“JHEPA bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) akan terus mengesan sekiranya terdapat pelajar yang ada kemungkinan terlibat. 

“Sehingga hari ini, seramai 35 pasukan Sukarelewan UMPSA Kilau hadir menyumbang tenaga menyertai inisiatif Skuad Ihsan MADANI Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melibatkan pelajar daripada Majlis Sukarelawan Universiti-universiti Malaysia (MASKUM) bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa sejak kejadian tersebut,” katanya. 

Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias turut merakamkan penghargaan buat sukarelawan yang sanggup berkorban masa dan tenaga apatah lagi tatkala ramai yang masih bercuti meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga. 

Beliau percaya dengan bantuan para sukarelawan yang turut menyumbang bakti daripada segi tenaga kerja dengan sokongan pelbagai agensi lain memberi banyak pengalaman buat kesukarelawanan staf dan pelajar dalam membantu masyarakat dan berkhidmat untuk negara.

Skuad Sukarelawan UMPSA Kilau hulur bantuan buat mangsa kebakaran paip gas Putra Heights

Turut hadir ke PPS, Putra Heights adalah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman. 

Hadir sama Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Amirudin Shari. 

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri