UMP pupuk kesedaran cintai terhadap alam sekitar bersama KOA Chenan Cherah
CAMERON HIGHLANDS, 24 Jun 2023 - Menyedari kesedaran terhadap alam sekitar, sukarelawan KILAU Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan komuniti Kampung Orang Asli (KOA), Chenan Cherah, Cameron Highlands, Pahang menjayakan program Alam@UMP dan Khidmat Komuniti 'Bersama Kasih' dengan menanam pokok bersama masyarakat di sini.
Dalam program itu, sebanyak 320 unit anak pokok herba Tongkat Ali dan Kacip Fatimah yang telah disumbangkan oleh pihak Jabatan Pertanian berjaya ditanam bagi mewujudkan Tapak Taman Herba sebagai menyokong Projek Inap Desa Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (Basmi Miskin Tegar) yang telah diluluskan oleh Kementerian Ekonomi.
Manakala Pejabat Perhutanan Cameron Highland turut menyumbangkan sebanyak 250 pokok nadi yang diagihkan kepada setiap ketua rumah.
Hadir dalam program Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman.
Turut sama Penolong Pegawai Daerah Cameron Highland, Muhammad Shukri Abdul Aziz dan Presiden Majlis Belia Cameron Highland yang juga Presiden Kelab Belia Holistik Cameron Highland, Muhammad Fadlil Wafi Abdul Jalil.
Menurut Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad, inisiatif ini merupakan kerjasama antara UMP, agensi kerajaan serta sektor swasta dalam menjayakan penanaman pokok serta program penghutanan semula di negeri ini.
“Program ini berjaya mendekatkan hubungan di antara warga universiti dengan rakan kolaborasi serta komuniti.
“Selain itu, dapat memberikan pendedahan tanggungjawab sosial staf universiti dan sukarelawan UMP Kilau terhadap masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Fadlil berkata, program seperti ini dapat merapatkan jurang di antara komuniti orang asli dengan belia Cameron Highland dan dapat melihat sendiri kehidupan mereka.
Turut berlangsung aktiviti bergotong-royong (merewang) bersama Pejabat Agama Islam Cameron dan memasak juadah makanan tengah hari serta aktiviti bersama anak-anak termasuklah aktiviti sukaneka dan permainan projek ‘Fun Science’ bagi menarik minat mereka terhadap STEM.
Program mendapat kerjasama Ahli Parlimen Cameron Highland, Ibu Pejabat Polis Cameron Highland, Persatuan Wanita UMP (MATAHARI), UMP Advanced, Yayasan UMP, Majlis Belia Cameron Highlands, dan Kelab Belia Holistik Cameron Highlands.
Disediakan oleh: Norhidayah Mohammad, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 162 views