UMPSA perluas akses program TVET buat pelajar KV Tawau dan santuni komuniti setempat dalam Kembara Lestari
TAWAU, 30 April 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memperkenalkan Program Pesisir TVET BORNEO sebagai program kerjasama yang akan membuka peluang kepada anak-anak Sabah khususnya lepasan Kolej Vokasional (KV) untuk mengikuti program Sarjana Muda Teknologi, UMPSA.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias yang juga Timbalan Pengerusi Yayasan UMPSA, pihaknya komited dalam memperluaskan akses penawaran program TVET Termaju dengan mewujudkan program bagi memberikan peluang kepada pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang TVET ke tahap yang optimum.
“Ia adalah selari dengan seruan pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) agar pihak Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) memperkembangkan program TVET ke negeri-negeri di Borneo dan juga merealisasikan hala tuju MTUN TVET Termaju 2030 yang telah dibangunkan oleh semua universiti di bawah MTUN.
“UMPSA merupakan sebuah universiti awam dan sebagai universiti teknikal terbaik dalam MTUN yang menawarkan program berteraskan kejuruteraan dan teknologi serta menawarkan program pengajian Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) termaju.
“Kolaborasi strategik UMPSA dan Kolej Vokasional ini bagi melihat lebih ramai anak-anak di sini menyambung pengajian dalam TVET terutamanya dalam bidang automotif, rel, aeroangkasa, pembuatan dan kimia proses yang sangat relevan untuk masa depan bagi melahirkan tenaga berkemahiran dan professional,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam Program Pendidikan @Kolej Vokasional bersempena dengan Kembara Lestari Negeri Di Bawah Bayu 4.0 yang berlangsung di Tawau, Sabah sejak 27 April hingga 1 Mei 2026.

Dalam pada itu, UMPSA mencatat sejarah apabila buat julung kalinya menerima seramai 34 orang pelajar baharu bagi mengikuti pengajian program teknologi di Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.
Program ini merupakan kerjasama strategik antara UMPSA dan UMS, yang menyaksikan pada masa ini penawaran dua program Sarjana Muda Teknologi secara pesisir di UMS, iaitu Teknologi Penyelenggaraan Fasiliti Minyak dan Gas serta Teknologi Penyelenggaraan Sistem Elektrik dengan Kepujian.
Program ini diiktiraf oleh Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) dengan tempoh pengajian selama tiga tahun setengah bagi membolehkan pelajar mengikuti pengajian selama tiga semester di UMS, dua semester di UMPSA serta dua semester yang terakhir bagi menjalani latihan industri.
Ujar beliau, pelaksanaan Program Pesisir TVET BORNEO ini sebagai program kerjasama yang akan membuka peluang kepada anak-anak Sabah khususnya lepasan Kolej Vokasional (KV) untuk mengikuti program yang ditawarkan UMPSA dengan kerjasama UMS.
Profesor Ts. Dr. Yatimah turut menyampaikan surat lantikan rakan strategik TVET UMPSA kepada pihak KV Tawau yang diwakili Timbalan Pengarah Akademik Kolej Vokasional Tawau, Dr. Azman Mansor dalam menjayakan pelaksanaan Program Ijazah Sarjana Muda Teknologi (TVET BORNEO) Program Kerjasama UMPSA-UMS.
Dalam pada itu, beliau turut berpeluang menyantuni lima orang alumni UMPSA yang kini merupakan tenaga pengajar dan berkhidmat di KV Tawau yang merupakan salah satu KV terbesar di Malaysia.
Hadir merasmikan program Kembara Lestari, ahli Parlimen Kalabakan, Yang Berhormat Datuk Andi Muhammad Suryady Haji Bandy Alias.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Dato’ Seri Haji Darwis Abdul Razak yang merupakan ahli pemegang amanah Yayasan UMPSA.
Sementara itu, menurut YB Datuk Andi, pihaknya menghargai komitmen UMPSA dalam memberi peluang buat pelajar di sini mendapatkan pengetahuan dan pengalaman ke arah kesiapsiagaan mereka sebelum melangkah ke alam pekerjaan agar dilengkapi dengan kemahiran pada masa hadapan.
Bersempena dengan penganjuran Kembara Lestari Negeri Di Bawah Bayu 4.0 di Tawau, Sabah, YB Datuk Andi turut menyertai Program Ziarah Prihatin bagi menyalurkan bantuan Yayasan UMPSA kepada keluarga yang memerlukan di sekitar Kampung Pasir Putih, Tawau.
Turut sama hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar yang juga Pengerusi Yayasan UMPSA dan ahli pemegang amanah Yayasan UMPSA, Datin Nur Sharmila Shaheen, Pendaftar UMPSA, Dato Saiful Bahri Ahmad Bakarim serta Ketua Unit Hal Ehwal Pelajar Politeknik Tawau, Dr. Alfian Thomas.
Program Kembara Lestari ini melibatkan 25 sukarelawan KILAU UMPSA daripada skuad Yayasan UMPSA dan sepuluh sukarelawan Politeknik Tawau dirangka khusus bagi menyantuni pembangunan komuniti setempat serta menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan melalui pendekatan holistik dan berimpak tinggi.
Pelaksanaan program ini memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan hidup komuniti melalui sumbangan kepakaran dan kemahiran merangkumi pelbagai aspek termasuk teknologi, pendidikan, kelestarian, kebudayaan, kerohanian serta khidmat komuniti.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Haji Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 15 views
Reports by: