Skip to main content

UMPSA santuni murid orang asli dalam segmen Fun Dance menerusi program Aspirasi SPM dan Kerjaya Peduli 2026

KUANTAN, 9 September 2026 – Pusat Kebudayaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkasakan peranan dalam menyantuni golongan pelajar melalui penglibatan dalam Program Aspirasi SPM dan Kerjaya serta Teknik Menjawab SPM Murid Orang Asli (PEDULI) 2026 yang berlangsung di Arena ADAB, UMPSA Kampus Paya Besar.

Program yang menghimpunkan seramai 40 orang murid orang asli daripada sepuluh buah sekolah sekitar Rompin, Pahang itu merupakan salah satu inisiatif Program Cemerlang Daerah Rompin anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Rompin dengan kerjasama Institution of Engineers Malaysia (IEM) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), UMPSA.

Dalam program tersebut, Pusat Kebudayaan menjalinkan kerjasama dengan FTKA bagi menyediakan pengisian aktiviti kebudayaan dan kesenian kepada para peserta. 

Slot Fun Dance diketengahkan bagi memeriahkan program menerusi aktiviti santai dan interaktif yang dikendalikan oleh Kumpulan Tarian Kencana Pawana sebagai fasilitator, dengan pemantauan daripada pegawai penyelaras.

UMPSA santuni murid orang asli dalam segmen Fun Dance menerusi program Aspirasi SPM dan Kerjaya Peduli 2026

Slot kebudayaan yang diterajui oleh Kumpulan Kencana Pawana itu, memimpin segmen Fun Dance Game dengan pendekatan permainan berasaskan tarian dan pergerakan kreatif. 

Aktiviti ini dirangka bagi memberikan ruang kepada para peserta untuk berehat, mengekspresikan diri selepas mengikuti pengisian akademik sepanjang program. 

Antara pengisian yang dilaksanakan ialah Senam Seni sebagai aktiviti pemanas badan sebelum peserta meneruskan beberapa permainan seni secara berkumpulan.

UMPSA santuni murid orang asli dalam segmen Fun Dance menerusi program Aspirasi SPM dan Kerjaya Peduli 2026

Seterusnya, setelah berkenalan dan melalui sesi ice-breaking, maka program dimulakan dengan aktiviti pertama, permainan yang diberi nama Feel The Beat yang berlangsung selama 10 minit, memberi peluang kepada peserta mengikuti pergerakan tarian yang dipimpin oleh fasilitator. 

Aktiviti ini bukan sahaja membantu memanaskan badan, malah mewujudkan suasana ceria dan santai dalam kalangan peserta.

Seterusnya, aktiviti Memory Lane selama 20 minit menguji daya ingatan, kreativiti serta kerjasama peserta. 

Seramai 40 orang murid dibahagikan kepada lima kumpulan dan setiap kumpulan membentuk satu barisan. 

Dalam permainan tersebut, fasilitator memberikan satu pergerakan atau tarian ringkas kepada peserta pertama bagi setiap kumpulan. 

Menurut Penyelaras Program, Noor Afiza Mohd Asmi, pengisian slot ini dirangka sebagai ruang santai untuk calon-calon SPM merehatkan minda dan melepaskan tekanan akademik selepas mengikuti pelbagai pengisian slot akademik yang padat.

"Aktiviti fizikal berkonsepkan tarian dan permainan seni ini bukan sahaja bertujuan memberikan kesegaran fizikal, malah menjadi medium untuk memupuk semangat kerjasama, meningkatkan interaksi, serta membina hubungan positif dan semangat kekitaan dalam kalangan murid," ujarnya. 

UMPSA santuni murid orang asli dalam segmen Fun Dance menerusi program Aspirasi SPM dan Kerjaya Peduli 2026

Penglibatan Pusat Kebudayaan dalam segmen ini memperlihatkan bahawa elemen seni dan budaya  menjadi medium sokongan yang berkesan dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih seimbang, khususnya bagi pelajar yang sedang membuat persediaan menghadapi peperiksaan SPM. 

Program yang berlangsung pada 9 September 2026 lalu turut melibatkan lapan orang fasilitator dan tujuh orang staf, yang bersama-sama memastikan kelancaran pelaksanaan aktiviti serta kebajikan para peserta sepanjang program.

Disediakan Oleh: Adibah Shaharom, Pusat Kebudayaan

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri