Skip to main content

UMPSA santuni murid PPKI SK RTP Bukit Goh melalui Program Kelestarian Inklusif

PEKAN, 22 April 2026 - Seramai 27 murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dari Sekolah Kebangsaan RTP Bukit Goh telah menyertai Program Kelestarian Inklusif bagi memupuk kesedaran alam sekitar serta memperkenalkan persekitaran pembelajaran universiti yang mesra OKU. 

Penganjuran program ini merupakan inisiatif Pusat Pembangunan Kelestarian dengan kerjasama Pusat Perkhidmatan Inklusif, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Program yang berlangsung di UMPSA Pekan ini turut melibatkan guru pengiring dan seramai sepuluh pelajar UMPSA dari Badan Pelajar EcoNexus UMPSA yang komited memberikan pendedahan bermakna mengenai amalan kelestarian. 

UMPSA santuni murid PPKI SK RTP Bukit Goh melalui Program Kelestarian Inklusif

Pengarah Pusat Pembangunan Kelestarian, Dr. Suhaidah Hussain berkata, program ini merupakan manifestasi sokongan universiti terhadap agenda kelestarian dan pembentukan masyarakat yang prihatin. 

“Aktiviti seumpama ini mampu memberikan pengalaman pembelajaran secara langsung yang unik kepada murid pendidikan khas sambil meningkatkan kesedaran mereka terhadap penjagaan alam sekitar. 

“Antara pengisian utama program adalah aktiviti penanaman pokok di kawasan Rimba Komuniti UMPSA. 

“Aktiviti ini dirancang khusus untuk menyemai rasa tanggungjawab terhadap pemeliharaan alam sekitar dalam diri para peserta sejak dari bangku sekolah lagi,” ujarnya. 

Selain itu, para murid turut berpeluang mempelajari kemahiran baharu melalui aktiviti penghasilan sabun daripada minyak masak terpakai. 

Melalui aktiviti ini, peserta didedahkan dengan konsep kitar semula dan cara menghasilkan barangan mesra alam, katanya. 

Beliau turut berharap agar kerjasama strategik antara pihak sekolah dan agensi luar dapat diteruskan bagi memperkasa agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) pada masa hadapan

Lebih menarik, para murid berpeluang dibawa melawat untuk menerokai pelbagai kemudahan inklusif yang terdapat di UMPSA. 

Antara lokasi yang dikunjungi termasuklah Bilik Latihan Inklusif, Studio Hab Digital Inklusif, serta Hab Teknologi dan Ekosistem Inklusif (HATI). 

Lawatan ini bertujuan memberi peluang kepada murid-murid mengenali teknologi pembelajaran dan fasiliti sokongan yang disediakan khusus untuk komuniti inklusif di peringkat universiti.

Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas SK RTP Bukit Goh, Fatimah@Farhaa Zainuddin pula menyifatkan program ini sebagai satu usaha yang amat bermanfaat bagi Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK).

“Aktiviti luar bilik darjah seperti ini banyak membina keyakinan diri dan memberikan keseronokan kepada murid serta guru dalam meneroka bidang pendidikan baharu. 

“Program ini berjaya membuka ilmu baharu berkenaan pendigitalan yang boleh digabungjalinkan dalam pembelajaran seharian murid bagi memperkukuh kemahiran mereka,” katanya. 

Manakala menurut salah seorang murid, Siti Batrisya Hasanah Mohd Badlishah, 12, beliau melahirkan rasa gembira kerana berpeluang mengikuti aktiviti luar bilik darjah yang menyeronokkan seperti menanam pokok dan menghasilkan sabun DIY, di samping mendapat pengetahuan baharu yang sangat berguna berkenaan bidang pendigitalan.

Turut hadir memberikan sokongan dalam program tersebut adalah Pengarah Pusat Perkhidmatan Inklusif UMPSA, Dr. Munira Abdul Razak.

Kesemua pihak menyambut baik inisiatif ini yang dilihat berjaya merapatkan jurang antara komuniti sekolah khas dengan institusi pendidikan tinggi.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Pembangunan Kelestarian

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri