UMPSA santuni warga Desa Dolokgede, Bojonegoro, Indonesia melalui program Kembara Eksplorasi ASEAN Yayasan UMP
DOLOKGEDE, 16 November 2023 – 14 sukarelawan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bersama 15 sukarelawan daripada Universitas Bojonegoro (UNIGORO), IKIP PGRI Bojonegoro dan Universitas Nahdlatul Ulama Sunan Giri (UNUGIRI) menjayakan program Kembara Eksplorasi ASEAN di Bojonegoro, Indonesia.
Program selama lima hari itu melibatkan desa pendalaman yang terletak kira-kira 40 km dari pusat bandar Bojonegoro yang dikenali sebagai Desa Dolokgede.
Menurut penyelaras program yang juga nerupakan pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Amanina Farhana Ahmad, kerjasama ini terjalin adalah kesinambungan daripada hubungan baik hampir lapan tahun beliau dengan Ketua Ademos Indonesia, Mohammad Kundori.
“Hubungan baik ini telah melahirkan kolaborasi negara dan budaya yang membina hubungan erat di antara ahli komuniti dengan sukarelawan yang terlibat.
“Para sukarelawan yang berkampung selama lima hari di rumah keluarga angkat membawa kita lebih dekat dengan hati penduduk Desa Dolokgede di samping mempelajari budaya mereka.
“Program melibatkan lima kluster aktiviti iaitu teknologi, khidmat komuniti, kebersihan dan kelestarian, pendidikan, serta kerohanian,” ujarnya.
Program dimulakan dengan sesi menandatangan perjanjian jalinan kerjasama di antara Yayasan UMP, Ademos Indonesia, Yayasan Mannah, dengan tiga pusat pengajian tinggi di Bojonegoro iaitu UNIGORO, UNUGIRI dan IKIP PGRI Bojonegoro.
Selain itu turut diadakan Festival Masakan Malaysia di bawah kluster khidmat komuniti yang melibatkan konsep ‘rewang’ bersama rakan penaja ADABI.
Lebih 200 orang hadirin yang hadir turut melahirkan rasa keterujaan mereka untuk merasakan masakan Malaysia.
Sebanyak 300 bungkusan makanan yang dimasak oleh Chef Irwan daripada ADABI dengan menu nasi minyak, ayam masak merah dan acar telah diedarkan kepada para hadirin.
Turut diadakan pemeriksaan kesihatan warga emas, panduan kesihatan gigi dan membasuh tangan, pameran akademik, street science, pertandingan mewarnai, sukaneka, penanaman 1,000 anak pokok, pemasangan teknologi solar, pengenalan baja prebiotik, dan festival pertukaran budaya yang membawa tema ‘Medhayoh Eksplorasi Asean Malaysia – Dolokgede’.
Menurut Pengurus Projek yang juga pelajar Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) UMPSA, Fatin Najihah Mislin, mereka berasa terkejut dengan sambutan hangat dan keramahan warga Dolokgede.
“Kami merasakan secara langsung makna medhayoh atau berkunjung.
“Dalam konteks bahasa Melayu pula, medhayoh bermaksud berkampung,” ujarnya.
Di bawah kluster teknologi, UMPSA membawa dua aktiviti iaitu pengenalan baja prebiotik dan pemasangan teknologi solar.
Sebanyak 100 botol sampel baja prebiotik yang merupakan produk UMPSA telah diedarkan kepada penduduk sekitar semasa pameran akademik dijalankan.
Jurutera Kanan UMPSA, Ts. Mohd Nurulakla Mohd Azlan mengetuai pemasangan teknologi solar di Desa Dolokgede.
“Kedudukan Desa Dolokgede yang diapit dengan dua perusahaan minyak dan gas menyebabkan kadar pelepasan karbon yang tinggi mengakibatkan peningkatan suhu sekitar.
“Dengan adanya pemasangan solar yang merupakan sumber tenaga yang bersih dan boleh diperbaharui, ia membantu dalam mengurangkan kadar pelepasan karbon,” ujarnya.
Sempena program ini, Yayasan UMP turut menyumbang 50 set kit makanan asas, 50 set kit barangan persekolahan dan 15 set kit barangan solat untuk kegunaan komuniti.
Lebih 2,000 pengunjung menghadiri Festival Pertukaran Budaya yang diadakan pada hari terakhir program dengan melibatkan 37 buah gerai makanan Indonesia.
Turut diadakan persembahan budaya Indonesia seperti barongan, ludruk, tarian tantra sahitya, maheswari dan gaganeswara.
Sukarelawan Malaysia juga tidak ketinggalan mempersembahkan tarian joget Pahang.
Hasil kejayaan program ini membuka harapan kepada para sukarelawan daripada tiga pusat pengajian tinggi di Bojonegoro agar dapat berkunjung ke Malaysia.
Mahasiswa Universitas Bojonegoro, Satrya mengagumi mahasiswa UMPSA kerana berani melakukan program di luar negara dan berharap dapat meneruskan kolaborasi ini lagi serta dapat mengadakan program kunjungan balas ke UMPSA.
Disediakan oleh: Nur Izzaty Fatihah Nazar, Yayasan UMP
- 85 views