Skip to main content

UMPSA sertai program Konservasi Biodiversiti di Pantai Chendor sempena Hari Maritim Sedunia 2025

KUANTAN, 25 September 2025 – Sempena Hari Maritim Sedunia 2025, Kuantan Port telah menganjurkan Program Konservasi Biodiversiti di Pantai Chendor, Kuantan bersempena dengan Hari Maritim Sedunia 2025.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Community Investment Kuantan Port yang melibatkan kerjasama dengan Malaysian Nature Society (MNS) dan Kasih Turtle Conservation Project yang disertai lebih 200 sukarelawan terdiri daripada pelajar dan staf Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), University College Yayasan Pahang (UCYP), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta warga kerja Kuantan Port sendiri.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Pegawai Operasi Kuantan Port, Chan Weng Yew.

Dalam ucapannya, beliau menekankan tanggungjawab bersama dalam melindungi hidupan marin dan memulihkan habitat pesisir pantai bagi menjamin kelestarian lautan serta kesejahteraan komuniti.

Program yang bertemakan ‘Our Ocean, Our Obligation, Our Opportunity’, itu menyaksikan aktiviti utama penanaman lebih 3,000 anak pokok bakau sebagai langkah awal ke arah mencapai sasaran penanaman 5,000 pokok bakau di sepanjang pesisir Pantai Chendor. 

Antara spesies yang ditanam termasuklah Bakau Minyak (Rhizophora Apiculata), Bakau Kurap (Rhizophora Mucronata) dan Bakau Tumu Merah (Bruguiera Gymnorhiza) yang berfungsi sebagai benteng semula jadi serta habitat penting bagi ekosistem pesisir.

Selain itu, para sukarelawan turut terlibat dalam aktiviti gotong-royong pembersihan pantai, dan berjaya mengumpul sebanyak 241.7 kg sisa pepejal, sekaligus membantu memulihkan ekosistem pantai. Program turut diserikan dengan pelepasan kira-kira 100 anak penyu ke laut sebagai simbol harapan terhadap kelangsungan spesies terancam. 

UMPSA sertai program Konservasi Biodiversiti di Pantai Chendor sempena Hari Maritim Sedunia 2025

Kuantan Port dengan kerjasama Kasih Turtle turut berikrar untuk melindungi sehingga 8,000 telur penyu termasuk spesies Penyu Agar (Green Sea Turtle) dan Tuntung Laut (Painted Terrapin) sebagai langkah penting dalam usaha pemuliharaan marin.

Bagi pihak UMPSA, seramai 30 sukarelawan terdiri daripada staf dan pelajar turut serta, yang diketuai oleh Pengarah Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC) UMPSA, Dr. Suhaidah Hussain. 

Beliau menjelaskan bahawa penyertaan UMPSA adalah bukti komitmen universiti dalam mendukung Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, khususnya SDG 13 (Tindakan Iklim), SDG 14 (Kehidupan di Bawah Air), SDG 15 (Kehidupan di Darat) dan SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat).

“Program seperti ini mendekatkan kita kepada komuniti dan alam semula jadi. 

“Ia bukan sekadar aktiviti sukarelawan, tetapi satu tindakan nyata menyokong kelestarian global,” ujarnya. 

Turut serta ialah lima pensyarah dari Pusat Bahasa Moden (PBM), Noraisah Nurul Fatwa Mohd Razali, Amy Zulaikha Mohd Ali, Azimah Ahmad Zaki, Farah Liyana Ahmad A’azmey dan Hanisah Bon (Kasbon). 

Menurut Farah Liyana Ahmad A’azmey, penyertaan ini memberikan peluang kepada pendidik bahasa untuk memperkukuh nilai kelestarian dalam pendidikan.

“Di PBM, kami percaya pendidikan bahasa tidak hanya tertumpu pada kemahiran komunikasi, tetapi juga pembentukan nilai dan kesedaran terhadap tanggungjawab sosial serta alam sekitar,” ujarnya.

Mewakili suara pelajar, Muhammad Hariez Mirza Mohd Azhar dari Kelab EcoNexus UMPSA turut berkongsi pengalamannya.

“Aktiviti seperti ini menyedarkan saya betapa pentingnya kerja-kerja konservasi. 

“Menanam pokok bakau dan membersihkan pantai memberi kefahaman sebenar tentang betapa rapuhnya ekosistem kita. 

“Saya berbangga dapat menjadi sebahagian daripada usaha ini,” katanya.

Program bermula seawal 12.30 tengah hari dengan perlepasan peserta dari Canseleri UMPSA Gambang, diikuti sesi pendaftaran, taklimat oleh MNS dan Kasih Turtle, serta aktiviti penanaman dan pelepasan anak penyu sebelum bersurai pada jam 5.30 petang.

Pihak penganjur turut menekankan amalan lestari sepanjang program dengan tidak menyediakan air mineral botol, sebaliknya menggalakkan peserta membawa botol air guna semula untuk diisi di stesen isi semula air yang disediakan di lokasi. 

Selain itu, cawan plastik guna semula turut disediakan bagi mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.

Usaha bersama ini mencerminkan semangat kolaboratif dalam memperkukuh agenda Environmental, Social and Governance (ESG) Kuantan Port dan rakan strategiknya, termasuk UMPSA. 

Ia juga menunjukkan komitmen berterusan untuk menyeimbangkan pembangunan maritim dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar ke arah masa depan yang sejahtera dan lestari untuk generasi akan datang.

Disediakan Oleh: Amy Zulaikha Mohd Ali Dan Noraisah Nurul Fatwa Mohd Razali, Pusat Bahasa Moden (PBM)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri