Skip to main content

UMPSA tingkatkan kemahiran komunikasi dan insaniah melalui projek Integrasi Community Living Lab

PEKAN, 8 Julai 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju pemindahan ilmu kepada masyarakat menerusi pelaksanaan projek ‘Presenting with Impact and Interpersonal Dynamics’, sebuah inisiatif yang memfokuskan pembangunan kemahiran komunikasi, pembentangan profesional dan kemahiran insaniah dalam kalangan penghuni Rumah Penyayang Tun Abdul Razak (RPTAR), Pekan yang juga merupakan Projek Integrasi Community Living Lab UMPSA.

Program yang dilaksanakan secara berterusan dan bersiri itu merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik Community Living Lab hasil kerjasama erat antara UMPSA dan Rumah Penyayang Tun Abdul Razak.

Inisiatif ini bertujuan memperkasakan komuniti melalui pemindahan ilmu, pembangunan kapasiti dan penggunaan teknologi berimpak tinggi bagi menyokong pembangunan akuakultur moden secara mampan.

Community Living Lab ini merangkumi lima subprojek utama, iaitu Sistem Solar, Sistem Pengairan Automatik berasaskan Internet of Things (IoT), Aplikasi Web dan Pengurusan Projek Perisian Komputer, Pemasaran, serta Komunikasi dan Kemahiran Insaniah. 

Kesemua subprojek tersebut diterajui oleh tenaga akademik UMPSA yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing, sekali gus memastikan setiap modul latihan yang dibangunkan mampu memberi manfaat secara langsung kepada komuniti sasaran.

Subprojek Komunikasi dan Kemahiran Insaniah melalui geran pemindahan ilmu CDU UMPSA ini diketuai oleh Dr. Ruhil Amal Azmudin bersama barisan ahli projek yang terdiri daripada Dr. Umi Kalsom Masrom, Mohammad Baihaqi Hasni dan Lee Cheng May, semuanya merupakan tenaga pengajar dari Pusat Bahasa Moden (PBM), UMPSA. 

Gabungan kepakaran dalam bidang komunikasi, bahasa dan pembangunan modal insan membolehkan peserta mengikuti latihan yang bersifat praktikal, interaktif dan relevan dengan keperluan semasa.

UMPSA tingkatkan kemahiran komunikasi dan insaniah melalui projek Integrasi Community Living Lab

Menurut Dr. Ruhil Amal, kemahiran komunikasi dan kemahiran insaniah merupakan antara kompetensi teras yang perlu dimiliki oleh setiap individu bagi meningkatkan keyakinan diri, kebolehpasaran dan keupayaan untuk berinteraksi secara profesional.

"Melalui program ini, peserta bukan sahaja mempelajari teknik pembentangan yang berkesan, malah dibimbing untuk membina keyakinan diri, memperkukuh kemahiran interpersonal serta menguasai komunikasi profesional yang amat diperlukan dalam dunia pekerjaan, keusahawanan dan kehidupan bermasyarakat," ujarnya. 

Tambah beliau lagi, pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang diterapkan sepanjang program membolehkan peserta mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam situasi sebenar, sekali gus melahirkan individu yang lebih yakin, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan komuniti.

“Selain meningkatkan kemahiran komunikasi, program ini turut menjadi platform kepada peserta untuk mengembangkan potensi diri melalui aktiviti berkumpulan, latihan simulasi dan pembentangan yang menekankan elemen kepimpinan, kerjasama, pemikiran kritis serta penyelesaian masalah.

“Pelaksanaan projek ini adalah selaras dengan aspirasi UMPSA dalam memperkasakan masyarakat melalui pemindahan ilmu, inovasi dan teknologi. 

“Sebagai peneraju Community Living Lab, UMPSA menyediakan kepakaran akademik, teknologi, modul latihan dan pemantauan berterusan bagi memastikan pembangunan komuniti dapat dilaksanakan secara sistematik, inklusif serta lestari,” katanya. 

Menurut Dr. Ruhil lagi, kerjasama strategik ini membuktikan komitmen UMPSA untuk memastikan hasil penyelidikan, inovasi dan kepakaran universiti diterjemahkan kepada manfaat sebenar yang mampu meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

"Program seperti ini bukan sahaja memperkasakan komuniti melalui pendidikan dan latihan, malah menjadi medium penting untuk memindahkan teknologi, membina jaringan kerjasama yang mampan serta memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti.

“Inisiatif ini diharap menjadi model kolaborasi yang berimpak tinggi antara institusi pengajian tinggi dan komuniti dalam melahirkan masyarakat yang berilmu, berkemahiran, berdaya tahan serta mampu mengadaptasi teknologi demi meningkatkan kesejahteraan hidup, selaras dengan aspirasi UMPSA sebagai universiti yang menerajui pemindahan ilmu untuk kemakmuran masyarakat.

UMPSA tingkatkan kemahiran komunikasi dan insaniah melalui projek Integrasi Community Living Lab

“Program pembangunan kemahiran komunikasi dan kemahiran insaniah ini turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila menarik perhatian STIKOM Tunas Bangsa, Indonesia semasa lawatan delegasi institusi tersebut ke tapak projek Community Living Lab RPTAR pada awal Jun lalu,” jelasnya. 

Katanya, delegasi berkenaan menyatakan minat yang tinggi terhadap pendekatan latihan dan modul yang dibangunkan oleh program ini, khususnya dalam memperkasa komuniti melalui pembangunan kemahiran komunikasi dan modal insan yang holistik.

“Susulan itu, bagi memperluaskan kerjasama akademik dan penyelidikan kepada komuniti sasaran di Indonesia, satu Memorandum Perjanjian (MoA) yang bakal dimeterai antara UMPSA dan STIKOM Tunas Bangsa pada 1 Ogos 2026 akan datang,” ujar beliau. 

Disediakan Oleh: Mohammad Baihaqi Hasni Dan Dr. Ruhil Amal Azmuddin, Pusat Bahasa Moden (PBM)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri