Skip to main content

Yayasan UMPSA dan TERATAI ziarah OKU dan generasi baharu orang asli

CAMERON HIGHLANDS, 27 Julai 2024 - Sukarelawan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Persatuan Amal Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Pahang Darul Makmur (TERATAI) baru-baru ini menziarahi Orang Kelainan Upaya (OKU) dan generasi baharu di Pos Telanok Cameron Highland sempena program Kembara Prihatin@Pos Telanok. 

Ziarah telah diketuai oleh Yang di-Pertua TERATAI, Datin Sri Dato’ Hajah Burhah Mohammed bersama  ahli-ahli TERATAI dan sukarelawan UMPSA di perkampungan orang Asli berhampiran.

Menurut Datin Sri Dato’ Hajah Burhah, beliau menyokong penuh program Kembara Prihatin ini dan berharap agar ia dapat diteruskan di tempat-tempat lain iaitu bukan sahaja di negeri Pahang. 

“Saya mengucapkan tahniah atas kejayaan program yang telah berlangsung selama empat hari, tiga malam ini. 

“Terima kasih juga kepada rakan kerjasama yang sama-sama membantu dalam menjayakan program ini,” ujarnya.

Dalam ziarah prihatin itu, Azlan Busu Pendek yang juga merupakan seorang OKU telah menerima sumbangan kerusi roda dan beberapa barang keperluan harian serta makanan. 

Manakala, empat lagi penerima yang menerima sumbangan barang keperluan harian dan makanan adalah ibu bapa yang menimang cahaya mata baharu di perkampungan orang asli berhampiran. 

Mereka melahirkan rasa syukur dan terima kasih atas sumbangan yang diberikan. 

Dalam program Kembara Prihatin@Pos Telanok, seramai 52 sukarelawan UMPSA melibatkan 27 orang pelajar dan 25 staf berkampung di Sekolah Kebangsaan Telonok. 

Turut sama dalam program ziarah adalah isteri Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datin Dr. Rozana Kamal, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMPSA, Datin Nur Sharmila Shaheen, Pegawai Daerah Cameron Highlands, Tuan Haji Syed Ahmad Khairulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman, dan Ketua Eksekutif Yayasan UMPSA, Mohd Jamil Mohd Jaafar. 

Yayasan UMPSA dan TERATAI ziarah OKU dan generasi baharu orang asli

Program turut menerima kerjasama daripada Persatuan TERATAI, Yayasan UMPSA, Persatuan Wanita UMPSA (Matahari), Yayasan PEKEMA, Parlimen Cameron Highlands, Rainbow Girl, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Majlis Daerah Cameron Highlands, Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands, Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) dan komuniti SK Telanok. 

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Nur Hartini binti Mohd Hatta