3 graduan perintis program ijazah dual UMPSA dan Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU) bergraduasi
GAMBANG, 26 Oktober 2024 – Seramai tiga orang graduan menerima ijazah dual Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU), Kazakhstan dalam program Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan Bioteknologi Industri dengan Kepujian iaitu seorang dari UMPSA dan dua orang lagi dari KazNARU.
Mereka bertiga iaitu Lim Yeow Hong, 24 (UMPSA), Serikova Zhaniya, 24 (KazNARU), dan Akshimbayez Danil, 21 (KazNARU), 21 merupakan perintis kepada program ijazah dual tersebut.
Lim Yeow Hong, menerima ijazahnya daripada oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang dalam Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-19 pada sesi pertama.
Melalui program kerjasama ini, pelajar akan mengikuti pengajian selama tiga tahun di KazNARU dan setahun di UMPSA.
Pelajar yang mengikuti program ini menerima dua ijazah daripada kedua-dua universiti tersebut.
Menurut Lim Yeow Hong, banyak manfaat yang diperolehnya menerusi program ijazah dual ini.
“Saya dapat meningkatkan kemahiran dengan mempelajari subjek bioteknologi yang tidak termasuk di dalam silibus di UMPSA, seperti bioteknologi veterinar dan kaedah pembungkusan makanan.
“Semasa menjalani latihan industri di KazNARU, saya dapat menyiapkan tesis dan menjadi salah seorang daripada penulis kertas saintifik dalam bidang penyelidikan vaksin alahan debunga.
“Di samping itu juga, saya berpeluang menyertai aktiviti penyelidikan dengan mengkaji formulasi vaksin alahan debunga dari tumbuhan Artemisia Vulgaris,” ujarnya.
Beliau yang amat meminati bidang penyelidikan turut merasai pengalaman berharga di sana dengan melakukan aktiviti mendaki gunung pada musim sejuk dan panas.
Tambahnya lagi, dirinya juga mengambil inisiatif untuk mempelajari bahasa Rusia ke tahap kefasihan B2 dalam tempoh setahun.
Manakala bagi pelajar Akshimbayev Danil dan Serikova Zhaniya yang berasal dari Ridder City, Kazakhstan, melanjutkan pengajian selama dua semester di Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) UMPSA, sudah tentunya banyak pengalaman dan kenangan manis yang diperoleh lebih-lebih lagi merasai pengalaman berada di negara yang asing baginya.
Ujar Zhaniya, beliau sangat teruja untuk datang ke Malaysia dan melanjutkan pengajian di UMPSA.
“Mendalami budaya dan bergaul dengan masyarakat Malaysia serta menikmati keindahan negeri Pahang Darul Makmur ini adalah pengalaman dan kenangan manis yang tidak mungkin saya lupakan.
"Saya teruja untuk belajar di UMPSA kerana sistem pendidikan di sini sedikit berbeza dengan sistem pendidikan di negara saya.
“Di sini juga, saya amat mengagumi kemudahan yang disediakan untuk para pelajar di sini,” tambahnya.
Zhaniya berharap lebih ramai lagi pelajar akan datang ke Malaysia bagi melanjutkan pengajian mereka di UMPSA.
Tambahnya lagi, UMPSA adalah universiti terbaik buat para pelajar yang ingin melanjutkan pengajian, lebih-lebih lagi bagi program ijazah dual yang ditawarkan.
Selain Kazakhstan, UMPSA juga turut menawarkan program ijazah dual dengan kerjasama Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA), Jerman dan Mannheim University of Applied Sciences (HMA), Jerman.
Kerjasama ini turut diperluas ke negara China hasil kerjasama dengan Beijing Jiaotong University (BJTU) yang membabitkan bidang Kejuruteraan Awam, Mekanikal dan Elektrikal, Tianjin University (TJU) selain Korea Selatan dan Jepun pada masa akan datang.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 56 views