35 graduan terima Diploma CBTM program kerjasama UMP dan AKEPT
PAYA BESAR, 8 November 2022 - Seramai 35 graduan program Profesional Pengurusan Bakat Berasaskan Kompetensi (CBTM) 3.0 hasil kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) menerima diploma masing-masing yang disampaikan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin bersempena Majlis Konvokesyen UMP Ke-17 yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan UMP.
Sehingga kini, program di bawah agenda Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang dilaksanakan melalui UMP Advanced ini berjaya melahirkan seramai 115 alumni Diploma Profesional Pengurusan Bakat Berasaskan Kompetensi (CBTM).
Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, agenda pengurusan dan pemerkasaan bakat kepimpinan adalah penting dalam ekosistem organisasi dan institusi pendidikan tinggi selari dengan hasrat AKEPT iaitu kompetensi menjadi tonggak dalam membudayakan pengurusan bakat yang berwibawa di universiti awam (UA).
“Pelaksanaan pembangunan modal insan dan pengurusan bakat ini adalah selaras dengan kepentingan pembangunan sumber manusia pendidikan tinggi dan dunia kesarjanaan ke arah pemantapan penyampaian kerja berprestasi tinggi pada masa depan serta mendepani cabaran semasa pendidikan tinggi global,” katanya.
Bagi Pendaftar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Fazielah Mohamad yang menerima Diploma CBTM berkata, program ini sesuai bukan sahaja pentadbir namun buat staf akademik untuk mengetengahkan pengurusan bakat mengikut modul dan kaedah tertentu.
“Program ini dapat memberi pendedahan mengenai kepimpinan dan menguruskan pembaharuan serta perubahan mengikut keperluan semasa.
“Justeru, bakat kepimpinan perlu diketengah dan diperbaharui,” ujarnya.
Begitu juga dengan Dr. Muhammad Ashraf Fauri, selaku penyelaras dan graduan CBTM 3.0 berkata, kebanyakan mereka ini terdiri daripada pensyarah dan pentadbir daripada pelbagai jawatan strategik di UA seluruh Malaysia.
Pada kohort kali ini, buat pertama kalinya mereka perlu menyelesaikan 11 modul berdasarkan kerangka baharu Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) UMP dan sepanjang tempoh pengajian dijalankan 100 peratus sepenuhnya dalam talian akibat pandemik COVID-19.
Manakala bagi pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Yazrina Yahya yang juga hadir menerima diploma CBTM berkata, program ini penting dalam menyediakan pengetahuan dan kemahiran untuk seseorang memahami kepentingan pengurusan bakat berasaskan kompetensi di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
“Program ini juga penting dalam memastikan urusan pelantikan pensyarah dan pegawai dapat dilakukan secara efektif di samping dapat membantu memperbaiki pengurusan bakat di peringkat fakulti dan melalui temu duga berbentuk strategik yang berfokuskan kepada kompetensi yang diperlukan di fakulti,” ujarnya.
Turut hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMP Advanced, Dato’ Mohd Sharil Abdullah dan Profesor Madya Ts. Dr. Hamzah Ahmad yang menjalankan fungsi Ketua Pegawai Eksekutif UMP Advanced.
Dalam pada itu, seramai 1,775 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing yang berlangsung pada sesi 5 dan 6 yang merupakan hari terakhir Majlis Konvokesyen UMP Ke-17 kali ini.
Disediakan oleh: Sakinah Abdullah, UMP Advanced dan Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri