Aadhithyiaan terima Anugerah Prihatin Komuniti Puspanita UMPSA anggap kejayaan ini milik bersama
PEKAN, 1 November 2026 – Bagi Aadhithyiaan A/L Gaudhaman, 21, pengiktirafan yang diterima bukan sekadar tentang pencapaian diri, sebaliknya meletakkan keluarga sebagai antara sumber kekuatan terbesar.
Doa, sokongan dan pengorbanan ibu bapanya menjadi dorongan untuk terus melangkah ke hadapan, manakala bimbingan pensyarah, bantuan rakan-rakan serta perkongsian pengalaman daripada senior turut memudahkannya menghadapi cabaran pengajian.
Anak tunggal kepada pasangan Gaudhaman A/L Krishnasamy, 55, dan Maheswari A/P Marimuthu, 53, menerima Anugerah Prihatin Komuniti PUSPANITA bersempena dengan Majlis Konvokesyen Ke-21 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pada sidang kedua yang disampaikan oleh Pro-Canselor, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor di Dewan Tuanku Canselor (DTC), UMPSA Pekan.
Graduan Diploma Kejuruteraan Kimia dengan pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.98 serta menerima Anugerah Dekan sebanyak empat semester itu percaya bahawa pengalaman sepanjang berada di universiti membawa nilai yang lebih besar daripada sekadar pencapaian akademik, khususnya dalam membentuk keyakinan diri, kemahiran berkomunikasi dan semangat bekerja dalam pasukan.
Sepanjang pengajian, beliau turut melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang merangkumi bidang akademik, kebudayaan, kesukarelawanan dan kemasyarakatan.
Antaranya termasuk penglibatan dalam Program Dapur Sahur 2025, program Heritage Fest: A Cultural Harvest serta pelbagai aktiviti pelajar yang memberinya peluang untuk berinteraksi dan bekerjasama dengan individu daripada latar belakang berbeza.
Menurutnya, penglibatan dalam aktiviti sedemikian memberikan pengalaman yang berharga kerana beliau bukan sahaja dapat menimba ilmu di luar bilik kuliah, malah mempelajari kepentingan komunikasi, kerjasama dan tanggungjawab dalam melaksanakan sesuatu tugasan.
“Bagi saya, pengalaman di universiti bukan hanya tentang apa yang kita pelajari dalam kelas, tetapi juga bagaimana kita menggunakan peluang yang ada untuk membina diri, belajar daripada orang lain dan memberikan sumbangan mengikut kemampuan masing-masing,” ujarnya.
Dalam usaha memperkukuh pengetahuan dan kemahiran, Aadhithyiaan turut melengkapkan diri dengan beberapa pensijilan tambahan, antaranya pemodelan proses menggunakan Aspen Plus, Fundamental Cloud Computing, Data Engineering on AWS, Machine Learning Terminology and Process serta Cyber Security Bootcamp 2025.
Beliau turut menghargai pendekatan pembelajaran UMPSA yang menggabungkan teori dengan latihan praktikal melalui aktiviti makmal dan projek.
Pengalaman tersebut membantunya memahami kepentingan ketelitian, keselamatan, analisis data dan penyelesaian masalah, di samping memupuk sikap disiplin dalam melaksanakan tanggungjawab.
Mengakui bahawa beban akademik dan pengurusan masa antara cabaran utama sepanjang pengajian, beliau melihat setiap cabaran sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran yang mengajarnya untuk lebih teratur dan berusaha memperbaiki diri.
Di sebalik perjalanan tersebut, Aadhithyiaan meletakkan menjadi ruang untuk menghargai setiap peluang, pengalaman dan insan yang memainkan peranan dalam perjalanan pengajiannya.
“Saya percaya kejayaan bukanlah hasil usaha seorang individu semata-mata.
“Ada ramai insan yang membantu dan memberikan sokongan sepanjang perjalanan kita.
“Sebab itu, saya menghargai setiap bantuan yang diterima dan berharap suatu hari nanti saya juga dapat membantu orang lain,” katanya.
Selepas menamatkan pengajian diploma, beliau berhasrat untuk membina kerjaya yang stabil dalam bidang Kejuruteraan Kimia, terus menambah ilmu serta mengembangkan kemahiran bagi menghadapi keperluan alam pekerjaan.
Bagi Aadhithyiaan, pengiktirafan yang diterima merupakan satu penghargaan yang disyukuri, namun perkara yang lebih utama ialah ilmu, pengalaman dan nilai positif yang dapat dibawa ke peringkat kehidupan seterusnya.
Beliau berharap agar pengalaman sepanjang berada di UMPSA menjadi asas untuk terus berkembang sebagai individu yang bertanggungjawab, menghargai jasa orang lain dan bersedia memberikan sumbangan kepada masyarakat mengikut kemampuan diri.
Aadhithyiaan kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian di UMPSA di bawah bimbingan Profesor Ts. Dr. Sumaiya Zainal Abidin.
Oleh: SITI NURFARMY IBRAHIM, PUSAT KOMUNIKASI KORPORAT
- 10 views
Reports by: