Aktif berbakti, berani mencabar diri, Muhammad Aliff Firdaus rangkul Hadiah Kecemerlangan Inklusif Abdullah Bin Ummi Maktum UMPSA
PEKAN, 1 November 2026 – Keberanian mencabar kemampuan diri, kesungguhan menimba ilmu dan komitmen dalam melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti universiti menjadi antara pengalaman berharga yang mengiringi perjalanan Muhammad Aliff Firdaus Saffi’ai, 25, sehingga berjaya merangkul Hadiah Kecemerlangan Inklusif Abdullah Bin Ummi Maktum pada Majlis Konvokesyen Ke-21 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang berlangsung di Dewan Canselor Tuanku (DTC), UMPSA Pekan.
Berasal dari Temerloh, Pahang, Aliff Firdaus membuktikan bahawa pengalaman di universiti bukan sekadar tentang pencapaian dalam bilik kuliah, malah turut menjadi ruang untuk membina keyakinan diri, mengasah kemahiran kepimpinan dan meneroka potensi yang mungkin tidak pernah disedari sebelum ini.
Sepanjang pengajian di Fakulti Komputeran (FK), beliau aktif menyertai pelbagai kegiatan mahasiswa dan memegang beberapa jawatan kepimpinan, antaranya sebagai Setiausaha Kerja Perwakilan Mahasiswa Fakulti Komputeran (PETAKOM) bagi sesi 2022/2023 sebelum diberi kepercayaan sebagai Timbalan Presiden PETAKOM bagi sesi 2023/2024.
Penglibatan tersebut memberinya peluang untuk menggalas tanggungjawab yang lebih besar, menguruskan program serta bekerjasama dengan pelbagai pihak.
Malah, beliau turut menyumbang tenaga dalam penganjuran aktiviti universiti, program kesukarelawanan dan inisiatif mahasiswa, selain mewakili FK dalam MyDigitalMaker Fair 2023.
Menurutnya, pengalaman bergiat aktif di universiti mengajarnya untuk mengimbangi tanggungjawab akademik dengan komitmen organisasi, di samping membentuk disiplin, kematangan dan kebolehan menguruskan masa dengan lebih baik.
“Bagi saya, kehidupan di universiti perlu mempunyai pelbagai warna barulah cantik hasilnya.
“Sekiranya berfokuskan satu perkara sahaja, amat sia-sia kita menghabiskan empat tahun di universiti tanpa mengenali diri kita yang sebenar,” ujarnya.
Selain penglibatan mahasiswa, minatnya dalam bidang teknologi turut membuahkan hasil apabila projek tahun akhirnya meraih Silver Award di FK.
Beliau turut memperoleh Gold Award dan Anugerah Komersial Perdana di Creation, Innovation, Technology and Research Exposition (CITREX) UMPSA 2025, Silver Award di International University Carnival on E-Learning 2025 anjuran Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) serta Bronze Award di World Vocational College Skills Competition 2025 di Phnom Penh, Kemboja.
Katanya, peluang mewakili UMPSA dan Malaysia dalam pertandingan di peringkat antarabangsa itu menjadi antara pengalaman yang paling bermakna buat dirinya.
“Pengalaman tersebut membuka ruang untuk saya melihat perkembangan inovasi dan teknologi dengan lebih luas, selain meningkatkan keyakinan untuk terus meneroka bidang penyelidikan,” katanya.
Anak kepada pasangan Saffi’ai Wahab, 59 dan Salnita Saleh, 57 sentiasa berpegang kepada prinsip untuk sentiasa bergerak ke hadapan dan tidak pernah takut untuk melakukan kesilapan.
Baginya, setiap kesilapan bukanlah satu kegagalan, sebaliknya merupakan peluang untuk belajar, memperbaiki diri dan menjadi individu yang lebih baik.
“Sokongan kedua-dua ibu bapanya, merupakan antara sumber kekuatan terbesar yang mendorongnya untuk terus berusaha.
“Sebagai anak bongsu daripada empat orang adik-beradik, saya menyimpan hasrat untuk membanggakan ibu bapa dan menghargai segala pengorbanan yang telah mereka berikan sepanjang perjalanan menuntut ilmu,” katanya.
Selepas menamatkan latihan industri, Aliff Firdaus pernah berkhidmat sebagai Creative Technologist Executive di Keedsflix International Sdn. Bhd. sebelum membuat keputusan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Secara Penyelidikan (Master in Research) sepenuh masa di FK, UMPSA.
Keputusan tersebut didorong oleh hasrat untuk mengembangkan projek tahun akhirnya dengan lebih mendalam, khususnya dalam bidang penyelidikan dan teknologi pendidikan.
Dengan bimbingan penyelia utama, Ts. Dr. Noor Azida Sahabudin, serta penyelia bersama, Ts. Dr. Danakorn Nincarean A/L Eh Phon, beliau bertekad untuk memperluas pengetahuan dan kemahiran dalam bidang yang diceburinya.
Dalam masa yang sama, beliau turut bekerja sebagai petugas di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Damai, UMPSA bagi membantu menampung kos pengajian dan sara hidup.
Oleh: SITI NURFARMY IBRAHIM, PUSAT KOMUNIKASI KORPORAT
- 13 views
Reports by: