Anak Kampung Kedawang, Nursyifa Syuhada kini Jurutera Kualiti raih Anugerah Naib Canselor
GAMBANG, 8 November 2025 – Anak jati Kampung Kedawang, Langkawi Nursyifa Syuhada Azlie Sham, 24 membuktikan bahawa usia muda bukan penghalang untuk berdikari dan mengejar impian.
Katanya, beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan keluarga dan menyambung pelajaran di Maktab Mahmud Alor Setar dalam aliran Sains Tulen.
“Pengalaman menempuh kehidupan jauh dari keluarga sejak berusia 16 tahun bukan sahaja mengajar erti berdikari, malah membentuk jati diri, tanggungjawab dan ketabahan yang menjadi asas kejayaan hari ini.
“Ia membentuk asas kematangan dan disiplin dalam diri saya hingga ke hari ini,” ujarnya.
Nursyifa Syuhada dinobatkan sebagai penerima Anugerah Naib Canselor UMPSA sempena Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20 yang diadakan di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) ini menunjukkan kecemerlangan yang konsisten apabila menerima Anugerah Dekan bagi setiap semester sejak di peringkat diploma sehingga ijazah sarjana muda dengan mengekalkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.79.
Anak kedua daripada tiga orang adik-beradik ini turut bergiat aktif dalam bidang kokurikulum menerusi penglibatan dalam Program Mobiliti Antarabangsa di Jogjakarta, Karnival Kerjaya UMPSA, Program Semaian Kasih di Kampung Orang Asli, Perak dan merangkul pingat Emas dalam pertandingan CITREX 2025.
Beliau percaya bahawa peluang tidak akan datang dua kali dan sentiasa berusaha memanfaatkan setiap peluang yang hadir.
Ujarnya, saya percaya kita tidak harus menunggu peluang datang kepada kita.
“Sebaliknya, kita perlu mencipta dan merebutnya dengan usaha dan keyakinan.
Nursyifa yang kini telah memulakan kerjayanya sebagai Jurutera Kualiti di EVE Energy Co. Ltd., Kulim berhasrat untuk membawa ibu bapanya, Azlie Sham Abu Bakar, 54 dan Aniza Mat, 55 menjelajah ke seluruh pelosok dunia untuk melihat ciptaan Allah SWT.
“Mereka tidak pernah ke luar negara dan saya harap dengan kejayaan saya sebagai seorang Jurutera Kualiti di masa sekarang, saya dapat memenuhi segala permintaan mereka.
“Dulu mereka sentiasa memenuhi permintaan kami tiga beradik, dan sekarang giliran saya untuk membalas segala jasa tersebut,” katanya sambil mengukir senyuman.
Tambahnya lagi, beliau bercita-cita untuk menjadi seorang insan yang berguna kepada masyarakat dan negara, menyumbang melalui ilmu serta kemahiran yang telah beliau peroleh sepanjang perjalanan pendidikan dan pengalaman kerja.
Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat
- 97 views