Anugerah Kecemerlangan Hei Tech milik Nur Sofhia Izzaty
GAMBANG, 27 Oktober 2024 - “Hold your vision, trust the process” dan yakin dengan doa ibu bapa, itulah prinsip dan kata-kata azimat yang sentiasa dipegang oleh Nur Sofhia Izzaty Mohamad Azizi, 23 graduan Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Nur Sofhia terpilih menerima Anugerah Kecemerlangan Hei Tech yang disampaikan oleh Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Dato Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor dalam Sesi Ketiga Majlis Konvokesyen UMPSA yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan, UMPSA Kampus Gambang.
Aktif dalam kokurikulum tidak menghalang Sofhia untuk memperoleh keputusan yang cemerlang dalam akademik.
Katanya, beliau amat bersyukur dapat menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.56 dan memperoleh Anugerah Dekan bagi empat semestar.
“Pasti ini adalah hadiah paling bermakna yang dapat saya hadiahkan kepada penyumbang kejayaan saya hari ini iaitu kedua ibu bapa dan juga mentor saya.
“Selain itu, para tenaga pengajar UMPSA sangat membantu dalam memberi pendedahan dan peluang kepada para pelajar.
“Inisiatif fakulti dalam menjalinkan hubungan baik dengan pihak industry juga turut membuka satu dimensi baharu kepada para pelajar untuk mengorak langkah lebih jauh,” ujar anak ketiga dari lima adik-beradik itu.
Anak kepada pasangan Mohamad Azizi Zubir, 52 dan Siti Maisarah Adenah, 39 itu juga baharu sahaja menamatkan latihan industri di Petronas Digital.
Graduan Fakulti Komputeran (FK) ini turut aktif dalam mewakili Malaysia bagi program Diplomat ASEAN Foundation Model ASEAN Meeting (AFMAM) Plus Japan 2023 di ASEAN Sekretariat Jakarta, Indonesia dan program Web3 Fusion: Embracing AI and Beyong di Bangkok, Thailand.
Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat
- 62 views